SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 November 2008

Bubar Majlis Peguam Jika Mahu Berpolitik, Kata Abu Zahar

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) - Majlis Peguam Malaysia perlu dibubarkan jika badan itu bertindak tidak ubah seperti sebuah parti pembangkang, mempersoalkan hak-hak pribumi di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata badan itu kini tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya kepada peguam-peguam yang menjadi anggotanya.

"Saya menasihatkan supaya Majlis Peguam dibubarkan dan mereka yang terbabit menubuhkan sebuah parti jika ingin aktif dalam politik," katanya ketika berucap di program wacana isu perundangan dan hak-hak pribumi dalam perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Beliau juga meminta semua peguam Melayu di negara ini supaya bersatu dalam menangani isu bangsa mereka yang berada dalam keadaan "amat tertekan sekali" ketika ini.

Katanya, isu berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu sering dibangkitkan lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas dan "saya tidak sanggup lagi menghadapi situasi seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

"Dalam ucapannya, Abu Zahar yang juga anggota jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno berkata lembaga itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati mengamalkan rasuah atau politik wang.

- BERNAMA

.

Tsunami dalam Wanita UMNO

Rakyat Malaysia sepanjang minggu ini berasa ada kelainan dalam episod politik tanah air. Daripada cerita pemilihan jawatan tertinggi UMNO hingga perbalahan antara ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun drama dalam Pergerakan Wanita UMNO menduduki carta teratas dalam pemerhatian peminat politik.

Selepas mesyuarat Exco Wanita UMNO selesai Isnin lalu dengan ketetapan mengekal pelan peralihan, namun masih terdapat desakan daripada bawah yang mahu pelan peralihan kuasa itu mesti diselaraskan dengan UMNO pusat, Pemuda dan Puteri dijalankan pada Mac 2009. Sementara sebilangan anggota Exco Wanita UMNO mahu pelan itu dikekalkan pada Jun.

Kini, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dianggap orang paling tersepit walaupun mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Wanita.

Isnin lalu beliau gagal meyakinkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dan sebilangan anggota Exco untuk menyelaras kembali tarikh pelan peralihan itu. Ekoran perubahan pendirian Shahrizat itu beliau diminta mengotakan janjinya sebelum ini yang tidak mahu mencabar Rafidah pada pemilihan parti Mac depan walaupun mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan.

Beberapa pemimpin Wanita UMNO negeri yang juga anggota Exco Wanita Pusat mengkritik sikap Shahrizat. Sebagai orang yang bakal menerajui pergerakan itu, Shahrizat sepatutnya tidak berdolak-dalik sebaliknya bertegas dengan keputusan meneruskan pelan peralihan kuasa yang telah ditetapkan pada Jun 2009.

Jika Shahrizat terus mendesak supaya jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO diserahkan lebih awal, ada suara menyeru Rafidah supaya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti Mac depan. Permintaan itu dibuat berdasarkan 117 pencalonan yang diterima oleh Rafidah menunjukkan peringkat akar umbi mahu beliau terus menerajui kepimpinan Wanita sehingga Jun 2009.

Benarkah pencalonan itu adalah kehendak dan kemahuan tulen daripada akar umbi? Apakah Shahrizat mesti berpegang pada janji atau menghormati kehendak akar umbi yang mahu beliau bertanding Ketua Wanita? Ataupun selepas mesyuarat Isnin lalu, pelan peralihan itu sudah tidak 'terpakai' lagi?

Pada 4 Ogos lalu apabila Rafidah mengumumkan pelan peralihan, ia dikatakan dibuat tanpa perundingan dengan Shahrizat dan anggota exco lain. Rafidah dikatakan mengumumkannya dalam sidang akhbar apabila selesai mesyuarat exco.

Jika diimbas sebab pelan peralihan itu dilakukan, Rafidah mengemukakan tiga sebab 'rasmi'. Pertama Ketua Wanita UMNO itu mahu memastikan jawatan Presiden UMNO tidak diganggu gugat supaya peralihan kuasa yang ketika itu dijadual pada Jun 2010 berjalan dengan sebaik-baiknya. Jika Wanita UMNO juga turut mengadakan pertandingan tertinggi dalam pemilihan yang dijadual (ketika pengumuman) pada Disember 2008, UMNO akan tergugat.

