SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

28 January 2009

MPV Proton Segak Menawan


Inilah rupa kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran terbaru Proton yang bakal dilancarkan pada April ini. Ia memaparkan reka bentuk menarik dan pasti mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia kelak.

Model terbaru Proton ini yang gambarnya mula tersebar dalam Internet sejak seminggu lalu boleh memuatkan sekurang-kurangnya tujuh orang penumpang dan menggunakan enjin Campro 1.8 liter serta disasarkan pada harga sekitar RM80,000 sebuah. - Utusan

JANGAN TIPU DAN KECEWAKAN PENGUNDI

Oleh : Ibrahim Yahaya

Wakil rakyat bertukar parti bukan satu perkara yang luarbiasa. Ada wakil rakyat yang berpindah parti ketika masih menjadi Adun atau Ahli Parlimen. Ada juga yang menyertai parti lain selepas tamat menjadi wakil rakyat. Ada juga yang tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi bertukar parti selepas berbelas tahun berjuang dalam parti sejak zaman muda lagi. Mereka mempunyai alasan tersendiri.

Apabila ahli atau pemimpin parti pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN), persepsi ramai ialah individu itu mungkin akan diberikan ganjaran tertentu sama ada dalam bentuk jawatan atau pengiktirafan. Ada yang diberikan serta-merta dan ada juga dalam tempoh tertentu. Nasib badan masing-masing.

Bagi yang menyertai BN menjelang Plihanraya Umum, sudah pasti persepsi masyarakat ialah individu itu akan dipilih sebagai calon BN terutama di kawasan asalnya. Keadaan ini adakalanya menimbullkan rasa kurang senang terutama bagi mereka yang sudah menanam cita-cita untuk menjadi wakil rakyat menyebabkan BN tidak mendapat sokongan sepenuhnya kerana ada pihak yang merajuk atau membawa diri. Yang lebih menyedihkan berlakunya perbuatan sabotaj daripada mereka yang diketepikan.

Ada juga individu yang menyertai BN khasnya UMNO kerana tertarik dengan pendekatan pemimpin tertinggi seperti dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan kagum dengan kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Namun ada juga yang menyatakan Dr Mahathir yang berusaha memujuk DSAI menyertai UMNO agar pemimpin ABIM itu tidak menyertai PAS. Selebihnya adalah sejarah.

Tahun lalu, orang kanan DSAI, Ezam Mohamad Nor, yang pernah menjadi ahli UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai semula UMNO kerana yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ezam amat menyanjungi usaha Paklah menghapuskan rasuah dan penyelewengan.

Ezam turut berkempen di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang tentu ingin mendedahkan segala penyelewengan DSAI selama ini. Malangnya, ramai yang merasakan usaha beliau itu bukan saja tidak memberi kesan tetapi juga menyebabkan banyak kerja “memperbetulkannya” selepas itu.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO menyertai pembangkang termasuk Kapten (B) Zahar Hashim yang menyertai PAS. Ada yang menyatakan tindakan itu ada kaitan dengan permohonan projeknya ditolak atau tidak mendapat tempat lagi di kalangan pemimpin tertinggi parti.

Ahad lalu, ADUN Bota, Perak Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR kerana yakin parti itu boleh menjadi parti alternatif untuk orang Melayu di samping tidak senang dengan pergolakan yang berlaku dalam UMNO terutama kemelut kepemimpinan dan politik wang.Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, DSAI, Adun Bota itu berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota. Apa pula kata mengundi? Perlukah Nasaruddin meletakkan jawatan?

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapten (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Beliau memperoleh 6,556 undi. Nasaruddin adalah wakil rakyat BN pertama menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12. Dengan penyertaan itu, pakatan pembangkang kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.

