SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

15 September 2008

Ibrahim Ali: Rakyat telah diperbodohkan PKR

KOTA BHARU: Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata rakyat negara ini telah diperbodohkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kononnya pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan baru esok.

Ibrahim berkata rakyat sepatutnya menilai apa yang telah dilakukan PKR dan sewajarnya peralihan kerajaan dilakukan secara demokrasi seperti melalui pilihan raya.

"Apa yang saya boleh katakan rakyat sebenarnya telah diperbodoh-bodohkan oleh PKR dan saya tidak nampak asasnya akan berlaku perkara seperti itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mencanangkan Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 16 Sept iaitu esok.

Berikutan itu, lima pemimpin PKR ke Taiwan bagi memujuk anggota Parlimen BN yang sedang dalam rangka lawatan ke negara itu untuk menyertai mereka.

"Ini betullah buang masa dan buang duit sematamata nak ke Taiwan bagi tujuan itu dan saya rasa sangat sedih dengan tipu helah seperti ini," katanya.

Ibrahim berkata rakyat sebenarnya sudah membuang masa mereka melayan karenah pemimpin parti itu termasuk Anwar.

- BERNAMA

.

.

16 September : Kemelut Dalam Pas kian Terdedah

oleh MSO

SEDAR atau tidak sedar, setuju atau tidak setuju, projek 16 September kini menjadi seperti api dalam sekam memakan dan memamah keharmonian Pas selama ini. Projek itu telah menjadi bala kepada Pas meretakkan ukhwah sesamanya.

Projek berkenaan yang sepatutnya tidak ada sangkut paut dengan Pas kerana ia adalah agenda peribadi PKR dan penasihatnya Anwar Ibrahim, namun kini menjadi isu yang mengeruhkan suasana dalam Pas.

Pas seharusnya memerhati dari jauh berhubung projek berkenaan tanpa menyusahkan diri dengannya. Pas boleh mengaut keuntungan daripada projek itu tanpa ikut sama mencelup tangan hingga sampai ke pangkal lengan dalam projek berkenaan. Cara itu lebih baik kerana kalau ia tidak berlaku Pas tidak akan terkena bau busuknya.

Gara-gara projek itu kini Pas semacam retak. Ada dua pendapat saling bertentangan berhubung dengannya. Satu pihak mempercayainya hidup-hidup kepada projek berkenaan dan satu pihak lagi menolaknya mentah-mentah. Kedua pihak ada sebab dan hujah tersendiri untuk menerima dan menafikannya.

Strategi politik

Pertentangan berhubung projek ini yang membawa kepada pertentangan kepercayaan bukan saja kepada strategi politik itu tapi membabitkan keyakinan kepada Anwar itu sendiri sedkit sebanyak terobek.

Ia semakin merebak apabila pertentangan itu bukan berlaku dari kalangan individu bawahan tetapi sudah terarah kepada pembentukan dua kelompok yang kontras dalam Pas; yang menyokong Anwar dan yang menentang Anwar.

Hari ini perwujudan kelompok itu sangat jelas dan sudah menjadi sebutan dengan berbagai nama ataupun gelaran. Kedua kelompok ini masing-masing membicara mengikut gaya dan keyakinan tersendiri dan tidak mahu bertemu untuk membincang secara bersama lagi. Ia juga menampakkan konflit sesama sendiri yang cenderung kepada keadaan yang meruncing jika tidak disedari segera kedua pihak.

Pergeseran dan perbezaan pendapat tidak menjadi masalah. Pas selalu mengalami pergeseran dalam mencari kesimpulan berhubung sesuatu isu. Tetapi kalau pergeseran kerana menegakkan batang tubuh manusia di luar parti itu ia menghairankan. Ia agak ganjil sedikit! Bila masa pula Pas bertindak menjadi NGO menjaga hak asasi seseorang?

Anwar adalah individu di luar Pas. Kenapa Pas harus menjadikan batang tubuhnya sebagai pemecah belahkan Pas? Beliau tidak ada kaitan dengan Pas. Sedangkan apa yang berlaku kini ialah disebabkan Anwar. Di sinilah kesilapannya dan menampakkan kurang matangnya siasah Pas.

Perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Ia semakin ketara dan nyata. Walaupun ada pihak dalam Pas yang ingin mendamai dan menyembunyikannya namun tidak berhasil. Kerana kedua terlibat mempunyai pengaruh yang besar ke atas satu sama lain. Keyakinan dan ego (amarah) manusia menjadikan manusia lupa kepada amanah dan tanggungjawab perjuangan dan menjaga kepentingan ahli Pas.

