SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

22 July 2008

Isu Muzakarah : Para Pesuruhjaya PAS Perlu Beri Pandangan

MENELITI dan mengkaji ‘dong ding dong’ berhubung cadangan muzakarah antara Umno dengan Pas menjelaskan wujud dua kumpulan tegar dalam Pas. Satu kumpulan yang telah menguncikan pintu hatinya dan satu lagi yang telah membuka jendela keinsafan dan bijak memerhati realiti semasa.

Kumpulan yang tidak mahu itu, menolak apa juga alasan dan meletakkan Umno begitu buruk dalam kepala mereka. Tidak ada secebis pun kemanisan dalam Umno seolah semuanya ditenggelami kesyumulan Pas yang kadang-kadang berhias retorik! Itulah tanggapan ahli Pas yang taksub dengan pantun seloka sebilangan pemimpinnya.

Pemimpin Pas yang jelas dengan sikap tidak setuju ialah Husam Musa alias si baju petak-petak merah dan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kenyataan-kenyataan mereka berhubung ura-ura itu boleh dirujuk ia sangat negatif sekali dan ada kala tidak menggambarkan mereka sebagai pemimpin tertinggi yang bersifat rasional.

Misalnya bagaimana Husam melemparkan tanggapan politik racun terhadap pendedahan Abdulllah Ahmad Badawi mengenai ada pemimpin Pas berjumpa dengan beliau (Abdullah). Bagi tokoh baju petak-petak merah itu cara Abdullah itu untuk memecah belahkan Pas dan sekaligus cuba mengumpankan Pas agar memasuki perangkapnya yang dianggap dalam keadaan tertekan.

Bagi Husam cara Abdullah itu tidak lebih daripada langkah mengukuhkan kedudukannya setelah Perdana Menteri itu goyang kini.

Di pihak Tok Guru Nik Aziz pula semacam ada karat dendam yang sukar dikikis. Ia telah bersimen dan dikonkritkan lagi oleh pandangan bersifat politik keperibadian. Seolah Tok Guru berkenaan sudah kehabisan doa mujarab untuk mengembalilan Umno ke pangkal jalan keinsafan. Justeru ia tidak ada ikhtiar lain melainkan terus kerana memusuhi Umno sampai ke akhirnya!

Walaupun mereka bertolak dari pengkalan pemikiran berbeza namun nawaitunya sama iaitu mengagalkan rundingan dengan Umno!

Kedua mereka adalah pemimpin utama Pas Kelantan. Nik Abdul Aziz adalah pesuruhjaya dan juga MB menakala Husam salah seorang Timbalan Pesuruhjaya dan Exco yang dianggap kanan. Beliau juga diangan-angankan oleh para pendondangsayangnya akan menggantikan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan sebelum berakhir tahun ini.

Dua lagi pesuruhjaya Pas Kelantan, Ahmad Yaacob yang juga TMB dan Mohd Amar Nik Abdullah seakan terkunci mulut untuk memberi ulasan dan pandangan mengenai hal ini. Kedua orang ini menjadi pandir dalam hal ini dan bersedia mengikut saja. Mereka adalah orang yang lemah keimannnya dan hanya berdaya melawan apa saja kemungkaran yang dibawa orang dengan hati saja.

Manakala antara tokoh yang bersedia untuk bermuzakarah ialah Abdul Hadi Awang, Nasarudin Mat Isa dan Mustapa Ali. Mereka kecuali Nasarudin berasal dari satu negeri Terengganu. Abdul Hadi adalah Presiden manakala Mustapa Ali Pengarah Pilihan Raya Pas, tokoh yang dilihat menjadi master mind dan membayangi suara politik Abdul Hadi dalam politik Pas sejak lama dulu terutama semasa Pas menguasai Terengganu.

Kerana mereka berasal dari dua buah negeri berbeza, seolah perbezaan pendapat mengenai muzakarah itu berlaku antara Kelantan dengan Terengganu. Kedua negeri ini pula dikenali sebagai kubu kuat Pas di negara ini. Justeru apa juga pandangan dan langkah yang diambil kedua negeri berkenaan sering menjadi ikutan dan panduan Pas negeri-negeri lain.