Kedua, Rafidah tidak mahu ada pertandingan Ketua dan Naib Ketua Wanita. Ketiga, beliau mahu wujud perpaduan dalam Wanita UMNO. Jika ada pertandingan akan mengakibatkan pecah belah dalam Pergerakan Wanita.

Namun ada satu alasan 'tidak rasmi' yang umum sudah maklum ialah usaha tidak mahu Datuk Seri Azalina Othman Said dibawa masuk ke dalam kepimpinan Wanita UMNO.

Kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. Ketiga-tiga hajat Rafidah dimakbulkan Tuhan. Hajat pertama, peralihan kuasa di antara Presiden UMNO dengan timbalannya berjalan lancar, malah dipercepatkan daripada Jun 2010 kepada Mac 2009.

Kuota kelayakan

Kedua, wanita bahagian sudah menunjukkan mereka mahu hanya Shahrizat sebagai ketua dan Datuk Kamilia Ibrahim untuk Naib Ketua Wanita. Tiada orang lain yang dicalonkan melepasi kuota kelayakan. Ketiga, Wanita UMNO tidak berpecah dan Azalina atau mana-mana wanita dari luar tidak dapat masuk bertanding jawatan Wanita UMNO.

Berdasarkan itu, syarat-syarat pelan peralihan sudah dipenuhi, jadi mengapa perlu diteruskan pelan itu hingga Jun?

Ada risiko dan implikasi jika pelan itu diteruskan. Perlu diperhatikan bahawa perjanjian antara Rafidah dan Shahrizat pada asalnya tanpa ada rundingan rasmi. Oleh sikap tidak mahu melawan ketua, Shahrizat akur sahaja pelan peralihan itu.

Tetapi ramai ahli akar umbi Wanita UMNO tidak setuju dengan pelan peralihan itu. Ada lebih satu juta ahli Wanita UMNO mahu jawatan itu dipertandingkan. Sudah tentu ramai ahli Wanita marah kepada Shahrizat. Justeru kebangkitan Wanita menentang pelan peralihan telah bermula pada tanggal 4 Ogos lagi.

Semua kerana hak mereka untuk memilih pemimpin Wanita telah ditarik tanpa merujuk kepada mereka. Mereka mempersoalkan kenapa jawatan itu hanya untuk Rafidah dan Shahrizat. Kenapa tidak diserahkan kembali kepada akar umbi untuk menentukan siapa yang patut dipilih.
.
Hakikatnya, sejak tiga bulan lalu Wanita UMNO dalam resah gelisah dan geram. Mereka mahu membuat pilihan sendiri. Mereka juga bangkitkan persoalan kenapa perlu jawatan pemangku. Sebab itu sebahagian besar Wanita mengharapkan Shahrizat tidak menerima pelan peralihan itu. Tetapi Shahrizat yang lemah lembut itu tetap berulang kali menegaskan beliau setia dan akur dengan peralihan itu serta sedia berkorban demi Wanita UMNO.
.
Ketika mesyuarat perwakilan bahagian Wanita berlangsung pada 9 Oktober lalu, pada minggu pertama dan kedua sudah tergambar penentangan terhadap pelan peralihan. Gelombang menentang pelan peralihan semakin membesar. Hal ini dapat disaksikan pada pencalonan untuk Rafidah dan Shahrizat sebagai Ketua Wanita.

Dalam keadaan ini, ada juga yang keliru. Sesetengah Wanita bahagian yang hendakkan perubahan terpaksa mengalah dengan memberikan pencalonan kepada Rafidah. Yang mana tetap mahu perubahan, terus menyokong pencalonan untuk Shahrizat. Jadi, jumlah pencalonan kepada kedua-dua pemimpin itu tidak boleh diambil kira untuk menggambarkan kekuatan sokongan akar umbi kepada mereka.

Dalam minggu ketiga pencalonan, apabila berlaku peningkatan jumlah pencalonan jawatan Naib Ketua untuk Shahrizat, Kamilia dan Azalina, pemerhati politik dan Wanita UMNO sendiri dapat melihat kemungkinan kedudukan Shahrizat akan ditentang.

Pada masa itu ada desas-desus bahawa Wanita UMNO mahu memberi peringatan kepada pucuk pimpinan mereka.

Jika Rafidah dan Shahrizat terpaksa bertanding, maka akan ada tsunami dalam Wanita . Kalau Shahrizat mempertahankan jawatan Naib Ketua, akan berlaku juga tsunami. Ada spekulasi mengatakan Wanita UMNO akan memberi isyarat protes kepada Shahrizat dengan mengundi Kamilia bagi jawatan Naib Ketua. Ini sebagai balasan kepada Shahrizat jika enggan bertanding jawatan Ketua.