Mereka yang bersetuju dengan projek 16 September ini atau tepatnya terpesona dengan Anwar ialah Husam Musa, Naib Presiden Pas, (beliau boleh dianggap sebagai ketua), Kamaruddin Jaaffar, Setiausaha Agung, Zulkifly Ahmad, Pengarah Strategi Pas, Mohd Hatta Ramli, Bendahari Agung Pas, Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Pas, Syed Azman Syed Mohamad AJK Pas, Abdul Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam. Mereka ini dibantu oleh Dr Mariah Mahmood dan Dr Lo' Lo' Ghazali keduanya AJK Pas Pusat.

Dijadikan perkakas

Dan kelompok ini merasakan mereka merdeka dan menang apabila Musyidul Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat sebagai memberi mata dan sedia membentangkan belakangnya untuk dijadikan perkakas usang oleh kelompok ini.

Manakala pihak yang tidak setuju dan tidak yakin dengan projek berkenaan ialah Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden, Mustafa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Mereka ini dibantu oleh Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am Pas, Harun Taib bersama beberapa tokoh veteran Pas Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor dan lain-lain.

Disebabkan Mustafa dilihat vokal dan menjadi penasihat politik Abdul Hadi Awang maka beliau dicap sebagai ketua di sebelah sini.Jelas kalau dilihat kepada klasifikasi ini ia menggambarkan Pas kini sudah berpecah dua kumpulan dan di mana kekuatan kedua pihak kelihatan sama gagah kerana keduanya diketuai oleh pucuk pimpinan Pas tertinggi.

Pada dasarnya kedua kelompok ini ada hujah dan alasan kenapa mereka menolak dan menyokongnya. Namun sayang hujah dan alasan ini tidak dapat mempengaruhi di antara satu sama lain sebaliknya keyakinan ini mereka saling bertentangan.

Pada hemat saya, puak yang menyokong Anwar atau yakin dengan projek peralihan kuasa 16 September (esok) itu mereka sedar hakikat kekosongan angan-angan itu. Tetapi kenapa mereka sokong ialah kerana motif lain. Saya tidak kira Husam Musa (arkitek baru Pas) buta dan jahil mengenai hal ini. Beliau tentu sekali nampak dan bermain politik untuk kepentingan partinya dan juga dirinya di sebalik menyokong projek itu.

Daripada apa yang dilakukan, menjelaskan Husam seakan sedang menguji sejauh mana kehebatan dirinya dengan isu berkenaan. Cara beliau menggerakkan isu itu dan bermain politik dengannya seakan beliau sedang membuat persiapan untuk masa depan politiknya. Secara tidak langsung kini umum sudah melihat semacam ada perlumbaan pengaruh antara Husam dengan tokoh-tokoh tertentu dalam Pas. Jangan terkejut kalau pada pemilihan pucuk pimpinan Pas tahun depan Husam akan mencabar Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden!

Demikian juga dengan kumpulan yang tidak yakin dengan projek berkenaan. Mereka tidak setuju bukan kerana projek itu projek Mat Jenin; tetapi kerana alasan-alasan lain yang sangat jelas dan konkrit kepada mereka. Di sini saya nampak mereka bukan tidak suka kepada projek berkenaan tetapi tidak boleh menerima sikap dan keperibadian pengilham projek berkenaan, Anwar Ibrahim.

Adapun mengapa mereka tidak bersedia menerima Anwar ialah kerana masalah peribadi yang dihadapi Penasihat PKR itu. Tuduhan liwat ke atas Anwar atau sejarah politik Anwar di zaman gemilangnya dalam BN dulu yang menghentam dan menganiaya Pas menyebabkan mereka sukar untuk menerima Anwar. Dalam erti kata lain gara-gara sejarah hitam dan parut itu mereka hilang penghormatan kepada Anwar.

Tikaman Anwar

Tentu berlain dengan mereka yang tidak mengenali Anwar dan baru mengenalinya seharian dua ini, tidak merasai betapa sakitnya tikaman Anwar terhadap Pas sebelum ini. Mungkin kesan dan sejarah itu menyebabkan mereka berhati-hati untuk menerima Anwar. Mungkin dalam hal ini bagaimana peritnya Nik Aziz terhadap Umno yang menendang Pas keluar BN mungkin begitulah juga peritnya kelompak ini kepada Anwar.

