SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

31 January 2009

Najib ambil alih UMNO, BN Perak

Zahid dipilih timbalan kuat kuasa serta-merta

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi memutuskan Datuk Seri Najib Razak menggantikan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan perkara itu berkata, MT Umno juga bersetuju memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan negeri itu.

“Kedua-dua jawatan berkenaan akan disandang sehingga selesai pemilihan Umno Mac ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno selama hampir empat jam di sini malam tadi. Berita Harian kelmarin melaporkan tindakan Tajol menyerahkan surat meletak jawatan kepada Najib sebagai bertanggungjawab atas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, jawatankuasa pengurusan akan membuat kajian teliti mengenai laporan bedah siasat punca kekalahan calon BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebelum keputusan itu diumumkan.

Beliau berkata, MT malam tadi diberi penerangan sebab kekalahan calon BN oleh Pengerusi BN Negeri, Datuk Ahmad Said. Pada pilihan raya itu calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dalam pertandingan tiga penjuru. Perdana Menteri berkata, MT juga memutuskan untuk melaksanakan segera semua keputusan yang dicapai pada retreat kepemimpinan Umno baru-baru ini.

“Harap akan yang di putuskan pada retreat dapat dilaksanakan dan banyak langkah yang boleh diambil.

“Apabila tiba peralihan kuasa (kepada Najib) semuanya boleh berjalan dengan lebih cepat,” katanya. Mengulas mengenai keputusan MT, Tajol berkata beliau tidak lagi mampu memikul tanggungjawab dan berharap Najib mampu memenangkan semula BN di Perak.

Sementara itu, di KAMPAR, Tajol Rosli mengumumkan akan meletakkan jawatan Ketua Umno Bahagian Grik pada 29 Mac ini. Beliau yang ditemui media selepas pelancaran Pelan Tindakan Desa oleh Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning di sini semalam, berkata, beliau juga tidak akan bertanding atau menawarkan diri bertanding sebagai Ahli MT Umno apabila tempoh perkhidmatannya tamat dalam tempoh yang sama.

29 January 2009

Muhyiddin serah pada pucuk pimpinan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang akan bertanding Timbalan Presiden, berkata beliau menghormati pandangan Umno Besut yang mengambil kira senario politik dan keadaan Umno ketika ini.

Beliau berkata, walaupun Umno mengamalkan demokrasi, ini tidak bermakna musyawarah untuk mencari kebaikan tidak boleh diamalkan. Yang penting diutamakan ialah kepemimpinan yang kuat, perpaduan parti serta imej Umno pada mata rakyat.

“Apa pun, saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan serta perwakilan Umno untuk memikir dan memutuskan pilihan terbaik bagi menjamin keteguhan kita pada masa akan datang,” katanya semalam. Beliau diminta mengulas cadangan Umno Besut mengenai jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden tidak dipertandingkan, sebaliknya pemilihan dibuat secara rundingan bagi mengatasi kemelut politik wang yang membelenggu Umno.

Calon Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadangan itu tidak mustahil dibincangkan demi keutuhan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan berharap mereka yang terpilih bertanding sebagai satu keluarga tanpa menjejaskan parti.

“Tidak mustahil kita bincang... yang perlu agih tugas selepas Mac, kita agihkan... yang perlu pikul dan bahagikan jawatan, kita lakukan. Ini cara Umno dan pertimbangan bukan saja untuk Umno dan BN, malah demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika dihubungi di Makkah. Seorang lagi calon Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata terpulang kepada pucuk pimpinan khususnya Presiden dan Timbalan Presiden membuat keputusan dan menentukan calon perlu berkompromi atau sebaliknya.

“Saya patuh kepada keputusan kerana Umno perlu diutamakan. Jika mereka berpendapat pertandingan tidak menjejaskan usaha menguatkan parti, saya sedia menawarkan diri,” katanya.

Datuk Seri Dr Rais Yatim, pula berkata cadangan itu sangat baik dan wajar dipertimbangkan kerana dalam Umno, semangat musyawarah dan rundingan amat digalakkan.

“Tetapi pada masa, hak bertanding tidak boleh disekat dan pucuk pimpinan perlu menggerak usaha muafakat,” katanya. Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, berkata sudah terlewat untuk melaksanakan cadangan itu kerana calon sudah mendapat pencalonan dan akan bertanding Mac ini.

