SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

10 September 2012

PRU-13 penentu survival UMNO, BN

Cekati Tembaga menulis...

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang adalah penentu kepada kesinambungan hidup UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam arena politik negara.


Sehubungan itu, menurut beliau, mahu tidak mahu ahli UMNO dan BN perlu bersatu tenaga bagi membuktikan kepada rakyat hanya parti tersebut mampu menggalas tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara dengan baik.

Malah katanya, ahli dan pemimpin parti juga harus belajar daripada pengalaman dan tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu yang menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya amat mengharapkan semangat untuk kita berjuang kali ini adalah habis-habisan. Marilah kita jadikan ia sebagai satu ikatan dan azimat kepada kita semua.

"Saya tidak mahu lagi mendengar politik adu domba antara kita, tidak mahu lagi mendengar politik sesama puak. Kita tidak mahu lagi dalam kamus kita, ada yang merajuk apatah lagi yang sanggup mengkhianati parti," katanya.


Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Berkumpulan Enam Bahagian UMNO Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling, Kedah, semalam. - BERNAMA

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Kedah Selatan di Kompleks Rakan Muda, Batu 42 di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurut Najib, semua UMNO bahagian kini perlu memastikan pemimpin dan ahli-ahlinya kembali kepada perjuangan asal dengan meletakkan parti sebagai keutamaan.

"Kita sudah cakap berulang kali, sampai berbuih dan sudah habis reng (tenaga). Sekarang, sudah sampai masanya untuk kita kukuhkan ikrar. Marilah kita berjanji kepada parti bahawa akan memastikan kemenangan tercapai," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti bertindak lebih matang dengan meletakkan agenda parti sebagai keutamaan berbanding kepentingan individu.

"Janganlah kita hanya bercakap di sana dan sini bahawa sudah bersatu tetapi bersyarat. Sepatutnya kalau sayang parti, tidak ada syaratnya. Siapa yang dipilih pucuk pimpinan, kita sokong," katanya.

Dalam pada itu, Najib secara berseloroh juga berkata, beliau dapat mengenali karakter seseorang pemimpin dengan menilai cara mereka bersalam dengannya.

"Bila saya salam dengan pemimpin itu, saya boleh baca. Apatah lagi saya bersalam dan genggam tangannya.

"Siapa yang mahu jadi calon, bila saya sebut calon boleh menang, semua rasa dia calonnya. Namun, hakikatnya semua kena terima, sesetengah daripada kita memang boleh menang, sesetengah tidak. Tetapi kalau kita sayang kepada parti, redalah, kalau dipilih, syukur, kalau tidak sila teruskan demi perjuangan parti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak ahli UMNO berfikir dan bertindak secara matang serta dewasa.

Katanya, pemikiran sedemikian bersesuaian dengan taraf usia negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun serta sinonim dengan usia UMNO sendiri yang kini mencecah 66 tahun.

"Bila kita menyebut angka 55 dan 66 tahun, bererti Malaysia ini merupakan sebuah negara yang sudah matang. Begitu juga dengan UMNO, pada takrif dan definisi tersebut bererti sepatutnya parti kita lebih matang dan dewasa kerana sudah 66 tahun," katanya.

Najib menambah, ciri-ciri kematangan itu juga boleh digunakan dalam membuat keputusan penting dalam hidup seperti memilih kerajaan atau pemimpin.

"Bila mencapai usia matang, sepatutnya membawa erti kita sudah mempunyai pengalaman hidup yang luas. Kita juga perlu mempunyai ilmu yang mendalam, cara berfikir yang masak dan bijak membuat pertimbangan," katanya.

DAP diterajui golongan sombong

Cekati Tembaga menulis...


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Gelombang penolakan ahli terhadap DAP semakin ketara apabila bekas-bekas pemimpin akar umbi yang dipecat hanya kerana bersuara menentang penyelewengan tampil mengecam corak kepimpinan parti tersebut.

Rata-rata pemimpin akar umbi menyifatkan DAP kini diterajui golongan yang sombong setelah diberi kuasa untuk memerintah beberapa negeri apabila sanggup bertindak ala kuku besi ke atas ahli yang mendedahkan penyelewengan dalam parti.

Terbaru bekas Ketua Audit DAP Cawangan Kampung Aman, Seri Kembangan, Yap Kon Min mendedahkan bagaimana beliau dipecat hanya kerana mempersoal bagaimana ahli yang didapati muflis boleh dibenarkan mengundi pada konvensyen tahunan parti.