Begitu juga tsunami terhadap Rafidah akan berlaku jika beliau bertanding mempertahankan jawatan. Kecuali beliau melepaskannya secara terhormat.

Bermakna jika Rafidah bertanding mempertahankan jawatan Ketua Wanita, manakala Kamilia bertanding Naib Ketua, maka akan berlaku tsunami. Jadi yang tersepit ialah Shahrizat. Wanita akan melandakan tsunami ke atas Rafidah dan Shahrizat.

Oleh itu sebaik-baiknya jangan berlaku sejarah hitam dalam Wanita UMNO. Tidak pernah dalam sejarah Wanita daripada zaman Puteh Mariah hingga Rafidah, pergerakan itu akan hanya dipimpin oleh ketua yang berjawatan pemangku dan tiada naib ketua.

Jika ini berlaku dalam zaman Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO, ia adalah suatu perkara yang pelik dalam UMNO. Oleh kerana menjaga prinsip pemimpin dan keengganan menganjak tiga bulan maka kesannya hingga tiga empat tahun ditanggung oleh Wanita UMNO dan UMNO induk sendiri.

Jadi kenapa tiga bulan - antara Mac dan Jun? Ia boleh menukar sejarah Wanita UMNO. Apa asas lain untuk mempertahankan pelan peralihan hingga Jun 2009. Jika Presiden UMNO boleh menganjakkan tarikh peralihan kuasa daripada Jun 2010 kepada Mac 2009, apa istimewanya Jun?

Apa yang Ketua Wanita yang telah lebih 20 tahun menerajui pergerakan itu hendak lakukan dalam tempoh tiga bulan itu. Sebagai mana dinyatakannya baru-baru ini bahawa beliau mahu memastikan pentadbiran Wanita Barisan Nasional (BN) supaya memudahkan Shahrizat mengambil alih kuasa kelak.

Bagaimanapun Wanita BN mungkin mentertawakan tindakan Wanita UMNO. Ini kerana baru-baru ini Wanita MCA sudah membayangkan kalau Ketua Wanita UMNO hanya seorang pemangku, belum tentu semua wanita komponen menerimanya sebagai Pengerusi Wanita BN.

Rendah taraf

Semua 13 parti komponen BN yang lain akan melihat Shahrizat hanya seorang pengerusi dengan jawatan pemangku Ketua Wanita UMNO. Walau pun yang penting pemimpin itu boleh membuat kerja, namun gelaran jawatan memangku itu rendah tarafnya dibandingkan dengan jawatan ketua wanita BN lain. Kedudukan itu besar maknanya kepada Wanita BN.

Sejak dahulu Ketua Wanita UMNO dilantik sebagai Pengerusi Wanita BN dan Naib Ketua Wanita UMNO pula adalah Timbalan Pengerusinya. Sebagai timbalan pengerusi Wanita BN ia sudah melayakkan untuk mempengerusikan mesyuarat. Jika berjawatan sebagai pemangku, bagaimana penerimaan wanita komponen lain kelak.

Bayangkan jika Shahrizat memangku Pengerusi Wanita BN, maka kerusi Timbalan Pengerusi Wanita BN akan dituntut dan diambil alih oleh pemimpin wanita kaum lain. Apabila jawatan itu dibuka sahaja kepada kaum lain, ingat bahawa ia bukan mudah untuk dikembalikan. Jadi, haruskah perkara sebegini dibiarkan berlaku.

Hal ini harus difikirkan oleh Wanita UMNO tentang agenda perjuangan mereka.

Shahrizat bakal menjadi sasaran kemarahan Wanita UMNO kerana beliau boleh didakwa bersubahat menjadikan perkara ini berlaku, jika masih akur dengan pelan peralihan. Jika beliau bertanding mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita, ada usaha untuk memastikan Shahrizat kalah.

Mesej yang Wanita UMNO ingin sampaikan ialah jika pelan peralihan terus dilaksanakan pada Jun depan maka Rafidah dan Shahrizat bukanlah pemimpin yang bertanggungjawab tetapi hanya mementingkan diri.

Atas maruah dan prinsip diri masing-masing, kedudukan Wanita UMNO dipertaruhkan. Wanita UMNO tidak dapat menerima perjuangan yang mempertahankan 'tiga bulan'.