Apa yang berlaku ini walaupun melibatkan Anwar, penasihat PK itu tidak boleh disalahkan. Beliau tidak berdosa dalam hal ini. Anwar tidak memangil dan meminta secara rasmi agar menyokongnya. Pihak yang menyokongnya mahu menumpang tuah dan auranya. Mereka mengira Anwar boleh melakukan sesuatu termasuk meruntuhkan kerajaan BN yang menjadi harapan bersama.

Dalam menangani kemelut ini pada hemat saya Pas kurang berhati-hati dan tidak ceramat. Sepatutnya Pas selesai dengan cara baik dan tidak membuka ruang perbezaan dan konflit antara satu sama lain dengan lebih luas. Perselisihan itu berlaku menampakkan keretakan dalam Pas. Kematangan Pas selama 52 tahun juga boleh dipertikaikan.

Misalnya teguran Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas Mustafa Ali yang meluahkan pandanganya tidak percaya kepada projek itu tidak bijaksana. Nik Aziz sebagai Mursyidul Am tidak sepatut membuat teguran terbuka begitu dengan mengedarkan kenyatan akhbar mengkritik Mustafa Ali ke dalam blog dan internet.

Tindakan itu tidak fatanah dan bertentang dengan ciri kepimpinan para sahabat yang menjadi idola dan sebutan teladan pemimpin Pas. Nik Aziz agak emosional dalam melayani kerenah Mustafa Ali itu. Nik Aziz patut lebih menjaga kedudukannya sebagai Mursyidul Am di mana jawatan tertinggi dalam hirerki Pas daripada turut menjadi broker atau proksi kepada puak yang menyokong Anwar dan sanggung singsing jubah turun padang.

Dalam perhatian saya mengenai isu sokongan kepada Anwar ini Nik Aziz menggunakan sepenuhnya baju dan jubahnya sebagai Mursyidul Am Pas untuk menyokong bekas TPM itu. Pandangan Majlis Syura pun dilanggarnya! Perangai ini sungguh aneh. Beliau seakan lebihkan kepada Anwar daripada menjaga perasaan dan kepentingan pemimpin Pas sendiri.

Nik Aziz harus sedar dan jangan mudah nyanyuk bahawa Pas itu adalah hak jemaah dan bukan kepunyaannya. Sehebat mana ilmunya dan sebesar mana pengaruhnya ia tetap dipayungi oleh Pas.

Dalam apa juga keadaan dan berdepan dengan krisis dan perbalahan beliau tidak wajar berpihak dan patut berada di tengah. Jawatan Mursyidul Am itu sendiri adalah sebagai penasihat dan pemberi kata putus. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya apa lagi mengikut sentimen dan apa lagi kalau sanggup bercakap dengan menggunakan liur orang lain.

Kini tidak ada siapa lagi yang boleh menjadi orang tengah dan penasihat yang adil dan dihormati dalam Pas apabila Mursyidul Am Pas sendiri boleh dipertikaikan keadilan dan tanggungjawabnya.

Perkembangan ini agak malang bagi Pas. Dalam Umno dituduh berkecamuk, Pas juga nampaknya terikut sama bercelaru dengan bergaduh dan singgung menyinggung sesama sendiri sampai terselak barang dalam kain.

Barangkali sudah begitu takdir Allah!