"Saya mempersoal kerana ia melibatkan soal akauntabiliti dan ketelusan kerana mengikut Perlembagaan DAP, mana-mana individu yang didapati muflis tidak layak menjadi ahli apatah lagi diberi kuasa mengundi. Malangnya saya yang mendedah isu ini yang dipecat.

"Tapi pada masa sama, tiada sebarang tindakan tatatertib diambil oleh Jawatankuasa Disiplin DAP ke atas ahli yang muflis itu. Ini jelas bukti penyalahgunaan kuasa dan sikap sombong pucuk pimpinan selepas diberi sedikit kuasa untuk mentadbir beberapa negeri.

"Sebab itu saya tidak terkejut selepas ini lebih ramai lagi pemimpin akar umbi akan bertindak meninggalkan parti kerana mereka ternyata kecewa dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan DAP," katanya yang dipecat pada Ogos tahun lalu, di sini hari ini.

Beliau ditemani bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat yang bertindak keluar parti pada 17 Ogos lalu selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan yang didakwanya telah lari daripada matlamat perjuangan asal.



Tan Tuan Tat (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Pemadam Daerah Sepang, Mahful Wajid (kiri) dan R. Bellasamy (kanan) mengadakan sidang akhbar mengenai isu salah guna kuasa dalam Parti DAP di Petaling Jaya, semalam.


Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin akar umbi, R. Bellasamy yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Cawangan Pantai Sepang juga mendedahkan bagaimana beliau menjadi mangsa kuku besi pucuk pimpinan DAP hanya kerana menyuarakan pandangan rakyat.

Dakwanya, DAP kini sudah menjadi sebuah parti sombong serta tidak mahu mendengar pandangan rakyat dan mana-mana ahli lantang menyuarakan masalah orang ramai pasti akan dikenakan tindakan tatatertib.

"Lihat apa jadi pada bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim dan bagaimana layanan pucuk pimpinan terhadap beliau hanya kerana menyatakan pandangan mengenai Bersih 3.0. Beliau seorang tokoh yang dihormati tetapi langsung tidak dipandang.

"Nasib kami pemimpin akar umbi lebih teruk dan saya yakin jika keadaan ini berterusan DAP akan menerima pengajaran yang berguna pada pilihan raya umum akan datang bukan sahaja daripada ahli parti tetapi rakyat juga bakal menghukum parti ini," katanya.

09 September 2012

Pas cari kepentingan politik - Ku Li

Cekati Tembaga menulis...


GUA MUSANG 24 Ogos - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan usaha Pas meneruskan polemik isu pelaksanaan hukum hudud adalah untuk mencari keuntungan politik.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan realiti semasa, hukum hudud sukar untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan pindaan Perlembagaan.

"Umat Islam mengalu-alukan hudud tetapi mesti dilaksanakan dengan cara dikehendaki agama. Hudud kalaupun nak dilaksanakan, harus mendapat pandangan seluruh rakyat kerana kalau nak laksanakannya, mesti pinda Perlembagaan.

"Saya rasa masih jauh lagi untuk kita laksanakan hudud, masih berada di awang-awangan. Pas kata kita (UMNO) tolak. Kita sendiri dengan tegas belum buat pendirian lagi. DAP tidak mahu negara Islam, dia fikir hudud sebahagian daripada cara untuk tubuhkan negara Islam.

"Pas fikir ini hukum Allah dan sebagai parti pejuang negara Islam, maka dia rasa mesti teruskan perjuangan negara Islam ini," katanya.

Tengku Razaleigh berkata demikian selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat, Bukit Cekati di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal lagi menegaskan undang-undang Islam itu bukan sebahagian daripada dasar pakatan pembangkang buat masa ini.

Menurut Anwar, undang-undang syariah itu juga bukan merupakan perkara yang terkandung dalam Buku Jingga iaitu dokumen dasar serta program jangka panjang pakatan pembangkang sekiranya berjaya memerintah negara pada masa depan.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, UMNO tidak pernah lari daripada perjuangan memartabat dan mengembangkan syiar Islam bagaimanapun pendekatannya berbeza dengan Pas.

"UMNO tidak lari daripada perjuangan untuk mengembangkan syiar Islam kerana kita junjung Islam sebagai agama negara," katanya.

04 September 2012

Pembangkang tidak mampu tandingi Barisan Nasional

Cekati Tembaga menulis...