Apa yang sedikit merujakan dalam isu muzakarah ini ialah mengenai sikap Abdul Hadi sebagai presiden Pas. Beberapa dekad sebelum ini Abdul Hadi dilihat tokoh yang ekstrem dalam Pas. Beliau sering kali dikaitkan dengan tanggapan orang yang sukar diajak berunding. Dibrandkan sebagai taliban dan sebagainya. Ini semua dilihat dan diikuti dari jauh.

Sebaliknya apa yang berlaku kini lain keadaannya. Nik Aziz yang selama ini dilihat sebagai lembut dan bijaksana, sedarhana dalam politik bertukar menjadi keras dan bengis. Mungkin banyak orang hairan dengan sikap beliau ini. Mengapa kalau beliau boleh melayan kedatangan sami Buddha di pejabatnya tetapi tidak untuk melayan Umno.

Mungkin ada sesuatu yang tidak kenal dengan Menteri Besar ini. Apakah kerana beliau terlalu mempercayai dan mendengar nasihat dari orang tertentu menyebabkan beliau bersikap demikian? Seharusnya Nik Aziz membuka kedua belah telinga dan mendengar pandangan dan nasihat daripada semua orang (pemimpin) di Kelantan.

Perubahan sikap politik beliau yang tiba-tiba itu menggambarkan sedikit sebanyak menjejaskan intergriti (kemuliaan) beliau selama ini dalam kotak pemikiran orang Melayu seluruhnya. Dengan sikap beliau menyebabkan orang Melayu Umno yang menghormati tentang sikap terbuka dan lemah lembutnya akan mula berubah. Kita tidak mahu di akhir waktu ini Nik Aziz kekeramatan Nik Aziz berkurang.

Manakala pertembungan dan tidak sekata antara dua pemimpin negeri itu dilihat akan membawa masalah kepada Pas jika ianya tidak diselesaikan dengan baik. Ketidaksekataan itu juga memberi gambaran Pas kini tidak sehaluan. Sudah ada semacam dua ulama membaca kitab tafsiran berlainan dalam Pas.

Perkembangan ini harus dipantau segera. Ini penting kerana mereka adalah pemimpin tertinggi dalam parti tersebut. Sekiranya pertembungan berlanjutan dalam isu besar (perpaduan Melayu) ini tidak mustahil Pas akan bermasalah.

Dalam pada itu ahli Pas seharusnya tidak membiarkan dan melihat saja perkara ini. Pas negeri lain yang dianggap sebagai adik bongsu kepada Pas Kelantan dan Terengganu perlu juga bangkit memberi pandangan dan tidak membiarkan mereka berdua saja dalam memutuskan hal ini. Para pesuruhjaya Pas negeri-negeri mestilah bangkit dan cerah mata dan hati memberi pandangan dan pendapat mengenai perkara ini.

Nampaknya sehingga kini para pesuruhjaya negeri-negeri semuanya diam membisu. Seolah mereka membiarkan perkara ini diputuskan oleh pihak Presiden dengan Mursyidul Pas. Ilmu yang ditanggung di dada masing-masing dipersaikan. Dalam hal ini para pesuruhjaya tidak boleh menerima begitu sahaja pandangan Nik Aziz. Tidak mungkin pandangan daripada seorang manusia lebih tepat dan benar daripada pandangan ramai.

Sekiranya pandangan pesuruhjaya bersetuju dengan Nik Aziz dan menolak keinginan Abdul Hadi Awang, ia akan memberi keyakinan kepada umum bahawa pandangan Nik Aziz itu benar. Maka penting untuk pesuruhjaya Pas negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah serta dewan-dwaan ulama, pemuda dan muslimat memberi pandangan dan menyatakan sikap mengenai isu muzakartah ini secara berhikmah.

Pandangan dan sikap mereka pula nanti akan diteliti dan boleh mepengaruhi pandangan dan pendirian Musrsyidul Am atau Presiden Pas berkenaan. Hari ini apa yang nampaknya Nik Aziz hanya berpegang pandangan seorang saja yang disampaikan secara sulit menerusi lubang tikus di pejabat MB itu, di mana lubang tikus itu hanya boleh dilalui oleh dua manusia saja.

Mengenai isu ini jangan ahli Pas mempersoalkan siapa yang menang dan siapa yang salah sebaliknya carilah pandangan siapa yang betul dan benar demi agama, bangsa dan tanah air!
.