SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

21 October 2008

Zaki rasmi ketua hakim negara

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, berkuatkuasa 18 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, baginda berkenan dengan pelantikan tersebut atas nasihat beliau dan selepas mengadakan rundingan dengan Majlis Raja-Raja.

"Baginda turut berkenan dengan pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Arifin Zakaria sebagai Hakim Besar Malaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdullah berkata, kesemua pelantikan itu turut berkuatkuasa pada 18 Oktober lalu, demikian menurut Bernama.

Katanya, pihak Mahkamah Persekutuan kini sedang berurusan dengan Istana Negara untuk menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia para hakim berkenaan.

Hirarki badan kehakiman

Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad bersara wajib pada minggu lepas.

Sementara itu, pelantikan Zaki menepati ramalan dan jika diukur daripada hirarki badan kehakiman, selepas Abdul Hamid, dengan kedudukannya sekarang, beliau memang paling layak dilantik.

Zaki, 63 tahun, anak bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Azmi Mohamed, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September tahun lalu dan dua bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Dilahirkan pada 12 Sept 1945 di Alor Setar, Kedah, beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Anderson School, Ipoh dan English College (kini) Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Beliau mendapat pendidikan undang-undang di Linconln's Inn, London dan Barrister-at-Law pada 1969.

Selepas tamat pengajian itu, beliau memulakan karier di Jabatan Peguam Negara dari Disember 1969 hingga 1970 sebelum dilantik sebagai majistret di Kuala Lumpur pada 1970 dan setahun kemudian dinaikkan pangkat sebagai Presiden Mahkamah Sesyen di Ipoh.

Pada 1973, beliau dilantik sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Penggubalan dan pada 1976, dilantik Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Enggan ulas

Sembilan tahun kemudian, Zaki meninggalkan perkhidmatan kerajaan dan memasuki sektor swasta sebagai peguambela dan peguamcara di Tetuan Shahrizat, Rashid & Lee dari 2006 hingga 2007.

Beliau memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai anggota Panel Skim Projek Rumah Terbengkalai dan Panel Sukan Negara, Panel Penasihat Majlis Sukan Negara dan Pemegang Amanah Yayasan SP Setia. Zaki juga Penimbangtara di Kuala Lumpur dan Selangor pada 2004, dan dilantik pada Suruhanjaya Diraja Inkuiri Pasukan Polis, anggota lembaga pengarah beberapa syarikat senaraian awam seperti Petronas, di mana beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit bagi tempoh lebih 18 tahun.

Pada 5 September tahun lepas, Zaki dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan pada 11 Disember tahun itu juga dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Nik Sazlina Mohd Zain dan mempunyai empat anak, Dzofrain Azmi, Razif Azmi, Azri Azmi dan Azfar Azmi.

Bercakap kepada Bernama ketika diminta mengulas pelantikan itu, Zaki berkata beliau enggan mengulas sehingga selepas angkat sumpah jawatan dan sumpah setia hakim.

.

MAJLIS PELANCARAN LAMAN WEB PRIBUMI PERKASA MALAYSIA

Majlis pelancaran laman web Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) oleh Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail
  • Tempat : Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur
  • Masa : 4.00 petang
  • Tarikh : 21 Oktober 2008
PERKASA adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar. Matlamat utamanya adalah memperkasa dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Fasal 152 dan Fasal 153.

Secara khususnya, tujuan dan perjuangan PERKASA adalah bermatlamat;

  • Memperkasakan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan.
  • Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
  • Memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
  • Mempertahankan hak-hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera.
  • Memperkasakan kaum Pribumi.
  • Menyatupadukan kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia.
  • Mempertahankan kedaulatan negara.

AHLI JAWATANKUASA PENAJA PERKASA

Presiden : Dato’ Ibrahim Ali
Timbalan Presiden : Dato’ Fuad Hassan
Naib Presiden : Dato’ Yahya Lampong
Naib Presiden : Datuk Hj. Shuaib Hj. Lazim
Naib Presiden : Dato’ Mokhtar Samad
Setiausaha Agung : Syed Hassan Syed Ali
Pen. Setiausaha Agung : Muhammad Afiq bin Aziz
Bendahari : Datuk Abd. Rahman A. Bakar
Ketua Penerangan : Datuk Ruhainie Ahmad

Ahli Jawatankuasa
  • Dato’ Zakaria Salleh
  • Salahuddin Hisahm
  • Mohd. Rozal Abd. Rahman
  • Mohd. Radzi Mustafa
  • Hjh Foziah Dato Nawawi
  • Raizul Azmi Zulkeply
  • Hajah Yam@Yammy Abdul Samat
  • Yusof Merah
  • Ahmad Jaddawi Ghazali
  • Selamat SaimonDaud Ibrahim
  • Raizul Azni Zolkepli
  • Wan Ahmad Talib
  • Kpt. Don Abdullah
  • Hanisha Izaireen
  • Megat Zulkarnain Omar Din
  • Jismi Azahari Johari

.