Penyertaaan Nasaruddin dalam PKR tidaklah satu perkara mengejutkan kerana memandangkan apa yang berlaku kepadanya kebelakangan ini. Beliau yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Parit diminta bertanding di DUN Bota pada PRU ke 12 yang lalu. Selain itu, jawatan beliau sebagai Pengerusi Felcra tidak disambung dan kekalahannya dalam pertandingan Ketua Bahagian Parit tahun lalu pasti meruntun jiwa. Hati mana yang tidak panas jika tidak terpilih menjadi Ketua Bahagian kerana faktor tertentu.

Persepsi ramai sudah tentu menyatakan tindakan Nasaruddin itu sebagai orang yang kecewa atau tidak mempunyai harapan lagi dalam parti. Itu mungkin pandangan orang jika dilihat daripada peristiwa yang berlaku dalam kerjaya politik Nasharuddin. Bagaimanapun, faktor sebenar hanya beliau saja yang tahu.

Bagaimanapun, ada pula yang menyatakan kemasukan Nasaruddin dalam PKR sebagai persediaan pembangkang untuk menukar Menteri Besar Perak sekarang. Alasan yang dinyatakan mereka ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin tidak mampu menghadapi tekanan daripada pemimpin DAP terutama Pengerusi DAP Negeri yang dikatakan berlagak sebagai “diktator” yang membuat pelbagai arahan kepada Nizar.

Arahan terbaru DAP agar diberikan tempoh 999 tahun kepada pemilik tanah di Kampung Baru menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Melayu pembangkang yang melihat ini adalah tindakan menghakis “Ketuanan Melayu” dari segi pegangan tanah di negara ini.

Oleh itu, pemimpin pembangkang Melayu Perak mengkehendaki seorang MB yang lebih tegas dan tidak bertindak seperti lembu dicucuk hidung yang mengikut sesiapa saja yang menariknya. Pemimpin baru itu mesti berani menghadapi DAP terutamanya isu yang membabitkan kepentingan bangsa Melayu.

Pemimpin baru itu mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh DAP selama ini termasuk “menyerbu masuk” SEDC dan Perbadanan Pertanian Perak untuk melihat apa yang boleh mendatangkan keuntungan kepada penghuni kampung baru di samping untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Ini penting untuk dijadikan hujah ketika berbincang dengan pemimpin DAP agar segala tindakan pembangkang di Perak bukan saja menyakitkan hati bangsa Melayu tetapi juga Sultan Perak yang amat mengambil berat dengan perkembangan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Berbalik kepada tindakan Nasaruddin, ramai pemimpin Perak termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menyifatkan tindakan Adun Bota itu sebagai amat mengecewakan dan tindakan seorang pembelot kepada parti serta bangsa Melayu. Tindakan yang amat jelik dan menjengkelkan.

Mereka juga berharap Nasaruddin akan pulang ke pangkal jalan bagi membantu UMNO menghadapi pembangkang dalam PRU ke 13. Penyertaannya dalam PKR bukanlah satu perkara besar tetapi menjejaskan imej UMNO Perak dan pasti mengecewakan Paklah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi DS Najib, adalah tidak wajar wakil rakyat BN meninggalkan parti semata-mata kerana masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati. Tidak puas hati dengan siapa?

Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah juga tidak wajar bagi wakil rakyat BN mengetepikan parti ketika sokongan dan kesetiaan mereka kepada parti amat diperlukan. Tidak pernahkah Adun Bota terfikir apa yang telah diberikan oleh parti kepadanya?

''Semua wakil rakyat yang berniat meninggalkan parti mesti faham bahawa UMNO dan BN telah terlalu banyak menabur jasa kepada rakyat dan negara pada keseluruhannya,'' katanya selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Najib ditanya tindakan Nasaruddin menyertai PKR.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu Nasaruddin berhubung tindakan tersebut, Najib berkata, beliau tidak berbuat demikian sebaliknya akan berjumpa DS Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak untuk mengetahui cerita sebenar.

"Saya agak terkejut dengan perkara ini. Walaupun dua hari lalu kita ada dengar ura-ura beliau akan melompat parti, tetapi ia masih lagi memberikan kejutan kepada kita," katanya. Ditanya adakah BN akan mengambil tindakan memujuk Nasaruddin supaya membatalkan hasratnya, Najib berkata: "Saya berharap ini boleh dilakukan.

