SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 March 2009

Nik Aziz bantah kerjasama dengan BN

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran PAS dan Barisan Nasional (BN) yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Ini kerana, kata beliau, PAS pernah berada dalam kerajaan campuran BN sebelum mereka berpisah daripada kerajaan pakatan itu dan telah merasa sendiri pahit manis ketika bersama.

"Kami sudah cuba masuk dalam kerajaan campuran dulu tapi BN tidak hargai. Cubaan kami masuk dulu gagal, bukan gagal kerana kami, saya sudah perit (serik).

"Selagi saya tidak puas hati, saya rasa pahit untuk menerimanya (cadangan itu)," katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS ditemui pemberita di rumah pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Nor, 18, yang mendapat 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas di Kampung Parang Punting, dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pandangan itu adalah pendapat peribadi beliau dan perkara itu akan diperhalusi pada Muktamar Tahunan PAS pada Jun nanti.

Susulan cadangan Abdul Hadi, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta PAS mengemukakan butiran jelas mengenai cadangan menubuhkan kerajaan campuran antara BN dan pakatan pembangkang di negara ini.

Muhyiddin berkata PAS perlu mengemukakan secara terperinci tentang bagaimana kerajaan campuran itu mahu dibentuk sebelum apa-apa pertemuan dapat dibuat.

Semalam, Dewan Pemuda PAS menyuarakan sokongan terhadap cadangan itu dan menganggap ia dibuat pada masa yang tepat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut presiden PAS itu menerangkan maksud beliau kepada Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu PAS dalam gabungan parti pembangkang.

- BERNAMA

.

15 March 2009

Muhyiddin paling layak - Nazri Aziz

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz adalah salah seorang menteri kabinet yang membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini. Nazri konsisten menyatakan sokongannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO.

"Untuk bertanding Timbalan Presiden, saya terang-terangan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dia bersama saya sejak zaman Pemuda lagi. Pengalamannya cukup luas, sembilan tahun sebagai Menteri Besar dan 23 tahun sebagai ahli Jemaah Menteri. Pengalaman beliau jauh melebihi saya. Dari segi perwatakan dan pemikiran, dia seorang yang serius berbincang dan memikirkan tentang parti, bangsa, agama dan negara.

"Sebab itu, apabila dia kata hendak bertanding Timbalan Presiden saya menyokong kerana saya sayang parti dan saya tahu dalam keadaan sekarang, sewaktu kegawatan ekonomi kedudukan UMNO terdedah kepada bahaya.

"Kita memerlukan pemimpin yang boleh berfikir, berpengalaman, kurang berpolitik dan gigih bekerja mengembalikan keagungan parti kita seperti masa lalu. Saya percaya Muhyiddin dan Najib merupakan gandingan yang amat mantap, meyakinkan dan saya kira itulah yang hendak dilihat rakyat", ujarnya.
.

Najib Perlu Pastikan Kabinetnya Bebas Rasuah - Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan barisan Kabinet yang beliau akan lantik apabila menjadi Perdana Menteri nanti terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Bekas Perdana Menteri berkata ketika ini ramai di kalangan rakyat yang memerhatikan senario politik negara terutama menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," katanya pada wacana mengenai Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata pelan peralihan kuasa yang dirancang setakat ini berjalan mengikut perlembagaan parti.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah terdapat banyak politik wang yang berlaku dan jika ada peralihan (kuasa) tetapi kalau pemimpin yang dipilih terdiri daripada mereka yang mengamalkan rasuah, Umno tidak akan dapat meraih sokongan rakyat," katanya.

Beliau berkata penggunaan wang rasuah juga boleh menidakkan kebaikan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, jadi perwakilan mesti bijak memberikan sokongan mereka kepada pemimpin yang bersih dan mampu memimpin negara.

"Adalah lebih baik kita musnahkan parti daripada menghidupkan pemimpin rasuah untuk memimpin parti," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata sokongan mereka yang berada di luar Umno juga penting bagi menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan kumpulan ini sedang memerhatikan perlakuan pucuk pimpinan Umno menjelang pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini.

Mengenai pakej rangsangan mini berjumlah RM60 bilion yang diumumkan baru-baru ini, Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah bagaimana peruntukan itu digunakan.

"Jika anda mengambil Amerika sebagai contoh, mereka seringkali menambah pakej rangsangan dan masih belum melihat hasilnya, jadi ini mungkin permulaan kepada pakej rangsangan kita kerana kita tidak tahu sejauh mana hasilnya.

"Tetapi cara ia akan digunakan adalah sangat penting, mereka mesti perlu berhati-hati dengan peruntukan dana daripada pakej rangsangan... perkara ini memerlukan kajian sewajarnya, anda perlu tahu semua butiran berhubung prestasi ekonomi," kata beliau.

Mengenai cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno, beliau berkata perkara seumpama itu pernah berlaku tetapi tidak berjaya disebabkan berlainan prinsip dan perjuangan.

Apa pun, kata Dr Mahathir BN telah memerintah Malaysia selama 50 tahun dan berjaya membawa kemakmuran serta kemajuan kepada rakyat negara ini.

- BERNAMA
.

Pilihan raya: BN umum calon tiga kawasan serentak

CALON-CALON BN.. bagi pilihan raya kecil tiga kawasan,Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai..Dari (kiri),bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian, bekas ADUN Lunas, Datuk S.Ganesan dan Malcolm Mussen anak Lamoh.

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan calon bagi ketiga-tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan serentak pada 7 April ini. Bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, BN akan diwakili oleh bekas Ketua Penerangan Umno Bahagiannya, Ismail Saffian.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S.Ganesan dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Bagi DUN Batang Ai, Barisan Nasional akan meletakkan Malcolm Mussen anak Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak sebagai calon.