Wanita UMNO sekarang sudah berubah dan mampu berfikir yang mana baik dan buruk untuk parti. Selama ini kumpulan yang menyokong penuh pelan peralihan adalah mereka yang memegang jawatan sekarang seperti ketua penerangan, ketua-ketua wanita negeri dan beberapa exco.

Ada kebimbangan apabila Rafidah terus memimpin sehingga Jun, dan mesyuarat exco sebelum Jun 2009 membuat kejutan dengan satu resolusi menolak pelan peralihan. Ini mungkin boleh berlaku kerana pelan peralihan itu tidak ada dalam perlembagaan dan boleh diubah-ubah. Bagaimana nasib dan jawatan Shahrizat?

Begitu juga jika Shahrizat tewas di tangan Kamilia bagi jawatan Naib, adakah Rafidah akan membuat peralihan kuasa kepada Kamilia? Pelan boleh diubah kerana tiada perjanjian dengan Kamilia mengenai perkara itu.

Syak wasangka ini bermain di dalam minda ahli Wanita UMNO sekarang. Semua ini kerana tidak ada perjanjian bertulis, hanya bersandarkan kepada kepercayaan dan tanggungjawab moral.

Pada dasarnya kini Shahrizat boleh dianggap tidak lagi terikat dengan pelan peralihan. Suasana sekarang dengan semasa pelan peralihan dibuat pada Ogos lalu sudah jauh berbeza. Hakikat ini perlu diterima. Pada masa itu peralihan kuasa Presiden UMNO adalah Jun 2010 dan Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2008. Tetapi suasana sudah bertukar dengan peralihan dan perhimpunan diadakan serentak pada Mac depan.

Shahrizat boleh menunggu jawatan Ketua Wanita diserah kepadanya tetapi adakah beliau rela menerima tindakan yang boleh melemahkan struktur Wanita UMNO sendiri? Sekarang bukan soal personaliti tetapi keputusan itu akan mencacatkan struktur Wanita UMNO dengan pemimpinnya hanya berjawatan pemangku dan tiada naib ketua selama tiga atau empat tahun.

Jadi Shahrizat tidak mempunyai pilihan lain. Jika beliau benar-benar mahu menyelamatkan Wanita UMNO, beliau mesti ada keberanian. Apakah motif sebenar Rafidah berkeras mempertahankan pelan peralihan Jun itu. Apakah Rafidah tidak mahu meninggalkan satu warisan kepimpinan wanita yang dihormati.

Apakah Pergerakan Wanita sanggup membiarkan era kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO hanya seorang berjawatan pemangku. Tetapi sebelum keadaan bertambah meruncing, mungkin Timbalan Presiden UMNO itu perlu menjadi orang tengah dalam mencari penyelesaian kemelut kepimpinan Wanita.

Sesungguhnya, Rafidah dan Shahrizat jangan fikir tentang politik mereka sahaja kerana rakyat seluruh negara baik Melayu, Cina dan India sedang memerhatikan rentak politik Wanita UMNO. Rakyat akan terus memerhati drama tsunami Wanita UMNO hingga pilihan raya umum akan datang.

.

Bapa akan saman pemandu rempuh, seret anak 5km

MOHD. HAFIZI Suhairi ditemani ibunya, Yusnita Harun memegang erat batu nisan pusara abangnya, Mohd. Hanafiz (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Besar, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 15 Nov. - Bapa Allahyarham Mohd. Hanafiz, 10, yang maut selepas dirempuh dan diseret sejauh lima kilometer oleh sebuah kereta kelmarin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan itu.

Suhairi Yusof (gambar), 35, yang percaya anaknya mungkin boleh diselamatkan jika tidak diseret sebegitu jauh, berkata, tidak adil membiarkan pemandu berkenaan terlepas begitu sahaja sedangkan anaknya menemui ajal dalam keadaan azab dan mengerikan.

"Saya tak percaya dia (pemandu) tidak sedar, mengapa dia tergamak biarkan anak saya dalam keadaan begitu dengan terus memecut laju. Sekiranya dia berhenti, mungkin anak saya dapat diselamatkan," ujar Suhairi ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam Khamis lalu, Mohd. Hanafiz yang membonceng motosikal dirempuh sebuah kereta di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang dan diseret sejauh lima kilometer sehingga ke pekan Rantau Panjang.

