SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

31 January 2010

Royalti Minyak : Menteri Penerangan terkejut pendirian Ku Li

Cekati Tembaga menulis..

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melahirkan rasa amat terkejutnya dengan pendirian bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang Kelantan berhak mendapat royalti minyak.

YBM Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen BN kawasan Gua Musang pada Khamis lepas yang dilaporkan mendakwa kerajaan negeri Kelantan patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan. Ternyata pendirian beliau ini adalah sama sekali bertentangan dengan kenyataan yang dibuatnya pada tahun 2000.

Kepada mereka yang sudah tidak ingat atau tidak sedar kenyataan akhbar Tengku Razaleigh pada tahun 2000 itu, boleh ikutinya di bawah dan membuat penilaian sendiri.

Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1/11/2000.


Minyak : Penjelasan Ku Li - 'Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan'

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar 'wilayah' mereka.

''Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kawasan kekuasaan negeri itu.

''Dari segi undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenajung tidak ada hak ke atas minyak ini,'' kata bekas Menteri Kewangan itu kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau dilantik menyandang jawatan Pengerusi Petronas pada 5 September, 1974. Ini adalah kenyataan pertama beliau selepas tercetusnya kemarahan kerajaan Terengganu dan parti Pas mengenai isu pemberian wang ihsan menggantikan royalti.

Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2001 semalam berkata, Kerajaan Pusat cuba menafikan hak kerajaan Pas Terengganu dalam isu itu.

Kata Fadzil, penggunaan istilah ''wang ihsan'' adalah tidak tepat kerana semasa kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) perkataan yang digunakan adalah royalti minyak.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menegaskan, soal pembayaran wang kepada Terengganu sama ada atas nama wang ihsan atau royalti sepatutnya tidak menjadi isu.

Ini kerana wang tersebut tetap disalurkan kepada rakyat negeri itu.

''Saya rasa yang pentingnya bukan soal wang itu disalurkan menerusi negeri atau Pusat kerana yang pentingnya terjejas atau tidak rakyat Terengganu dalam hal ini.

''Kalau wang itu disalurkan menerusi apa-apa saluran pun dan rakyat tidak mendapat faedahnya serta menanggung kerugian, barulah perkara ini boleh dipersoalkan,'' katanya.

Sehubungan itu Tengku Razaleigh berkata, rakyat harus memberi peluang kepada Kerajaan Pusat dan menilai sama ada cara penyaluran wang ihsan itu menguntungkan atau tidak.

''Tetapi saya percaya cara ini sudah tentu akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat. Kalau menguntungkan rakyat, kenapa hendak persoalkan cara mana duit itu disalurkan,'' katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menolak kemungkinan, Kerajaan Pusat mengambil alih peranan menyalurkan wang tersebut kerana kerajaan Pas Terengganu yang baru memerintah belum lagi mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan projek.

Oleh itu, Tengku Razaleigh menambah biarlah rakyat menentukan sama ada langkah Kerajaan Pusat itu menjejaskan mereka atau tidak.

Bagaimanapun, beliau yakin cara baru itu tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat Terengganu memandangkan Kerajaan Pusat adalah pihak yang mementingkan pembangunan rakyat.

''Takkan Kerajaan Pusat nak kurangkan wang itu atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tak mungkin ini berlaku.

''Kerajaan Pusat adalah berorientasikan pembangunan tentu dia akan bagi segala kemudahan dan projek yang dia boleh rancang dengan baik untuk dilaksanakan,'' katanya.

Pada 5 September lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang itu dalam bentuk projek-projek pembangunan meliputi pendidikan untuk manfaat rakyat dan tidak kepada kerajaan negeri.

Ia akan dibayar melalui kaedah dikenali sebagai Program Pembiayaan Wang Ehsan yang akan dikendalikan oleh satu Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

27 January 2010

Kenapa Anwar tak berani bertindak ke atas Zulkifli Noordin ?

Cekati Tembaga menulis..

Tepat bagai dijangka, Mesyuarat Biro Politik PKR semalam yang dicanangkan seluruh negara akan mengambil tindakan tegas terhadap Zulkifli Noordin hanya sekadar perjumpaan untuk minum teh sahaja.

Kita dari awal lagi sudah menduga, biarpun pelbagai bayangan diberi oleh pimpinan kanan PKR termasuk Anwar Ibrahim sendiri kononnya Zulkifli akan berdepan tindakan tegas parti itu, namun keputusan yang dibuat adalah untuk hanya menghadapkan Zulkifli ke Jawatankuasa Disiplin PKR.