08 September 2008

Mustafa Ali: Kerajaan BN Tidak Akan Tumbang

oleh MSO
LAPAN hari lagi akan tibalah fajar yang ditunggu-tunggu oleh banyak orang iaitu fajar 16 September. Hari yang dikira penting dan bakal meruba landskap politik negara ini. Hari yang menamatkan riwayat kerajaan BN.Pada hari itu adalah hari yang disasarkan oleh Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim kerajaan BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak akan tumbang dan hancur.
Serentak itu juga jawatan Perdana Menteri akan berubah tangan kepada Anwar. Anwar akan membentuk kerajaan baru - kerajaan Pakatan Rakyat dan sekaligus akan menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-6. Sudah pasti mereka yang bertungkus lumus bersama Anwar termasuk yang berkempen di pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu akan dilantik menjadi anggota Kabinet atau sekurang-kurangnya turut merasai tempias nikmat 16 September!
Di mana-mana saja orang ramai bercakap mengenai perubahan itu. Seolah penantian ketibaan 16 September membawa perubahan yang pasti. Penantiannya seperti penantian 1 Syawal yang akan dirayakan dengan penuh hikmah dan makna sebagai menandakan kemenangan manusia Muslim dalam perang melawan nafsu.Apakah 16 September menjadi hari kemenangan rakyat kerana menentang kezaliman dan ketidakadilan Barisan Nasional? Atau ianya tidak lebih daripada sebuah nyanyian sunyi dunia orang politik semata-mata yang diiringi dengan gesekan rebab Tok Selampit?
Ada pendapat yang pro kontra mengenai 16 September. Ada yang menpercayai melampau terhadapnya menyebabkan mereka kini hanya duduk membilang saat, minit dan hari saja sampai mengabaikan kerja rutin lain. Keyakinan mereka kepada teori yang dipersembahkan bagaimana perubahan dan kejatuhan itu berlaku cukup tinggi dan sukar untuk dirasionalkan lagi.
Ada setengah menanti dengan pelbagai azam, termasuk memegang pisau cukur untuk membotakkan kepala sebaik saja fajar 16 September muncul.Bagaimana pun kepada ahli politik yang matang dan tidak mudah 'disimsilabimkan' dengan sihir politik cukup waspada dalam menerima dakwaan dan dendangan lagi 16 September itu. Mereka hanya memerhatinya dengan senyuman-senyum kambing (bukan kambing Jamnapari) dari birai jendela saja.
Salah seorang daripada mereka ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustafa Ali (foto). Bagi beliau 16 September hanya sebuah gimik semata dan beliau yakin tidak akan berlaku pertukaran kerajaan pada tarikh tersebut seperti mana yang digembar gemburkan. Dalam erti kata lain BN tidak akan tumbang pada tarikh tersebut dan Anwar tidak akan angkat sumpah menjadi Perdana Menteri ke-6.
"Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh," begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas "16 September" anjuran sebuah tv internet di ibu Kota Kuala Lumpur hari ini. Saya adalah salah seorang ahli panelnya.Beliau yang bercakap berdasarkan pengalaman dan atas kapisiti peribadinya memberi dua sebab untuk menolak 16 September tidak berlaku apa-apa perubahan.
Pertama katanya dari segi teknikal. Ini jelas kerana katanya pada tarikh berkenaan Parlimen tidak bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu."Sesuatu undi tidak percaya ataupun 'peralihan kerajaan' akan dilakukan menerusi Parlimen saja. Jadi kalau Parlimen tidak bersidang bagaimana akan berlaku undi tidak percaya?" soal beliau. Tambahnya, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Beliau memberi hujah itu kerana mengulas ada teori mengatakan kerajaan hari ini akan jatuh dengan mudah apabila sudah ada 122 orang ahli Parlimen yang menandatangani menyatakan tidak percaya kepada Abdullah sebaliknya menyokong bekas TPM (Anwar), ketika itu juga Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Anwar menjadi PM tanpa perlu mandat Parlimen.
Menurutnya pandangan dan teori berkenaan tidak betul kerana apa-apa tindakan termasuk undi tidak percaya akan dilakukan di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong akan menerima keputusan Parlimen dulu sebelum memberi perkenaan melantik sesiapa untuk menjadi PM setelah ianya dipersetujui oleh ahli Parlimen.
Kedua dari segi politik. Menurutnya dari segi politik juga tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar.
"Adalah ganjil dan sukar untuk dipercayai ahli Parlimen akan bersedia untuk berhijrah dari tempat (komponen) yang sudah ada kuasa kepada Pakatan yang belum ada kuasa," katanya.Misalnya begitu juga adalah mustahil ahli Parlimen MCA untuk meninggalkan BN kerana merekalah yang asaskan komponen itu bersama Umno, apa lagi Pakatan Rakyat itu sendiri satu Pakatan yang longgar. Justeru katanya beliau menyifatkan apa yang berlaku kini tidak lebih daripada gimik politik saja yang sengaja dikejutkan dengan tujuan tertentu oleh orang-orang tertentu termasuk mereka yang bersekongkol dengan Anwar.
Dari segi moral dan intergriti juga, penghijrahan itu seperti mana yang disebut itu tidak akan berlaku kerana ia melibatkan soal moral dan intergriti. Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.Dalam konteks ini katanya bagi Pas ia sangat bertentangan parti itu yang menekankan soal moral dan akhlak.
Bagi Pas katanya, tindakan politik demikian sesuatu yang bertentangan dengan nilai perjuangan Pas dan ia tidak akan dilakukan oleh mereka yang sudah lama dan menghayati perjuangan Pas.
"Tidak tahulah kalau mereka yang baru dalam Pas bersedia untuk sama-sama berbuat demikian!"
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu bagaimana mengakui masa kini adalah waktu terbaik untuk pembangkang menguatkan usaha untuk menjatuhkan BN kerana berbagai kelemahan dan kepincangan BN serta penolakan rakyat kepada mereka seperti mana pilihan raya lalu sangat jelas.Pun begitu bagi Mustafa beliau merasakan sesuai dan lebih gentleman kalau penggulingan BN itu dilakukan menerusi saluran demokratik seperti pilihan raya akan datang.
"Bermula dari sekarang sepatutnya pembangkang membuat persiapan unutk menumbangkan BN menerusi pilihan raya dan bukannnya dengan mengharapkan berlaku lompat parti dan cara-cara yang tidak demokratik dan tidak bermoral untuk mengambil alih kerajaan", ujarnya.Dalam pada itu Mustafa juga menegaskan hubungan Pas dengan Pakatan Rakyat masih seperti dulu dan tidak timbul soal Pas ingin meninggalkan Pakatan apa lagi untuk bergabung dengan Umno.
.