Semasa kejadian, Mohd. Hanafiz membonceng motosikal yang ditunggangi sepupunya Ridzuan Razali, 19, bersama adiknya, Mohd. Hafizi, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di sebuah kedai runcit berdekatan.

Sepupu mangsa, Ridzuan yang cedera parah masih dirawat di Hospital Pasir Mas manakala Mohd. Hafizi hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Dalam pada itu itu, Suhairi meminta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pemandu terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Amir Hamzah Ibrahim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap pemandu kereta terbabit.

Katanya, pemandu itu yang telah dibebaskan dengan jaminan polis tidak akan terlepas daripada undang-undang jika terbukti melakukan kesalahan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa mangsa kerana membiarkan anak mereka membonceng motosikal tanpa mematuhi peraturan jalan raya.

Menurunya, beliau difahamkan, mangsa membonceng motosikal bersama adiknya tanpa memakai topi keledar dan penunggangnya pula dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

.

14 November 2008

Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris tak jejas prestasi UPSR

SERAMAI 19 pelajar Tahun Enam yang mendapat 5A dalam UPSR menerima habuan wang tunai RM100 daripada pihak sekolah dan PIBG SK Sultan Ismail IV Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid.
.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.
.
Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.
.
“Walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A dalam UPSR kali ini menurun, mereka yang memperoleh 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR tahun ini OK.
.
“Tidak ada keputusan melonjak tinggi atau menurun secara serius, sekali gus menunjukkan selepas enam tahun pelaksanaan PPSMI, ia tidak menjejaskan prestasi murid," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh, Pintu Geng di sini, semalam.
.
Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu. Hishammuddin berkata, sebelum ini sekolah yang gagal biasanya di pedalaman atau luar bandar serta daif, tetapi tahun ini sekolah di kawasan berkenaan turut mencatat kejayaan.
.
“Ini menunjukkan agenda merapatkan jurang digital tercapai, sekali gus menjayakan matlamat saya untuk ‘meratakan padang permainan’ tadi,” katanya. Beliau bagaimanapun berkata, sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan itu kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh.
.
"Kementerian sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat. Kita mengambil pendekatan yang realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik serta ahli politik termasuk pembangkang.
.
"Saya tidak mahu bersandarkan kepada emosi atau rasional yang tidak berpijak di bumi nyata dalam membuat keputusan mengenai PPSMI kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak kita nanti," katanya.


.

Menilai sikap seorang MB Perak

Oleh ZULKIFLEE BAKAR (WARTAWAN UTUSAN)

''GO...go''...'' Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu.'' Dua kata-kata ini bukanlah dilafazkan oleh orang biasa atau lebih tepat lagi insan di jalanan yang tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam kerajaan mahupun swasta.

Sebaliknya ia dilafazkan oleh seorang bertaraf Menteri Besar yang berkuasa di sebuah negeri. Demikianlah gambaran tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin yang bertindak di luar dugaan kelmarin apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya.

Kejadian berlaku ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridwan.

Ketika Mohammad Nizar yang mewakili sebuah parti yang memperjuangkan Islam iaitu Pas bertindak begitu emosional, pada hari yang sama seorang wakil rakyat DAP bertindak sebaliknya.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dipaparkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris begitu tenang menerima surat tuntutan tersebut. Beliau tidak menghalang jurugambar menjalankan tugas mereka.

Persoalannya, kenapakah Mohamad Nizar begitu emosional sehingga bertindak di luar kesopanan sebagai seorang pemimpin pembesar negeri?

Sejak 1991, penulis sudah beribu kali membuat liputan mengenai pemimpin Pas termasuklah aktiviti Presiden parti seperti Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor dan kini Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah penulis juga sudah terlibat dalam membuat liputan pemimpin-pemimpin kanan Pas yang lain seperti Mursyidul Am, Pas Datuk Nik Abdul Nik Mat, tetapi tidak pernah sekalipun pemimpin-pemimpin berkenaan bertindak emosi seperti Mohammad Nizar.

Apa yang lebih mengecewakan, rakan sejawatannya di Kedah yang juga dari Pas, Datuk Azizan Abdul Razak tidak pernah bersikap begitu kasar seperti mana Mohammad Nizar.

Ketika penulis menghubungi beberapa pemimpin dan ahli Pas bertanyakan pandangan berhubung tindakan Mohammad Nizar itu, mereka bukan sahaja terkejut malah benar-benar kecewa dengan Menteri Besar Perak tersebut.