Sultan murka kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan

SULTAN Kelantan, DYMM Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra bertitah merasmikan Persidangan kali ke 3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal pertama Dewan Negeri Kelantan, Kota Bharu, yang ke 12 tahun 2008 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Tuanku Ismail Petra semalam menegur kerajaan Pas Kelantan kerana masih gagal mengurus dan membangunkan negeri ini dengan cekap, termasuk dalam pengurusan hasil serta kewangan. Sultan Kelantan turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memartabatkan institusi masjid dan tidak menggunakannya untuk kepentingan pihak tertentu.

"Beta ingin menarik perhatian kepada pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai bandar raya Islam sejak 2006. Perancangan dari aspek kebersihan dan keselamatan perlu dinilai semula kerana beta melihat beberapa elemen belum mencapai matlamat.

"Beta berharap MPKB memberi fokus kepada elemen terbabit bagi menjamin pencapaian matlamat itu," titah baginda ketika menyempurnakan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini. Hadir sama, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Tuanku Ismail Petra bertitah, pertumbuhan sektor pelancongan negeri juga masih bergantung kepada segmen domestik yang menyumbang 80 peratus kemasukan pelancong ke Kelantan.

"Beta menyarankan peranan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri dinilai semula sesuai dengan kepentingan sektor ini dalam menyumbang kepada ekonomi negeri. Sudah sampai masa, entiti baru yang lebih berkesan ditubuhkan supaya dapat bersaing dengan lebih kompetitif," titah baginda.

Bagi mengimbangi tanggungjawab pembangunan negeri pula, baginda menyarankan Enakmen Perbadanan Menteri Besar Kelantan serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dikaji semula supaya tidak wujud pertindihan dan persaingan.

Baginda turut menyentuh Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan Kelantan yang tidak kukuh apabila mengalami defisit akaun hasil disatukan pada akhir 2007 sebanyak RM326.34 juta berbanding RM155.86 juta pada akhir 2003.

"Kerajaan negeri hendaklah mengelak membuat keputusan yang boleh mengurangkan kemasukan hasil. Agensi dan perbadanan kerajaan negeri tidak harus diberi keistimewaan lagi, manakala syarikat swasta yang gagal membuat pembayaran perlu diambil tindakan tegas.

"Kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung kepada sumber hasil sedia ada. Usaha perlu digembleng untuk meneroka punca hasil baru dalam setiap sektor untuk membiayai kos pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat," tegas baginda.

Tengku Ismail Petra juga menegur mengenai masalah tanah terbiar di seluruh Kelantan yang ketika ini mencapai keluasan 21,458 hektar dan 910 hektar saja yang dibangunkan.

"Beta berharap, kerajaan negeri mengambil peluang daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.5 bilion untuk memulihkan tanah terbiar bagi menjamin bekalan makanan negeri khususnya dan negara amnya," titah baginda.

Selain itu, Sultan Kelantan tidak puas hati dengan pembangunan projek yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di negeri ini kerana agak perlahan dan ada yang belum dimulakan. Ini termasuk pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli serta projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra.

"Beta juga mendapat maklum, Kelantan adalah antara negeri yang disenarai dengan projek hab halal dalam RMK-9 membabitkan peruntukan RM17 juta. Bagaimanapun, projek ini belum dilaksanakan dan beta berharap ia dapat disegerakan.

"Beta menyarankan kerajaan negeri turut menekankan pelaksanaan pembangunan hab halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal," titahnya. Sultan Kelantan juga berharap rangkaian perhubungan dibaiki, dinaiktaraf dan ditambah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan 53 program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan.

"Sukacita beta mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Beta difahamkan, pelabuhan tidak disenaraikan sebagai projek infrastruktur di bawah ECER di Kelantan. Bagaimanapun, beta dimaklumkan kerajaan negeri meluluskan tiga projek pembinaan pelabuhan Tok Bali, pangkalan bekalan luar pesisir Kemasin dan pangkalan bekalan Kuala Besar.

"Beta berharap kerajaan boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini," titah baginda sambil melahirkan rasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan dana khas sebanyak RM32.1 juta bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat menerusi Projek D'Raja Kelantan.

Baginda turut menyarankan rakyat supaya berbelanja dengan berhemat bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup akibat krisis kewangan, kekurangan makanan dan kenaikan harga minyak dunia.

19 October 2008

Saya Hormati Pelan Peralihan, Akan Beri Penjelasan Kepada PM Jika Perlu, Kata Muhyiddin

KOTA KINABALU, 19 Okt - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan, berkata beliau sentiasa menghormati pelan peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui dan mengulangi bahawa ulasan yang dibuatnya semata-mata berkaitan tempoh berkempen.

"Saya menghormati pelan peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui. Saya orang pertama yang memberi respons bahawa saya menghormatinya, saya menerimanya, saya tidak lagi bertanya apa-apa mengenainya kerana ia telah pun dipersetujui oleh pemimpin, anggota majlis, lebih baik kita berpegang kepada keputusan itu.