''Tetapi nampaknya dia (Nasaruddin) bersungguh-sungguh dan sangat serius dengan tindakannya, jadi kita akan tengok apakah yang boleh dilakukan".

Sementara itu bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menafikan ada ramai lagi ADUN yang akan meninggalkan BN.

Beliau berkata, cakap-cakap berhubung kemungkinan lebih ramai ADUN BN menyertai pembangkang hanyalah khabar angin dan tidak boleh dipercayai.

"Semua itu khabar angin sahaja, saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya.

Kesimpulannya penyertaan Nasaruddin dalam PKR seharusnya dijadikan satu perkara yang diberikan perhatian berat oleh UMNO bagi memastikan ia tidak menjejaskan imej parti berkenaan.

Walau apapun alasan yang ingin diberikan oleh pemimpin UMNO Perak termasuk menuduh Nasaruddin sebagai seorang yang kecewa tetapi hakikatnya bagaimana seorang pemimpin UMNO yang telah menghayati dasar perjuangan parti itu beralih arah. Apa sudah jadi?

Tindakan Nasaruddin itu sudah pasti memberikan “peluru” kepada parti pembangkang terutama PKR untuk memperbaharui propaganda mereka bahawa lebih ramai wakil rakyat BN akan menyertai pembangkang dan seterusnya membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Walaupun beliau hanya seorang Ahli DUN tetapi ia satu tindakan “lompat” yang dicanang oleh DSAI selama ini tambahan pula kemenangan PAS yang juga sekutu rapat PKR di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P036 yang menyaksikan Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Jika selama ini, dakwaan DSAI untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 adalah satu lawak jenaka terbesar tetapi perkembangan terbaru ini pasti memberikan semangat kepada parti pembangkang untuk mewar-warkan bahawa mereka kini sudah bersedia. Apakah kenyataan “apa dah jadi?” akan menjadi “tidak lama lagi akan jadi” yang secara langsung memberi kekuatan baru kepada pembangkang walaupun ia satu pembohongan atau angan-angan mat jenin.

25 January 2009

Hilang kelayakan bertanding jika didakwa di mahkamah

Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu menjelaskan mana-mana calon yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah kerana politik wang hilang kelayakan bertanding dalam pemilihan UMNO Mac ini.
.
Namun katanya jika kes itu masih dalam siasatan mereka dibenar bertanding. Menurut Timbalan Perdana Menteri para perwakilan UMNO bahagian yang didakwa di mahkamah juga tidak dibenar menghadiri Perhimpunan Agong UMNO dimana pemilihan jawatan itu diadakan.

20 January 2009

Analisis 1 : Faktor tempatan punca BN tewas


Oleh Manja Ismail

PELBAGAI analisis dibuat mengenai keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berakhir dengan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam dengan majoriti 2,631 undi kelmarin.

Sementara ramai juga, yang sejak selepas penamaan calon lagi, menjangkakan BN sukar mempertahankan kerusi yang silih bertukar tangan antara BN dengan pembangkang itu, majoriti agak besar diperoleh Pas kali ini agak mengejutkan, termasuk di kalangan pimpinan BN dan Pas sendiri.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam memperoleh 32,883 undi, Wan Ahmad Farid (30,252 undi), manakala Azharudin, bertanding menggunakan lambang buku hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Seramai 63,993 atau 79.9 peratus daripada 80,229 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail itu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, BN menerusi Razali menguasai kerusi Parlimen dengan majoriti 628 undi, tetapi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang dikuasai Pas. Hanya DUN Bandar dimenangi BN menerusi calon MCA.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 8,744 pengundi Cina dan 480 pengundi India. Kerana itu, BN dan Pas sejak awal lagi menganggap peluang masing-masing untuk merebut kerusi ini adalah 50-50 dengan pengundi atas pagar menjadi faktor penentu. Seramai 63,993 pengundi atau 79.09 peratus keluar mengundi, merosot berbanding 65,808 atau 81.92 peratus pada pilihan raya umum lalu. Apakah kemerosotan keluar mengundi itu sebagai bantahan kepada calon dan BN atau kerana ramai pemilih berdaftar yang bekerja di luar Terengganu tidak pulang mengundi pada pilihan raya kecil ini seperti dinyatakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Atau mungkinkah pengundi atas pagar, kebanyakan golongan guru yang dulunya mengundi Allahyarham Razali, bekas pendidik, berdasarkan sentimen kerjaya perguruan mereka, kali ini mengubah selera?