“Kalau boleh runding adalah baik, tetapi agak terlewat dan terpulang kepada Presiden parti buat keputusan,” katanya. Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani pula berkata tidak wajar menyekat peluang untuk calon berkenaan bertanding. “Kalau tidak bertanding nanti, banyak pula cakap belakang,” katanya.

.

Tajol Rosli letak jawatan

Bertanggungjawab tindakan Adun Bota sertai PKR

PARIT: Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak kerana rasa bertanggungjawab terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
.
Sambil menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai tanda undi tidak percaya terhadap kepemimpinannya, bekas Menteri Besar Perak itu berkata, kejadian itu memalukan Umno Perak terutama selepas Barisan Nasional (BN) kalah di negeri ini dalam pilihan raya umum lalu.

"Saya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ketika ini," katanya pada majlis perjumpaan bersama Pemimpin Umno Bahagian Parit dan ketua cawangan dalam bahagian itu di Bangunan Umno Parit di sini, lewat petang kelmarin.
.
Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, Timbalannya Yusuf Nordin, Naib ketua bahagian yang juga Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria, Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ramly Zahari dan Setiausaha Kerja Umno Negeri Datuk Hasbullah Osman. Tajol Rosli berkata, surat peletakan jawatannya itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 4.30 petang, Isnin lalu.

Dalam ucapannya, beliau juga meminta Nasaruddin memikirkan semula keputusannya dan menyertai semula Umno demi kepentingan bangsa Melayu di negeri ini.

"Saya meminta sahabat handai dan saudara maranya supaya memujuknya semula untuk kembali kepada Umno demi perpaduan bangsa Melayu," katanya. Menjawab soalan seorang ahli Umno mengenai tindakan yang diambil Badan Perhubungan Umno negeri terhadap Nasaruddin, Tajol Rosli mengibaratkan kes itu umpama isteri meninggalkan suami.

"Mungkin tindakan pantas si suami ialah menjatuhkan talak, namun pendekatan yang diambil oleh Badan Perhubungan Umno negeri lebih kepada memujuk supaya si isteri kembali kepada suami.

"Kita tidak mahu, tindakan menjatuhkan talak itu akan menyebabkan si suami akan kehilangan isteri dan anak-anak serta saudara maranya," katanya. Pada majlis itu juga, Timbalan Umno Bahagian Parit, Yusuf Nordin dilantik sebagai penyelaras DUN Bota untuk memastikan perjuangan Umno dapat diteruskan.

28 January 2009

MPV Proton Segak Menawan


Inilah rupa kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran terbaru Proton yang bakal dilancarkan pada April ini. Ia memaparkan reka bentuk menarik dan pasti mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia kelak.

Model terbaru Proton ini yang gambarnya mula tersebar dalam Internet sejak seminggu lalu boleh memuatkan sekurang-kurangnya tujuh orang penumpang dan menggunakan enjin Campro 1.8 liter serta disasarkan pada harga sekitar RM80,000 sebuah. - Utusan

JANGAN TIPU DAN KECEWAKAN PENGUNDI

Oleh : Ibrahim Yahaya

Wakil rakyat bertukar parti bukan satu perkara yang luarbiasa. Ada wakil rakyat yang berpindah parti ketika masih menjadi Adun atau Ahli Parlimen. Ada juga yang menyertai parti lain selepas tamat menjadi wakil rakyat. Ada juga yang tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi bertukar parti selepas berbelas tahun berjuang dalam parti sejak zaman muda lagi. Mereka mempunyai alasan tersendiri.

Apabila ahli atau pemimpin parti pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN), persepsi ramai ialah individu itu mungkin akan diberikan ganjaran tertentu sama ada dalam bentuk jawatan atau pengiktirafan. Ada yang diberikan serta-merta dan ada juga dalam tempoh tertentu. Nasib badan masing-masing.