Bagaimanapun, pemilihan Malcolm sebagai calon telah diperakui oleh kepimpinan Barisan Nasional Sarawak.

Di Taiping, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Ismail sebagai calon BN Bukit Gantang pada majlis pemimpin bersama rakyat yang berlangsung di Taman Kota Jaya, Simpang, dekat sini hari ini.

Ismail, 49, adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara dan berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata calon yang dipilih adalah anak tempatan seperti yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.

Pemilihan calon dibuat daripada perbincangan dengan pimpinan bahagian dan negeri serta tinjauan yang mengambil kira segala aspek, katanya pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

"Kita pilih calon yang terbaik untuk BN... saya yakin beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik dan dapat bekerja sama penuh dengan semua," katanya.

Beliau berkata antara syarat penting juga ialah calon diterima oleh peringkat bahagian bagi mengelak berlaku pergeseran, termasuk prasyarat bahawa Ismail tidak akan bertanding dalam pemilihan bahagian Umno akan datang.

Pada pemilihan bahagian tahun lepas, Ismail tewas kepada Adun Trong Datuk Rosli Husin dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M.Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lainlain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang dan pada pilihan raya umum lepas BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Di Sungai Petani, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S.Ganesan dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Pemilihan Ganesan, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, diumumkan Timbalan Perdana Menteri hari ini, beberapa jam selepas beliau mengumumkan Ismail Saffian sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Ganesan, 49, tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Beliau yang dilahirkan di ladang Sungai Division di Sungai Petani merupakan lulusan Universiti Malaya dalam jurusan ekonomi sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di London.

Beliau yang kini merupakan seorang peguam mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan R.Vatsala, 42, yang juga merupakan seorang peguam. Ganesan menyertai MIC sejak 1983 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pergerakan itu.

"Saya berterima kasih kerana pucuk pimpinan memberi keyakinan dan saya akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumumannya sebagai calon BN.

Sementara itu Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dalam satu kenyataan berkata Ganesan dipilih setelah tinjauan MIC mendapati beliau adalah calon kegemaran di kawasan Bukit Selambau.

"Saya sudah berada di Bukit Selambau dua tiga minggu lepas dan saya dapat maklum balas orang ramai tentang calon, saya yakin dia diterima oleh semua kaum," katanya.

Kerusi Bukit Selambau kosong selepas peletakan jawatan oleh penyandangnya V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal bulan lepas.

Di Kuching, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai telah dikenal pasti dan akan diumumkan minggu depan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Kami sebulat suara telah memperakui calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi kerusi itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini hari ini.

Taib, yang juga pengerusi BN negeri, enggan mendedahkan nama calon itu, menyatakan ia akan diserahkan kepada perdana menteri untuk kelulusan dan dijangka diumumkan pada Isnin.

Sementara itu, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing mengesahkan PRS telah mencalonkan Malcom Mussen Lamoh, 49, jurutera di Jabatan Pertanian, sebagai calon BN bagi Batang Ai.

Bapa kepada tiga cahaya mata, Mussen merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pembuatan Sistem Kejuruteraan dari Universiti Warwick dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Pertanian) dari Univerisiti Putra Malaysia (UPM).

Kerusi Batang Ai kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu selepas berada dalam keadaan koma akibat serangan angin ahmar selama sembilan bulan.

Dalam pilihan raya negeri pada Mei 2006, Unting menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 20 Mei, 2006, BN memenangi 62 daripada 71 kerusi. DAP menang enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua dan calon Bebas di satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi ketiga-tiga kawasan pada 29 Mac dan hari pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.
.

11 March 2009

UMNO mesti jaga kepentingan Melayu - Rais

UMNO mesti berperanan sebagai sebuah parti yang dilihat benar-benar mengetengahkan kepentingan bangsa Melayu terutama dari segi penguasaan ekonomi.

Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim percaya, kesungguhan UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) memperjuangkan nasib Melayu akan menjadikan parti itu kuat dan diterima oleh rakyat.

Sambil menolak kenyataannya itu boleh mengundang pergeseran di antara kaum-kaum di Malaysia, beliau menegaskan, kegagalan UMNO berbuat demikian menyebabkan bangsa Melayu mencari alternatif walaupun parti lain yang dipilih itu belum diketahui kekuatan sebenarnya.

''Saya percaya UMNO sebuah parti yang kuat. Sebagai tulang belakang BN, UMNO mesti memperjuangkan kepentingan Melayu terutama dari sudut ekonomi.

''Jika orang Melayu di negara ini jumlahnya hampir 60 peratus maka UMNO kena pastikan penguasaan ekonomi bangsa Melayu adalah sekurang-kurangnya di tahap 50 peratus,' katanya ketika menjadi tetamu rancangan Hujah TV9 di sini malam ini.

Program tersebut turut menampilkan seorang lagi calon Naib Presiden, Datuk Mohd. Shafie Apdal, dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohamad Agus Yusuf bertindak sebagai perantara.

Menyentuh mengenai kerenah pakatan pembangkang di Perak, Mohd. Shafie pula berkata, adalah jelas pembangkang cuba mengalih tumpuan rakyat dengan mengetengahkan kes-kes yang tidak relevan sebagai rujukan.

Katanya, kes di Sabah cukup kuat untuk menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker Dewan Undangan Negeri itu, V. Sivakumar menyanggahi undang-undang.

Katanya, pakatan pembangkang cuba bertuankan undang-undang yang salah dan pada masa yang sama mengelirukan rakyat supaya kerajaan negeri yang sudah tidak wujud lagi itu mendapat pengiktirafan.
.