Ini kerana Mohammad Nizar membawa imej Pas dan alasan tindakan tersebut mungkin kerana berada dalam tekanan boleh dipertikaikan.

Kalau itu hendak diambil kira, bagaimana dengan Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Azizan. Ketiga-tiga pemimpin ini pernah mengalami tekanan yang maha hebat daripada pelbagai sudut termasuklah daripada media tetapi pernahkah mereka melakukan tindakan seperti mana Mohammad Nizar?

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan sentiasa menghormati peranan media, jika ada perkara yang tidak puas hati mereka akan memberi penjelasan, mereka tidak akan emosional dalam bertindak.

''Saya berharap Mohammad Nizar akan belajar daripada ketiga-tiga pemimpin Pas tersebut, jangan terlalu emosional dalam berhadapan dengan media,'' kata seorang pemimpin Pas ketika dihubungi.

Layanan

Sebenarnya jika mengimbas kembali rentetan layanan Mohammad Nizar terhadap akhbar Melayu terutamanya Utusan Malaysia, apa yang dilakukan oleh beliau hakikatnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sejak awal pemerintahan lagi Mohammad Nizar tidak menyenangi laporan-laporan Utusan Malaysia biarpun apa yang dibentangkan berasaskan fakta dan realiti.

Mohammad Nizar merupakan antara kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang memboikot akhbar ini selain Selangor tetapi di Kedah, Azizan lebih matang dalam berurusan dengan media.

Azizan pernah memberitahu media bahawa beliau tidak kisah apa pun yang dilaporkan, kalau betul sesuatu berita itu, beliau akan siasat perkara yang dibangkitkan dan kalau laporan tidak tepat beliau akan menegurnya.

Begitulah sikap seorang pemimpin yang matang dalam berpolitik, apatah lagi apabila sudah menerajui sebuah kerajaan negeri. Mohammad Nizar seharusnya lebih matang tetapi beliau seolah-olah melihat Utusan Malaysia ibarat 'musuh kamu yang paling nyata'.

Apa pun keadaannya tindakan Mohammad Nizar boleh mencemarkan imej Pas sebagai sebuah parti yang sentiasa bersikap terbuka dengan media.

Ketika pakatan pembangkang mencapai persetujuan untuk memboikot Utusan Malaysia, barisan kepimpinan tertinggi Pas memutuskan membenarkan akhbar ini membuat liputan muktamar parti tersebut yang berlangsung di Ipoh.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku adalah jelas terlalu banyak yang perlu Mohammad Nizar pelajari. Sebagai seorang Menteri Besar dan mempunyai latar belakang akademik dan agama yang baik, beliau seharusnya tidak bertindak seperti insan-insan tidak berpelajaran di jalanan.

Jadilah seorang pemimpin Islam yang sentiasa menghormati tata susila dan tidak seharusnya memaparkan tindakan yang akan dianggap angkuh dan sombong.

Mungkin dalam soal ini, kepimpinan Pas harus memberi teguran dan nasihat kepada Mohammad Nizar bahawa jawatan Menteri Besar yang disandangnya bukanlah segala-galanya, apatah lagi jika ia diperolehi berdasarkan situasi 'nasib sahaja'.

Mohammad Nizar tidak perlu merasa tertekan dengan laporan-laporan media apatah lagi bertindak memusuhi mana-mana media.

Kalau ada perkara yang dibangkitkan oleh sesuatu media itu tidak tepat sebagai seorang pemimpin, beliau harus bersedia membuat penjelasan.

Mohammad Nizar perlu belajar dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang sentiasa memahami tugas media.

Lihat sahaja bagaimana Nik Abdul Aziz yang sudah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan tidak pernah sekalipun membuat tindakan yang dilihat mencemarkan imej dan kedudukannya sebagai ulama dan kepimpinan negeri.

Nik Abdul Aziz sentiasa bersedia memberi penjelasan jika ada laporan media yang tidak tepat. Tidak dinafikan ada juga sekali sekala Nik Abdul Aziz benar-benar tersinggung dengan sesebuah media tetapi beliau tidak pernah menjerit 'woi' kepada mana-mana wartawan dan jurufoto.

Berdasarkan kepada keadaan itu adalah perlu Mohammad Nizar bermuhasabah dan berusahalah menjadi pemimpin yang matang, profesional dan bijak dalam berhadapan dengan wartawan. Ingatlah pemimpin yang baik ialah pemimpin yang mampu mengawal perasaan sendiri.

.