Bagi yang menyertai BN menjelang Plihanraya Umum, sudah pasti persepsi masyarakat ialah individu itu akan dipilih sebagai calon BN terutama di kawasan asalnya. Keadaan ini adakalanya menimbullkan rasa kurang senang terutama bagi mereka yang sudah menanam cita-cita untuk menjadi wakil rakyat menyebabkan BN tidak mendapat sokongan sepenuhnya kerana ada pihak yang merajuk atau membawa diri. Yang lebih menyedihkan berlakunya perbuatan sabotaj daripada mereka yang diketepikan.

Ada juga individu yang menyertai BN khasnya UMNO kerana tertarik dengan pendekatan pemimpin tertinggi seperti dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan kagum dengan kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Namun ada juga yang menyatakan Dr Mahathir yang berusaha memujuk DSAI menyertai UMNO agar pemimpin ABIM itu tidak menyertai PAS. Selebihnya adalah sejarah.

Tahun lalu, orang kanan DSAI, Ezam Mohamad Nor, yang pernah menjadi ahli UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai semula UMNO kerana yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ezam amat menyanjungi usaha Paklah menghapuskan rasuah dan penyelewengan.

Ezam turut berkempen di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang tentu ingin mendedahkan segala penyelewengan DSAI selama ini. Malangnya, ramai yang merasakan usaha beliau itu bukan saja tidak memberi kesan tetapi juga menyebabkan banyak kerja “memperbetulkannya” selepas itu.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO menyertai pembangkang termasuk Kapten (B) Zahar Hashim yang menyertai PAS. Ada yang menyatakan tindakan itu ada kaitan dengan permohonan projeknya ditolak atau tidak mendapat tempat lagi di kalangan pemimpin tertinggi parti.

Ahad lalu, ADUN Bota, Perak Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR kerana yakin parti itu boleh menjadi parti alternatif untuk orang Melayu di samping tidak senang dengan pergolakan yang berlaku dalam UMNO terutama kemelut kepemimpinan dan politik wang.Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, DSAI, Adun Bota itu berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota. Apa pula kata mengundi? Perlukah Nasaruddin meletakkan jawatan?

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapten (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Beliau memperoleh 6,556 undi. Nasaruddin adalah wakil rakyat BN pertama menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12. Dengan penyertaan itu, pakatan pembangkang kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.

Penyertaaan Nasaruddin dalam PKR tidaklah satu perkara mengejutkan kerana memandangkan apa yang berlaku kepadanya kebelakangan ini. Beliau yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Parit diminta bertanding di DUN Bota pada PRU ke 12 yang lalu. Selain itu, jawatan beliau sebagai Pengerusi Felcra tidak disambung dan kekalahannya dalam pertandingan Ketua Bahagian Parit tahun lalu pasti meruntun jiwa. Hati mana yang tidak panas jika tidak terpilih menjadi Ketua Bahagian kerana faktor tertentu.

Persepsi ramai sudah tentu menyatakan tindakan Nasaruddin itu sebagai orang yang kecewa atau tidak mempunyai harapan lagi dalam parti. Itu mungkin pandangan orang jika dilihat daripada peristiwa yang berlaku dalam kerjaya politik Nasharuddin. Bagaimanapun, faktor sebenar hanya beliau saja yang tahu.

Bagaimanapun, ada pula yang menyatakan kemasukan Nasaruddin dalam PKR sebagai persediaan pembangkang untuk menukar Menteri Besar Perak sekarang. Alasan yang dinyatakan mereka ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin tidak mampu menghadapi tekanan daripada pemimpin DAP terutama Pengerusi DAP Negeri yang dikatakan berlagak sebagai “diktator” yang membuat pelbagai arahan kepada Nizar.

Arahan terbaru DAP agar diberikan tempoh 999 tahun kepada pemilik tanah di Kampung Baru menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Melayu pembangkang yang melihat ini adalah tindakan menghakis “Ketuanan Melayu” dari segi pegangan tanah di negara ini.

Oleh itu, pemimpin pembangkang Melayu Perak mengkehendaki seorang MB yang lebih tegas dan tidak bertindak seperti lembu dicucuk hidung yang mengikut sesiapa saja yang menariknya. Pemimpin baru itu mesti berani menghadapi DAP terutamanya isu yang membabitkan kepentingan bangsa Melayu.