Apakah pengundi Cina, yang pada pilihan raya umum lalu dikatakan memberikan undi mereka kepada BN pada peringkat DUN, tetapi memilih pembangkang pada peringkat Parlimen sehingga Razali menang tipis, meneruskan trend itu kelmarin sehingga BN gagal mempertahankan kerusi berkenaan?

Sejarah pilihan raya lalu menunjukkan pengundi Kuala Terengganu selaku penghuni bandar dan mempunyai taraf hidup lebih baik berbanding penduduk di kawasan luar bandar, memang agak kritikal.

Dalam kata lain, jika pengundi di kawasan lain lebih mengutamakan parti daripada calon, pengundi di Kuala Terengganu turut memberi keutamaan kepada calon dan isu yang dimainkan sepanjang kempen berjalan.

Sebab itulah sejak Pilihan Raya Umum 1986, Parlimen Kuala Terengganu dimenangi silih berganti antara BN dan pembangkang dengan faktor calon serta isu-isu semasa ketika itu mempengaruhi keputusan. Misalnya, wakil BN, Datuk Zuber Embong yang menang pada 1986 tewas kepada calon Parti Semangat 46, Datuk Manan Othman pada 1990 selepas berlaku krisis dalam Umno ketika itu.

Pada Pilihan Raya Umum 1995, kerusi itu dirampas semula BN menerusi calonnya, Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud, tetapi berikutan krisis dalaman Umno pada 1998, calon Pas, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menang kerusi itu pada 1999. Kerusi itu kembali ke tangan BN menerusi Razali pada 2004, yang berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Mac 2008. Jika pada Pilihan Raya Umum 2008, BN menang di tiga kawasan DUN, kali ini semua kerusi DUN, termasuk Bandar memihak kepada pembangkang.

Keputusan pengundian menunjukkan BN bukan saja gagal menambah sokongan di peti undi dikuasai Pas, tetapi turut kalah di peti undi yang dimenanginya tahun lalu.

BN hanya menang


  • satu daripada 11 peti undi di DUN Wakaf Mempelam, kawasan kubu kuat Pas yang diwakili Mohd Abdul Wahid sejak lima penggal lalu;

  • empat daripada sembilan peti undi di DUN Batu Buruk;

  • tiga daripada 11 peti undi di DUN Ladang; dan

  • tiga daripada tujuh peti undi di DUN Bandar. Kecuali di peti undi Kampung Tiong dalam DUN Bandar dan peti undi Losong Datuk Amar di DUN Wakaf Mempelam, jumlah undi yang diperoleh BN semuanya merosot.

  • Begitu pun, BN menang undi pos dengan memperoleh 1,039 dan Pas cuma dapat 86 undi. Jumlah undi pos ialah 1,302.

Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menjadikan calon sebagai faktor tunggal kekalahan BN di Kuala Terengganu, walaupun tindakan pembangkang menyebarkan pelbagai fitnah terhadap peribadi Wan Ahmad Farid, termasuk pada saat akhir menjelang hari mengundi, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi.

Kekalahan BN kelmarin juga, kali kedua selepas Parlimen Permatang Pauh sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, bukan juga petanda rakyat menolak BN. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun keputusan itu satu tamparan kepada BN, ia hanyalah pilihan raya kecil yang keputusannya banyak dipengaruhi faktor tempatan.