07 September 2008

Demo: Zulkifli terima surat tunjuk sebab PKR hari ini

PETALING JAYA : Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) hari ini menerima surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap beliau kerana mengetuai demonstrasi membantah forum anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu.

"Hari ini PKR (Parti Keadilan Rakyat) memberikan saya notis tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya kerana mengetuai Himpunan Aman Umat Islam membantah forum anjuran Majlis Peguam," kata beliau dalam blognya hari ini.Zulkifli berkata, surat tersebut menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukannya adalah menghalang forum "Masuk Islam: Artikel 121(1A)" anjuran Majlis Peguam.

"Saya mengambil sikap dalam keadaan Islam dihina saya akan tetap mempertahankan Islam, walaupun akan bercanggah dengan pendirian mana-mana pihak.

"Kalau tiba masa saya perlu memilih antara Islam dengan parti, saya tetap akan memilih Islam walaupun saya tahu akibatnya saya akan kehilangan dan kerugian, tambahan dalam keadaan Pakatan Rakyat dijangka mengambil alih kerajaan pada 16 September. "Pada saya biarlah rugi duniawi daripada rugi di sisi Ilahi," katanya. Kata Zulkifli lagi, beliau akan berdepan dengan Jawatankuasa Disiplin yang dijadualkan Selasa ini.

Sementara itu ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Zulkifli mengesahkan, beliau sudah menerima surat tunjuk sebab berkenaan.

"Ya, memang betul saya sudah terima surat tersebut di pejabat saya di Kuala Lumpur," katanya.

Jelasnya, Selasa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR itu mungkin terpaksa ditunda kerana beliau mengendalikan kes di mahkamah.

"Saya mungkin akan meminta tarikh tersebut ditunda ke 15 September ini kerana minggu depan saya ada kes untuk dikendalikan di mahkamah," katanya yang ketika ini berada di kawasan Parlimennya
.

25 August 2008

Pilih calon 'kurang' mudaratkan agama, negara - Mufti Perlis

dipetik dari mstar.com

PERMATANG PAUH: Tanpa menyebut nama calon, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abdidin berharap pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan memilih calon yang "paling ringan mudarat" atau "membahayakan" agama dan negara, esok.

"Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi," kata beliau.


Beliau salah seorang pemilih berdaftar di bahagian Parlimen Permatang Pauh berkata, pengundi-pengundi perlu menilai siapa yang paling kurang bahaya dibandingkan dengan yang lain untuk masa depan negara dan umat.

"Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut.

"Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini," katanya.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan esok. Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat manakala Datuk Arif Shah Omar Shah pula bertanding atas tiket Barisan Nasional dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

"Satu pemilihan mesti dilakukan," kata beliau dalam rungannya di Mingguan Malaysia semalam.' Jelas beliau, jika tidak pun untuk memilih yang terbaik, sekurang-kurang memilih yang kurang mudarat antara semua.

"Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah. Undi ada nilai dosa dan pahala," katanya lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, "barangkali memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah."

.