Pemimpin baru itu mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh DAP selama ini termasuk “menyerbu masuk” SEDC dan Perbadanan Pertanian Perak untuk melihat apa yang boleh mendatangkan keuntungan kepada penghuni kampung baru di samping untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Ini penting untuk dijadikan hujah ketika berbincang dengan pemimpin DAP agar segala tindakan pembangkang di Perak bukan saja menyakitkan hati bangsa Melayu tetapi juga Sultan Perak yang amat mengambil berat dengan perkembangan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Berbalik kepada tindakan Nasaruddin, ramai pemimpin Perak termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menyifatkan tindakan Adun Bota itu sebagai amat mengecewakan dan tindakan seorang pembelot kepada parti serta bangsa Melayu. Tindakan yang amat jelik dan menjengkelkan.

Mereka juga berharap Nasaruddin akan pulang ke pangkal jalan bagi membantu UMNO menghadapi pembangkang dalam PRU ke 13. Penyertaannya dalam PKR bukanlah satu perkara besar tetapi menjejaskan imej UMNO Perak dan pasti mengecewakan Paklah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi DS Najib, adalah tidak wajar wakil rakyat BN meninggalkan parti semata-mata kerana masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati. Tidak puas hati dengan siapa?

Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah juga tidak wajar bagi wakil rakyat BN mengetepikan parti ketika sokongan dan kesetiaan mereka kepada parti amat diperlukan. Tidak pernahkah Adun Bota terfikir apa yang telah diberikan oleh parti kepadanya?

''Semua wakil rakyat yang berniat meninggalkan parti mesti faham bahawa UMNO dan BN telah terlalu banyak menabur jasa kepada rakyat dan negara pada keseluruhannya,'' katanya selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Najib ditanya tindakan Nasaruddin menyertai PKR.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu Nasaruddin berhubung tindakan tersebut, Najib berkata, beliau tidak berbuat demikian sebaliknya akan berjumpa DS Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak untuk mengetahui cerita sebenar.

"Saya agak terkejut dengan perkara ini. Walaupun dua hari lalu kita ada dengar ura-ura beliau akan melompat parti, tetapi ia masih lagi memberikan kejutan kepada kita," katanya. Ditanya adakah BN akan mengambil tindakan memujuk Nasaruddin supaya membatalkan hasratnya, Najib berkata: "Saya berharap ini boleh dilakukan.

''Tetapi nampaknya dia (Nasaruddin) bersungguh-sungguh dan sangat serius dengan tindakannya, jadi kita akan tengok apakah yang boleh dilakukan".

Sementara itu bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menafikan ada ramai lagi ADUN yang akan meninggalkan BN.

Beliau berkata, cakap-cakap berhubung kemungkinan lebih ramai ADUN BN menyertai pembangkang hanyalah khabar angin dan tidak boleh dipercayai.

"Semua itu khabar angin sahaja, saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya.

Kesimpulannya penyertaan Nasaruddin dalam PKR seharusnya dijadikan satu perkara yang diberikan perhatian berat oleh UMNO bagi memastikan ia tidak menjejaskan imej parti berkenaan.

Walau apapun alasan yang ingin diberikan oleh pemimpin UMNO Perak termasuk menuduh Nasaruddin sebagai seorang yang kecewa tetapi hakikatnya bagaimana seorang pemimpin UMNO yang telah menghayati dasar perjuangan parti itu beralih arah. Apa sudah jadi?

Tindakan Nasaruddin itu sudah pasti memberikan “peluru” kepada parti pembangkang terutama PKR untuk memperbaharui propaganda mereka bahawa lebih ramai wakil rakyat BN akan menyertai pembangkang dan seterusnya membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Walaupun beliau hanya seorang Ahli DUN tetapi ia satu tindakan “lompat” yang dicanang oleh DSAI selama ini tambahan pula kemenangan PAS yang juga sekutu rapat PKR di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P036 yang menyaksikan Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Jika selama ini, dakwaan DSAI untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 adalah satu lawak jenaka terbesar tetapi perkembangan terbaru ini pasti memberikan semangat kepada parti pembangkang untuk mewar-warkan bahawa mereka kini sudah bersedia. Apakah kenyataan “apa dah jadi?” akan menjadi “tidak lama lagi akan jadi” yang secara langsung memberi kekuatan baru kepada pembangkang walaupun ia satu pembohongan atau angan-angan mat jenin.