"Ini pilihan raya kecil... banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional. Kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan tawar hati dengan keputusan ini. Kita akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik lagi serta membangun dan memajukan negara sehingga mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi, insya-Allah," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan malam kelmarin.

Berdasarkan kenyataan Najib itu, kajian terperinci BN dan Umno terhadap kekalahan ini tidak lama lagi perlu dibuat secara jujur untuk mencari punca sebenar, walaupun pahit bagi memastikan ia tidak berulang pada pilihan raya kecil selepas ini. Memang majoriti agak besar yang diperoleh pembangkang agak mengejutkan, termasuk di kalangan Pas dan Pakatan Rakyat, apa lagi kerana mereka juga mempunyai masalah dalaman, terutama berhubung pemilihan calon kali ini.

Malah, pada peringkat Pakatan Rakyat pun percanggahan berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas penamaan calon sehingga kelompok tertentu dalam pimpinan Pas negeri dikatakan tidak mahu pemimpin luar bukan daripada parti itu datang berkempen. Apabila ceramah Pas oleh pemimpin tempatan dilihat kurang sambutan, barulah mereka bersetuju dengan kehadiran pemimpin Pusat.

Pada pihak BN pula, kehadiran hampir semua pemimpin kanan parti dan perhubungan Umno/BN negeri lain berkampung di Kuala Terengganu lebih kepada berganding bahu dengan pemimpin tempatan menjaga kawasan peti undi, daripada menonjolkan diri masing-masing seperti berlaku pada pilihan raya kecil sebelum ini. Walaupun ada yang mengambil kesempatan berkempen untuk pemilihan Umno, ia dilakukan secara senyap oleh -ejen mereka di lobi hotel penginapan selepas ceramah.

Justeru, kehadiran orang luar tidak boleh dijadikan faktor kekalahan, apa lagi pemimpin dan penyokong pembangkang, termasuk daripada DAP sendiri turut berkampung di Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu. Barangkali bezanya ialah jentera pilihan raya Pas pada peringkat cawangan lebih kemas dan ikhlas berbanding jentera Umno, yang hingga pada saat akhir dilaporkan masih mempunyai masalah sehingga memaksa pemimpin peringkat negeri turun menyelesaikannya.

Salah satu punca masalah ini ialah rasa tidak puas hati pengundi, termasuk ahli Umno sendiri terhadap kebanyakan ketua cawangan yang juga pengerusi jawatankuasa kemajuan kampung, terutama yang terlalu lama memegang jawatan itu. Disebabkan mereka ini tidak dapat dikalahkan sewaktu pemilihan parti pada peringkat cawangan, ahli parti melahirkan protes melalui peti ini.

"Faktor ada ahli Umno sendiri dan pengundi atas pagar membalas dendam terhadap pemimpin akar umbi yang dilihat tidak menjaga kepentingan mereka atau tidak mesra rakyat tidak harus dipandang ringan. Jika tidak kenapa banyak peti undi yang BN kuasai dulu jatuh ke tangan pembangkang dan peratus keluar mengundi agak rendah," kata seorang petugas Umno negeri ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan itu.

Jika benar pandangan itu, yang turut disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno luar yang bertandang di kampung-kampung di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu, BN dan Umno perlu memberi perhatian kerana ia juga mungkin berlaku di tempat lain, terutama kawasan luar bandar yang penduduknya amat bergantung kepada pemimpin akar umbi dalam menyelesaikan masalah dan menjaga kepentingan mereka.

Pilihan Raya Umum Ke-13 akan tiba kira-kira empat tahun lagi dan jika masalah tempatan seperti ini berlaku di banyak kawasan, tidak mustahil ia boleh mencorakkan landskap politik nasional.


.

19 January 2009

Pas menang di Kuala Terengganu

KEPUTUSAN PENUH PILIHANRAYA KECIL
P.036 KUALA TERENGGANU

.