Pembangkang diyakini tidak mampu menandingi kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang berupaya mengotakan janji kepada rakyat setelah 55 tahun mentadbir negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang dilakukan pembangkang adalah menabur janji tetapi tidak melaksanakannya biarpun telah diberi mandat selama empat tahun memerintah di empat negeri.

Jelas beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pembangkang perlu sedar pemerintahan mereka di negeri-negeri itu diperoleh setelah landasan dan asas kukuh dibina BN walaupun perkara tersebut tidak pernah diakui mereka.

"Apa yang pembangkang lakukan ialah tabur janji, memburuk-burukkan dan tidak langsung menyatakan kebaikan yang dilakukan kerajaan.

"Mana mungkin DAP dapat memerintah Pulau Pinang kalau landasan ke arah itu tidak begitu kukuh," kata Shafie kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penghayatan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalannya, Datuk Joseph Entulu; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad; Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Nursiah Arshad dan Datuk Yusoff Dohab; Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan kementerian, Zaniah Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir.

Mohd. Shafie berkata, ketaksuban ideologi politik pembangkang telah mengatasi kepentingan rakyat dan negara sehingga menafikan segala kebaikan yang dilaksanakan kerajaan.

"Sepatutnya kepentingan rakyat dan negara mengatasi ideologi politik atau agenda peribadi. Mereka perlu terima hakikat banyak janji yang kerajaan tunaikan selama 55 tahun, tetapi mereka tidak mahu mengakuinya kerana itu akan mengganggu-gugat pemerintahan mereka," katanya.

Mengulas mengenai pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, beliau berkata, pembangunan luar bandar diharap turut diambil kira bagi memastikan prasarana di kawasan itu dapat ditingkatkan.

"Saya harap kita dapat melengkapkan agenda transformasi luar bandar termasuk pembangunan modal insan supaya kejayaan di kawasan itu dapat dilakukan dengan lebih baik," katanya.

31 August 2012

BN mampu menang PRU-13 - Tengku Razaleigh

Cekati Tembaga menulis...

GUA MUSANG 24 Ogos - Barisan Nasional (BN) akan dapat mencipta kejayaan dan mengekalkan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan kejayaan pelan transformasi yang memberikan kesan positif kepada rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tiada sebab untuk BN gagal pada pilihan raya umum akan datang kecuali pemimpin serta ahli-ahlinya cuai atau ditolak rakyat.

Beliau berkata, transformasi dilakukan oleh kerajaan telah membuahkan hasil dengan prestasi ekonomi yang amat baik pada masa sekarang.

"Sebagai penyandang kita dapat mempengaruhi keadaan lebih baik daripada orang lain, jadi tidak ada sebab kita hendak kalah kecuali kita cuai atau ditolak rakyat. Saya tidak fikir itu (tidak diterima rakyat) akan berlaku kecuali kita tidak mengatur strategi dengan betul.

"Dengar laporan kerajaan nampaknya (transformasi) berkesan, ternyata sekali dengan prestasi ekonomi yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia pada suku kedua tahun ini melebihi apa yang dijangka oleh kerajaan.



TENGKU Razaleigh Hamzah (dua kanan) menyampaikan bantuan barangan makanan kepada golongan miskin selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang, Kelantan, semalam. - Utusan/Rosni Masri


"Kalau itu menepati unjuran yang dibuat oleh kerajaan, maka tidak ada sebab bagi seluruh tahun dapat mencapai pertumbuhan pada kadar yang diharapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat, Bukit Cekati di sini hari ini.

Tengku Razaleigh yakin dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini bagi memastikan keadaan ekonomi bertambah baik.

"Kalau keadaan yang muram di barat, kita yakin dengan dasar kerajaan, kita akan dapat hadapi keadaan ini kerana di masa lepas, kita dapat hadapi masalah ini dengan jayanya," kata beliau.

Menurut Tengku Razaleigh, UMNO dan BN telah menghadapi pelbagai cabaran termasuk hilang majoriti dua pertiga pada 2008.

"Kekalahan 2008 memberi tamparan teruk kepada kita dan terpaksa menghadapi pilihan raya paling getir dalam sejarah tetapi saya yakin kita boleh menghadapi kemungkinan ini dan kita akan menjadi parti yang berjaya dan berkuasa.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada kita semua. Menang kalah terletak di atas bahu kita, kalau tiap-tiap pilihan raya rakyat beri sokongan yang besar, saya tidak hairan jika rakyat beri kemenangan sekali lagi. Kalau kita tidak bekerja, nescaya kita akan menerima padah," katanya.