SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

08 September 2008

Mustafa Ali: Kerajaan BN Tidak Akan Tumbang

oleh MSO
LAPAN hari lagi akan tibalah fajar yang ditunggu-tunggu oleh banyak orang iaitu fajar 16 September. Hari yang dikira penting dan bakal meruba landskap politik negara ini. Hari yang menamatkan riwayat kerajaan BN.Pada hari itu adalah hari yang disasarkan oleh Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim kerajaan BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak akan tumbang dan hancur.
Serentak itu juga jawatan Perdana Menteri akan berubah tangan kepada Anwar. Anwar akan membentuk kerajaan baru - kerajaan Pakatan Rakyat dan sekaligus akan menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-6. Sudah pasti mereka yang bertungkus lumus bersama Anwar termasuk yang berkempen di pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu akan dilantik menjadi anggota Kabinet atau sekurang-kurangnya turut merasai tempias nikmat 16 September!
Di mana-mana saja orang ramai bercakap mengenai perubahan itu. Seolah penantian ketibaan 16 September membawa perubahan yang pasti. Penantiannya seperti penantian 1 Syawal yang akan dirayakan dengan penuh hikmah dan makna sebagai menandakan kemenangan manusia Muslim dalam perang melawan nafsu.Apakah 16 September menjadi hari kemenangan rakyat kerana menentang kezaliman dan ketidakadilan Barisan Nasional? Atau ianya tidak lebih daripada sebuah nyanyian sunyi dunia orang politik semata-mata yang diiringi dengan gesekan rebab Tok Selampit?
Ada pendapat yang pro kontra mengenai 16 September. Ada yang menpercayai melampau terhadapnya menyebabkan mereka kini hanya duduk membilang saat, minit dan hari saja sampai mengabaikan kerja rutin lain. Keyakinan mereka kepada teori yang dipersembahkan bagaimana perubahan dan kejatuhan itu berlaku cukup tinggi dan sukar untuk dirasionalkan lagi.
Ada setengah menanti dengan pelbagai azam, termasuk memegang pisau cukur untuk membotakkan kepala sebaik saja fajar 16 September muncul.Bagaimana pun kepada ahli politik yang matang dan tidak mudah 'disimsilabimkan' dengan sihir politik cukup waspada dalam menerima dakwaan dan dendangan lagi 16 September itu. Mereka hanya memerhatinya dengan senyuman-senyum kambing (bukan kambing Jamnapari) dari birai jendela saja.
Salah seorang daripada mereka ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustafa Ali (foto). Bagi beliau 16 September hanya sebuah gimik semata dan beliau yakin tidak akan berlaku pertukaran kerajaan pada tarikh tersebut seperti mana yang digembar gemburkan. Dalam erti kata lain BN tidak akan tumbang pada tarikh tersebut dan Anwar tidak akan angkat sumpah menjadi Perdana Menteri ke-6.
"Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh," begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas "16 September" anjuran sebuah tv internet di ibu Kota Kuala Lumpur hari ini. Saya adalah salah seorang ahli panelnya.Beliau yang bercakap berdasarkan pengalaman dan atas kapisiti peribadinya memberi dua sebab untuk menolak 16 September tidak berlaku apa-apa perubahan.
Pertama katanya dari segi teknikal. Ini jelas kerana katanya pada tarikh berkenaan Parlimen tidak bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu."Sesuatu undi tidak percaya ataupun 'peralihan kerajaan' akan dilakukan menerusi Parlimen saja. Jadi kalau Parlimen tidak bersidang bagaimana akan berlaku undi tidak percaya?" soal beliau. Tambahnya, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Beliau memberi hujah itu kerana mengulas ada teori mengatakan kerajaan hari ini akan jatuh dengan mudah apabila sudah ada 122 orang ahli Parlimen yang menandatangani menyatakan tidak percaya kepada Abdullah sebaliknya menyokong bekas TPM (Anwar), ketika itu juga Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Anwar menjadi PM tanpa perlu mandat Parlimen.
Menurutnya pandangan dan teori berkenaan tidak betul kerana apa-apa tindakan termasuk undi tidak percaya akan dilakukan di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong akan menerima keputusan Parlimen dulu sebelum memberi perkenaan melantik sesiapa untuk menjadi PM setelah ianya dipersetujui oleh ahli Parlimen.
Kedua dari segi politik. Menurutnya dari segi politik juga tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar.
"Adalah ganjil dan sukar untuk dipercayai ahli Parlimen akan bersedia untuk berhijrah dari tempat (komponen) yang sudah ada kuasa kepada Pakatan yang belum ada kuasa," katanya.Misalnya begitu juga adalah mustahil ahli Parlimen MCA untuk meninggalkan BN kerana merekalah yang asaskan komponen itu bersama Umno, apa lagi Pakatan Rakyat itu sendiri satu Pakatan yang longgar. Justeru katanya beliau menyifatkan apa yang berlaku kini tidak lebih daripada gimik politik saja yang sengaja dikejutkan dengan tujuan tertentu oleh orang-orang tertentu termasuk mereka yang bersekongkol dengan Anwar.
Dari segi moral dan intergriti juga, penghijrahan itu seperti mana yang disebut itu tidak akan berlaku kerana ia melibatkan soal moral dan intergriti. Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.Dalam konteks ini katanya bagi Pas ia sangat bertentangan parti itu yang menekankan soal moral dan akhlak.
Bagi Pas katanya, tindakan politik demikian sesuatu yang bertentangan dengan nilai perjuangan Pas dan ia tidak akan dilakukan oleh mereka yang sudah lama dan menghayati perjuangan Pas.
"Tidak tahulah kalau mereka yang baru dalam Pas bersedia untuk sama-sama berbuat demikian!"
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu bagaimana mengakui masa kini adalah waktu terbaik untuk pembangkang menguatkan usaha untuk menjatuhkan BN kerana berbagai kelemahan dan kepincangan BN serta penolakan rakyat kepada mereka seperti mana pilihan raya lalu sangat jelas.Pun begitu bagi Mustafa beliau merasakan sesuai dan lebih gentleman kalau penggulingan BN itu dilakukan menerusi saluran demokratik seperti pilihan raya akan datang.
"Bermula dari sekarang sepatutnya pembangkang membuat persiapan unutk menumbangkan BN menerusi pilihan raya dan bukannnya dengan mengharapkan berlaku lompat parti dan cara-cara yang tidak demokratik dan tidak bermoral untuk mengambil alih kerajaan", ujarnya.Dalam pada itu Mustafa juga menegaskan hubungan Pas dengan Pakatan Rakyat masih seperti dulu dan tidak timbul soal Pas ingin meninggalkan Pakatan apa lagi untuk bergabung dengan Umno.
.