"Saya hanya menyatakan fakta, jika ia (tempoh berkempen) adalah panjang, maka ia adalah panjang. Saya tidak menyarankan lebih daripada apa yang saya katakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan hari raya Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Sabah di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan membuat penjelasan terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Muhyiddin menjawab: "Saya sememangnya mahu membuat penjelasan, tiada masalah, jika Perdana Menteri mahu saya membuat penjelasan mengenai apa yang telah saya katakan."

Kepada soalan sekiranya beliau percaya Abdullah telah salah faham tentang apa yang beliau cuba katakan, Muhyiddin berkata ramai orang tidak memahami apa yang beliau perkatakan."Dua hari lepas, Datuk Seri Najib juga bertanya kepada saya sama ada saya baca laporan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Sebenarnya saya cakap, saya hanya memberikan ulasan berhubung pertanyaan orang kepada saya tentang tempoh empat bulan berkempen, adakah ia panjang atau tidak? Jadi saya jawab sudah tentulah ia panjang, itu saja," jelas beliau.

"Saya langsung tidak sentuh mengenai pelan peralihan, saya hanya beri respons kepada soalan berhubung tempoh berkempen," katanya.

Muhyiddin berkata beliau dinasihati oleh ramai kawannya supaya bersabar dengan keadaan itu dan tidak memberi ulasan selanjutnya yang boleh disalah tafsir.

Beliau turut ditanya sama ada beliau percaya yang beliau boleh terus menjalankan peranannya dalam Kabinet dengan baik memandangkan terdapat sesetengah anggota yang kini mungkin berasa dukacita dengan beliau.

Muhyiddin menjawab: "Saya tidak ada masalah kerana saya menunaikan tanggungjawab yang diberikan kepada saya. Saya menyertai Perdana Menteri dalam semua mesyuarat Kabinet dan mesyuarat penting lain.

"Mengenai kelayakannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua bahagian Umno yang memberikan sokongan mereka kepadanya.

"Saya berasa amat yakin berikutan perkembangan positif ini, tapi sudah tentu saya harap ia tidak akan terhenti, (saya harap mereka) akan terus memberikan sokongan yang amat saya perlukan. Pada akhirnya, sudah tentulah saya berharap untuk menang," katanya.

-BERNAMA


Mukhriz 62, Khairy 34, Khir 26


6.50 pm - Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan ke-34 dari bahagian Jelutong, Pulau Pinang untuk jawatan ketua Pemuda, dan memerlukan lima pencalonan lagi untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Jelutong juga mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua.

6.45 pm - Datuk Mukhriz mendapat pencalonan ke-62 untuk jawatan ketua Pemuda dari bahagian Beluran, Sabah, yang turut mencalonkan Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua.

6.30 pm - Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-61 untuk jawatan ketua Pemuda dari bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, yang turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican bagi jawatan naib ketua.

5.10 pm - Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-60 daripada bahagian Jasin Melaka, yang turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim sebagai naib ketua.

4.35 pm - Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-59 daripada bahagian Indera Mahkota, Pahang, yang turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim sebagai naib ketua.

3.55 pm - Khairy mendapat pencalonan ke-33 bagi jawatan ketua Pemuda dari bahagian Jerantut, Pahang. Manakala ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dicalonkan untuk jawatan naib ketua.

3.50 pm - Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan ke-32 untuk jawatan ketua Pemuda dari bahagian Pensiangan, Sabah yang turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua.

3.15 pm - Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan ke-31 dari bahagian Tanjong, Pulau Pinang, yang turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican bagi jawatan naib.

3.13 pm - Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapatkan pencalonan ke-26 dari bahagian Serdang, Selangor, yang turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim untuk jawatan naib ketua.

2.45 pm - Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapatkan pencalonan ke-25 dari bahagian Batu di Wilayah Persekutuan yang turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk jawatan naib ketua.

2.40 pm - Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-58 dari bahagian Muar untuk jawatan ketua Pemuda. Bahagian itu juga turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim untuk jawatan naib. Razali kini mendapat 57 pencalonan.

2.30 pm - Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan yang ke-57 dari bahagian Pulai, Johor yang turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim untuk jawatan naib ketua.

1.30 pm - Pencalonan bagi jawatan utama pergerakan Pemuda Umno berterusan hari ini apabila Pemuda Libaran, Sandakan yang bermesyuarat hari ini, mencalonkan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda dan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua.

Berikutan itu, Khairy kini mendapat 30 pencalonan manakala Reezal memperolehi 44 pencalonan.

Seorang lagi calon Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir mengumpulkan 56 pencalonan sehingga semalam, manakala ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim mengumpulkan 55 pencalonan.

Seorang lagi calon ketua Pemuda, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sehingga ini mengumpulkan 24 pencalonan.