SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

18 March 2009

Kerajaan campuran: Nik Aziz bidas Hadi

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas tindakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mencadangkan pembentukan kerajaan campuran PAS-Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Nik Aziz melihat tindakan Abdul Hadi itu sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan parti itu di Ipoh Ogos lalu yang menolak usaha pembentukan kerajaan campuran dengan BN.

Sambil menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai pandangan peribadi, Nik Aziz menegaskan satu mesyuarat khusus sepatutnya diadakan untuk membincangkan perkara itu.

"Itulah yang saya sebut, kalau nak bahas masalah kerajaan dengan Umno kena ada mesyuarat khusus. Jangan buat keputusan lain, cakap lain, itu saya tak setuju.

"Saya tetap dengan keputusan Muktamar (Tahunan PAS ke-54 yang lalu), barulah dikatakan kedudukan kita stabil dan kita dipanggil berdisiplin," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pelabur dari Taiwan di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tetap berpegang kepada keputusan bersama dalam muktamar, iaitu PAS tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BN, termasuk pembentukan kerajaan campuran.

Katanya, beliau hanya akan akur dengan cadangan Abdul Hadi itu sekiranya semua ahli jawatankuasa PAS Pusat bersetuju mewujudkan kerajaan campuran dan keputusan itu perlu ditetapkan dalam mesyuarat khas berkenaan.

"Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah," katanya.

Nik Aziz berkata beliau menentang cadangan Abdul Hadi itu kerana ia bertentangan dengan dasar parti selain dikhuatiri ia tidak akan membawa kebaikan pada PAS.

Cadangan Abdul Hadi itu sebelum ini dipersetujui Dewan Pemuda PAS Pusat yang disifatkan bertepatan dengan masa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut Abdul Hadi memberi penjelasan berhubung cadangannya itu kepada pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat.

- BERNAMA

TERNYATA DENDAM NIK AZIZ PADA UMNO MELEBIHI SEGALA-GALANYA SEHINGGA MENGHILANGKAN KEWARASAN DAN KETOKOHANNYA SEBAGAI ILMUAN. PERKARA PENTING SEPERTI YANG DICADANGKAN OLEH PRESIDEN PAS DITOLAK MENTAH-MENTAH MALAH PRESIDEN ITU DIBIDAS KERANA MENGELUARKAN KENYATAAN YANG DILIHAT KE ARAH PERPADUAN PAS DENGAN UMNO.

BUKAN NIK AZIZ TAK TAHU YANG BERBAIK DENGAN UMNO YANG SEBANGSA DAN SEAGAMA JAUH LEBIH BAIK BERBANDING BERSEKEDUDUKAN DENGAN DAP YANG TERANG-TERANG KAFIR YANG MENENTANG ISLAM.

NIK AZIZ JUGA TAHU PERJUANGAN PAS AKAN LEBIH BERKESAN SEKIRANYA MENYERTAI KERAJAAN BERSAMA UMNO. NIK AZIZ JUGA SANGAT TAHU SELAGI TIDAK MENJADI KERAJAAN PAS HANYA AKAN TINGGAL SLOGAN DAN RETORIK YANG TIDAK AKAN TERCAPAI. DAN NIK AZIZ SEDAR PAS TIDAK AKAN MENJADI KERAJAAN SAMA ADA SECARA SENDIRIAN ATAU MELALUI PAKATAN PEMBANGKANG.

OLEH ITU APA YANG MENGHALANG NIK AZIZ MERESTUI HASRAT PRESIDEN PAS MALAH HASRAT SEBAHAGIAN BESAR PENYOKONG PAS DAN ORANG MELAYU UNTUK MELIHAT KEDUA-DUA PARTI MELAYU ISLAM INI BERSATU? DENDAM.

YA DENDAM. DENDAM LAMA SEMASA PAS TERSINGKIR DARI BN. BEGITU SEKALI DENDAM NIK AZIZ KEPADA UMNO. TAPI SEDARKAH UMNO HARI INI DIPIMPIN OLEH ORANG YANG BERBEZA. WALAUPUN NAMANYA TETAP UMNO, TAPI PEMIMPINNYA BUKAN ORANG NIK AZIZ DENDAMI ITU.

APAKAH DENDAM PERIBADI LEBIH 30 TAHUN LEPAS AKAN MENGHALALKAN TINDAKAN NIK AZIZ MENGGUNAKAN KUASA VETO MENGHALANG UMAT ISLAM BERSATU DALAM SATU SAF PERJUANGAN?

APA JASA DAP KEPADA PERJUANGAN ISLAM SEHINGGA BERGABUNG DENGAN DAP LEBIH ISLAMIK DAN MERUPAKAN JALAN YANG LURUS MENURUT SERUAN AGAMA, BERBANDING BERGANDING BAHU BERSAMA UMNO MEMBENTUK KERAJAAN ISLAM YANG KUKUH DIBUMI MALAYSIA INI?

MASYAALLAH..DUNIA AKHIR ZAMAN.

.