Bukankah dalam mana-mana parti, Biro Politik adalah jawatankuasa tertinggi? Bukankah mereka berkuasa membuat apa jua keputusan melibatkan parti tetapi Biro Politik PKR dalam hal ini mengambil sikap berlepas tangan dengan merujukkan Zulkifli kepada jawatankuasa Disiplin parti?

Inilah sandiwara terbaru ciptaan Anwar Ibrahim. Ia tidak lebih daripada sekadar untuk menawarkan alasan bagi mengelak ditohmah takut berhadapan dengan Zulkifli.

Khabarnya majoriti ahli biro politik PKR mahukan Zulkifli dipecat serta merta kerana dianggap menjadi duri dalam daging kepada pakatan pembangkang.

Tetapi apakah Anwar berani berbuat demikian?

Kenapa Anwar tidak berani berhadapan dengan Zulkifli?

Sebabnya bagi Anwar Ibrahim, Zulkifli Noordin bukan kawan biasa. Zulkifli juga bukan ahli parlimen PKR biasa seperti mana beberapa kerat ahli parlimen Melayu PKR lain yang masih ada. Zulkifli Noordin lain daripada yang lain. Zulkifli adalah satu-satunya orang yang diharapkan Anwar sebagai membawa imej Islam dalam PKR.

Anwar banyak terhutang budi kepada Zulkifli kerana Zulkifli adalah salah seorang daripada deretan panel peguam belanya dalam kes liwat 10 tahun lepas. Pastinya sebagai peguam bela, Zulkifli tahu banyak perkara yang orang lain tidak tahu pasal kes itu.

Memusuhi Zulkifli adalah tindakan yang paling tidak rasional kepada masa depan karier politiknya. Memusuhi Zulkifli umpama membuang perisai paling kukuh dan mendedahkan diri kepada risiko yang amat besar.

Dan Anwar tidak mampu lagi menanggung risiko!

26 January 2010

Beranikah Anwar pecat Zulkifli Nordin?

Cekati Tembaga menulis..

SELASA depan akan menjadi penentu kepada PKR dan juga Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen parti itu bagi kawasan Kulim Bandar Bharu kerana pada hari itu Biro Politik PKR akan bersidang dengan dipengerusikan sendiri oleh Anwar Ibrahim bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap ahli parlimen itu kerana membuat laporan polis terhadap Khalid Samad.

Zulkifli pada hari Sabtu lalu telah membuat laporan polis terhadap Khalid berkenaan isu kalimah Allah yang disifatkannya sebagai mengelirukan umat Islam.

Biarpun tindakan Zulkifli ini disambut bagai hero oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang rasional namun ternyata ia cukup tidak disenangi PKR.

Anehnya mengapa PKR yang tidak senang duduk padahal laporan polis itu ditujukan kepada wakil rakyat Pas?

Sepatutnya Pas yang merasa panas pedih kerana ia berkait langsung dengan mereka tetapi para pemimpin Pas mengambil jalan selamat dengan tidak membuat ulasan langsung terhadap tindakan Zulkifli Nordin ini.

Sebaliknya PKR termasuk Anwar Ibrahim sendiri menyatakan kekesalannya dengan tindakan Zulkifli Nordin ini dan lebih berpihak kepada Khalid Samad. Pastinya Khalid dilihat "istimewa" kepada Anwar. Kalau tidak masakan Anwar sanggup lupakan jasa Zulkifli Nordin yang telah bertungkus lumus membelanya dalam perbicaraan liwatnya 10 tahun yang lalu.

Apa lebihnya Khalid Samad di mata Anwar berbanding persahabatan yang telah terjalin lama dibina bersama Zulkifli Nordin sehingga sanggup membuat kenyataan Zulkifli Nordin telah melampau batas?

Sementara Zaid Ibrahim, lawyer buangan UMNO yang dikutip PKR dan dilantik sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat, terang-terang mengusulkan agar Zulkifli dipecat daripada PKR.

Nampaknya dari kanan dan kiri Zulkifli Nordin diserang bertali arus oleh 'sahabat' sendiri. Namun sehingga kini tidak ada tanda-tanda beliau akan mengalah. Jelas sekali beliau masih teguh dengan pendirian asalnya, istiqamah dalam perjuangan iaitu Islam dulu, yang lain kemudian.

Nyata sekali, tidak ada tempat dalam PKR kepada mereka yang memegang prinsip ini. Dalam PKR hanya kuasa. Apa-apa atau sesiapa yang boleh menjejaskan jalan ke arah kuasa itu akan disisihkan.

Selasa nanti adalah hari penentuan. Yang pasti Anwar sudah beri bayangan kononnya tindakan akan dikenakan terhadap Zulkifli. Apa pun bentuk hukuman, tidak penting. Sama ada Zulkifli dibuang atau digantung keahlian mahupun sekadar diberi amaran, ia tidak memberi makna apa-apa selagi tidak mampu merobah istiqamah Zulkifli dalam hal ini.

Anwar sudah tidak dapat menahan desakan beberapa kerat pimpinan dalam PKR dan dua tiga orang spynya dalam Pas. Anwar ternyata tidak punyai pilihan lain kerana semua itu adalah talian hayatnya.

Soalnya beranikah Anwar mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin sehingga ke peringkat memecat?

Jawapannya.. pasti tidak! Kerana Anwar akan cipta alasan lagi..

25 January 2010

Muzakarah "Hambatan Politik Melayu" di Pasir Mas

Cekati Tembaga menulis..

Malam tadi (24/01/2010) satu program penerangan diadakan oleh Biro Penerangan UMNO Bahagian Pasir Mas bertempat di dewan terbuka, SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas.

Program ini adalah antara siri penerangan bulanan yang giat diadakan oleh UMNO Bahagian Pasir Mas bagi menyampaikan maklumat-maklumat dan perkembangan semasa politik tanahair terutama yang berlaku di Kelantan.

Majlis ini yang dipengerusikan oleh Hj Zainuddin Mohd Noor, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, dinamakan Muzakarah Hambatan Politik Melayu dirasmikan oleh Dato' Haji Hanafi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Zaki bin Mohamad, Ketua Fasilitator Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.

Program ini dihadiri oleh lebih 500 orang dari sekitar kawasan berhampiran. Hadir sama adalah En Abdul Aziz Mohamad, Naib Ketua UMNO Bahagian.

Turut hadir Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian. majlis berakhir jam 12.00 malam.

Hj Ahmad Rosdi Mahmad, Ketua Penerangan UMNO Bahagian sebagai "tuan rumah" menyampaikan kata-kata aluan

Dato' Hj Manafi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menyampaikan ucapan perasmian

Ustaz Zaki Mohamad menyampaikan ceramah yang mendapat tepukan gemuruh hadirin

Pimpinan UMNO Bahagian Pasir Mas, dari kiri Dato' Hanafi, Aziz, Pn Rita Sarbanon (Ketua Wanita) dan Yusnisamira (Ketua Puteri)

Sebahagian hadirin memenuhi dewan terbuka

24 January 2010

Laporan Polis terhadap Blogger Pas..

Cekati Tembaga menulis..

Di saat rakyat Johor meratapi kemangkatan Tuanku Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan bagi negeri Johor, malang sekali ada seekor blogger Pas yang terang-terang sengaja mengundang rasa tidak senang rakyat dengan membuat komen menghina Almarhum di blognya.

Blogger berkenaan Aduka Teruna dalam postingnya semalam menyiarkan kata-kata penghinaan terhadap Almarhum Sultan Johor. Siang tadi apabila menyedari ketelanjurannya itu, blogger Pas ini telah membuang posting berkenaan daripada blognya.

Tetapi ramai yang telah mengambil langkah awal dengan membuat "print screen" posting berkenaan sebagai bukti keceluparan blogger Pas berkenaan.

Kepada yang belum melihat keceluparan dan betapa biadapnya blogger ini sila tengok gambar di bawah. Sila klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas.

Terima kasih kepada blogger GAP kerana telah mendedahkan perkara ini. Difahamkan GAP juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini. Syabas.

Sikap Aduka Teruna mencerminkan perangai sebenar blogger Pas yang sanggup melakukan apa saja untuk menyalahkan orang lain tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat mahupun kebenaran. Kita tidak hairan kerana ini adalah realiti sikap mereka yang mentalnya dah rosak dan akal fikirnya sudah tidak berfungsi.

Kita menyeru pihak berkuasa segera mengambil langkah sewajarnya bagi membendung perkara ini. Laporan Polis sudah dibuat. Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa terutama KDN di bawah Dato' Hishamuddin Tun Hussien.

Nak bukti macam mana lagi?

Kalau seorang budak pelajar ASWARA memberi komen berkaitan Isu kalimah Allah dalam facebook baru-baru ini telah segera diambil tindakan, kita juga mahu melihat tindakan segera pihak berkuasa dalam hal ini.