Ali Rustam terima keputusan, akan rayu hari ini

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno yang melucutkan kelayakannya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Beliau bagaimanapun tetap menafikan melakukan apa-apa kesalahan dan akan mengemukakan rayuan hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Mohd Ali juga memohon maaf dan berharap penyokong-penyokongnya bertenang dan bersatu untuk kepentingan parti.

Jelasnya lagi, walaupun dilarang daripada bertanding beliau tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno dan akan terus bekerja untuk kebaikan Umno.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di kediaman rasminya, Seri Bendahara, Ayer Keroh pagi tadi. Bagaimanapun kedudukannya sebagai ahli dalam parti tidak terjejas dan beliau kekal sebagai Ketua Menteri dan Naib Presiden.

Juga didapati bersalah dalam tuduhan yang sama ialah Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

Calon lain bagi jawatan itu ialah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga disiasat oleh lembaga itu kerana didakwa terlibat dengan politik wang namun didapati tidak bersalah.
.

17 March 2009

Terima Keputusan Lembaga Disiplin Dengan Tenang - Muhyiddin

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota parti harus menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Beliau juga berharap para penyokong berkenaan tidak merasa kecewa dan mengambil tindakan yang boleh membawa kesan negatif kepada situasi politik dalam Umno atau negara.

"Saya bersimpati dengan apa yang dihadapi sahabat saya Datuk (Seri Mohd) Ali Rustam dan yang lain. Sebagaimana yang diketahui, soal disiplin terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin Umno.

"Tentulah mereka sudah membuat penyiasatan terhadap aduan-aduan yang sebelum ini dikatakan tidak diberikan perhatian," kata Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang berada di Dubai untuk perasmian Malaysia Services Exhibition 2009 di sini.

Lembaga itu mendapati Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka, melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, sebagaimana diumumkan hari ini oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Muhyiddin yang juga calon Timbalan Presiden berkata sekiranya keputusan telah dibuat, maka ia harus dihormati kerana sudah tentu ada asas yang digunakan untuk memutuskan bentuk tindakan yang sesuai untuk diambil.

"Apa yang saya harap ialah sahabat dan penyokong bertenang dalam menghadapi keadaan sebegini. Ini sesuatu yang memang kita tidak duga.

"Tetapi sebagai anggota parti yang bertanggungjawab, kita harus fikir soal kepentingan parti dan mengelak daripada perkara yang boleh membawa kesan negatif kepada senario politik dalam negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata proses pemilihan parti akan berlangsung seperti biasa dan terserah kepada perwakilan untuk membuat pertimbangan berhubung siapa pemimpin yang hendak mereka pilih.

"Sepatutnya mereka mengambil kira soal masa depan negara dan Umno, dan berbuat sesuatu yang difikir boleh memberikan manfaat atau kebaikan dalam soal kepimpinan parti dan kerajaan," kata beliau.

Lembaga Disiplin turut mendapati Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Bagaimanapun, seorang lagi calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didapati tidak bersalah.

- BERNAMA
.

Ali Rustam Dilarang Bertanding Timbalan Presiden

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu hadapan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak bersalah melanggar tataetika ahli parti.

-BERNAMA
.

Muhyiddin - Najib perlu Timbalan yang kuat

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengalaman luasnya di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa melayakkannya untuk mengisi jawatan nombor dua dalam Umno dan kerajaan.

Muhyiddin, 61, yang berdepan dengan dua pencabar - Datuk Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno - berpengalaman menjadi Menteri Besar Johor selama 13 tahun dan menganggotai kabinet selama hampir 14 tahun.

Lagi pula, Mohd Ali dan Muhd Taib bukan ahli Parlimen dan oleh itu tidak secara automatik layak untuk memegang jawatan timbalan perdana menteri, yang selama ini diisi oleh pemimpin nombor dua Umno.

Mereka berdua perlu dilantik sama ada sebagai senator atau bertanding dalam pilihanraya kecil - sesuatu yang ingin dielakkan kerana suasana politik yang tidak memihak kepada kerajaan sekarang.

Muhyiddin juga menolak hujah Muhd Taib bahawa tidak boleh ada "dua ekor singa menghuni bukit yang sama".

Muhammad (foto) yang sebelum ini menegaskan beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, merujuk kepada kemungkinan timbalan yang kuat boleh mengancam kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa depan.

"Pada masa bilamana kita berdepan dengan masalah yang serius, seperti yang dihadapi Umno sekarang, maka apa yang diperlukan adalah satu pasukan kepimpinan yang kuat," kata Muhyiddin dalam wawancara selama 60 minit dengan Malaysiakini di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Jika anda berkata tidak (perlu timbalan yang kuat), maka ia bermakna anda berkata 'pilihlah pemimpin yang tidak begitu kuat' atau 'pilih seorang yang lemah'.

"Saya tidak fikir itu yang Umno mahu atau itu yang negara mahu. Negara, dalam keadaan seperti sekarang, memerlukan kepimpinan yang kuat," tegasnya.
.