07 September 2008

Demo: Zulkifli terima surat tunjuk sebab PKR hari ini

PETALING JAYA : Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) hari ini menerima surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap beliau kerana mengetuai demonstrasi membantah forum anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu.

"Hari ini PKR (Parti Keadilan Rakyat) memberikan saya notis tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya kerana mengetuai Himpunan Aman Umat Islam membantah forum anjuran Majlis Peguam," kata beliau dalam blognya hari ini.Zulkifli berkata, surat tersebut menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukannya adalah menghalang forum "Masuk Islam: Artikel 121(1A)" anjuran Majlis Peguam.

"Saya mengambil sikap dalam keadaan Islam dihina saya akan tetap mempertahankan Islam, walaupun akan bercanggah dengan pendirian mana-mana pihak.

"Kalau tiba masa saya perlu memilih antara Islam dengan parti, saya tetap akan memilih Islam walaupun saya tahu akibatnya saya akan kehilangan dan kerugian, tambahan dalam keadaan Pakatan Rakyat dijangka mengambil alih kerajaan pada 16 September. "Pada saya biarlah rugi duniawi daripada rugi di sisi Ilahi," katanya. Kata Zulkifli lagi, beliau akan berdepan dengan Jawatankuasa Disiplin yang dijadualkan Selasa ini.

Sementara itu ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Zulkifli mengesahkan, beliau sudah menerima surat tunjuk sebab berkenaan.

"Ya, memang betul saya sudah terima surat tersebut di pejabat saya di Kuala Lumpur," katanya.

Jelasnya, Selasa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR itu mungkin terpaksa ditunda kerana beliau mengendalikan kes di mahkamah.

"Saya mungkin akan meminta tarikh tersebut ditunda ke 15 September ini kerana minggu depan saya ada kes untuk dikendalikan di mahkamah," katanya yang ketika ini berada di kawasan Parlimennya
.

25 August 2008

Pilih calon 'kurang' mudaratkan agama, negara - Mufti Perlis

dipetik dari mstar.com

PERMATANG PAUH: Tanpa menyebut nama calon, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abdidin berharap pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan memilih calon yang "paling ringan mudarat" atau "membahayakan" agama dan negara, esok.

"Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi," kata beliau.


Beliau salah seorang pemilih berdaftar di bahagian Parlimen Permatang Pauh berkata, pengundi-pengundi perlu menilai siapa yang paling kurang bahaya dibandingkan dengan yang lain untuk masa depan negara dan umat.

"Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut.

"Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini," katanya.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan esok. Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat manakala Datuk Arif Shah Omar Shah pula bertanding atas tiket Barisan Nasional dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

"Satu pemilihan mesti dilakukan," kata beliau dalam rungannya di Mingguan Malaysia semalam.' Jelas beliau, jika tidak pun untuk memilih yang terbaik, sekurang-kurang memilih yang kurang mudarat antara semua.

"Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah. Undi ada nilai dosa dan pahala," katanya lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, "barangkali memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah."

.

Demi politik....Anwar fitnah Najib amal agama Hindu



Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari Isnin membuat fitnah terbaru terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengamalkan acara kegamaan Hindu.

Pada sidang media di pejabat Yayasan Aman, bilik gerakan PKR di Permatang Pauh, Anwar membuat fitnah terbaru itu sebagai menjawab desakan kenapa beliau tidak mahu bersumpah mengikut cara Islam bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Najib angkat sumpah (merujuk kepada sumpah Najib di Masjid Guar Perahu, Jumaat malam) esok dia pergi sumpah Hindu dia pulak…adakah lusa dia nak pergi masjid lain angkat sumpah nak betulkan sumpah Hindu dia tu pula,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk mengenai Hindu itu berdasarkan penyiaran akuan bersumpah seorang lelaki India beragama Hindu oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang menuduh Najib mengamalkan upacara sembayang mengikut agama Hindu.

Dalam akuan bersumpah itu, Najib didakwa membawa seorang sami Hindu ke rumahnya setiap bulan bagi mengadakan acara sembahyang mengikut cara Hindu dengan duduk di hadapan api serta menggunakan segala peralatan acara keagamaan itu.

Fitnah terbaru Anwar itu dilihat sebagai usaha beliau untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapinya. Antara isu yang dihadapi Anwar ialah desakan agar beliau bersumpah bagi membersihkan dirinya dalam isu liwat.

Kedua, desakan agar beliau memberisihkan namanya ekoran pendedahan teman karibnya, Datuk S Nallakarupan bahawa Anwar menerima wang daripada syarikat judi 4-nombor ekor, Magnum Corporation.

Pada sidang media itu juga ekoran soalan mengenai sumpah oleh wartawan Agendadaily, Anwar sekali lagi ‘menyerang’ Agendadaily dengan menjawab soalan dengan berkata, "Ini agenda Najib dan agenda UMNO". Soalnya, soalan yang dikemukakan itu adalah biasa sahaja bagi mana-mana wartawan bagi mendapatkan reaksi kepada desakan dan tuntutan supaya Anwar bersumpah.

Namun, berdasarkan cara Anwar memberikan responnya, Anwar tidak selesa dengan soalan berikut kerana beliau tidak dapat memberikan jawapan secara objektif.

Bagi Agendadaily, inilah masalahnya bila ada pihak yang bersumpah mengikut cara Islam, Anwar akan segera mempertikaikannya tetapi bila ada akuan bersumpah seorang lelaki beragama Hindu, beliau akan percaya habis-habisan.

Ini adalah kali kelima Anwar serang Agendadaily
.

2 Exco Perak dihadap ke mahkamah hari ini

utusan_online

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Lima daripada enam orang termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat kes rasuah mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Isnin ini.

Sehubungan itu, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) menegaskan, tidak timbul soal agensi itu perlu meminta maaf kepada kedua-dua ahli Exco berkenaan mahu pun kerajaan negeri Perak seperti dituntut oleh pihak terbabit semalam.

Dua ahli Exco yang akan didakwa Isnin ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, 52.

Tiga lagi yang akan turut didakwa ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kapten (B) Usaili Alias, 56; Juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, 46 dan Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 45.

Seorang ahli perniagaan, Fazirul Azim Ismail, 30, yang turut ditahan reman sebelum ini, bagaimanapun tidak didakwa oleh BPR.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang dihubungi Mingguan Malaysia hari ini berkata, keenam-enam mereka hanya dibebaskan dengan jaminan BPR selepas direman beberapa hari lalu, bukannya dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, BPR mempunyai kuasa memanggil dan mendakwa mereka di mahkamah pada bila-bila masa.

Tambahnya, siasatan berhubung kes itu telah selesai manakala Bahagian Pendakwaan dan Perundangan BPR telah berpuas hati terdapat keterangan mencukupi untuk menuduh lima individu terbabit di mahkamah.

“Kita ada bukti yang kukuh untuk bawa mereka ke muka pengadilan, jadi tidak timbul isu soal minta maaf atau sebaliknya.

“Apabila orang lain kena terutama orang UMNO dia suka dan boleh terima, tapi apabila orang dia yang kena, kenapa tak boleh terima?

“Mereka kata nak hapuskan rasuah, tapi bila kita tangkap orang dia, suruh BPR dan media minta maaf pula... patut mereka kena bantu kita dan media,” katanya.

Semalam, kedua-dua ahli Exco Kerajaan Negeri Perak itu, Osman dan Jamaluddin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan media untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai penglibatan mereka dalam kes rasuah tersebut kerana mendakwa ia berunsur fitnah.

Sekiranya gagal berbuat demikian, kedua-dua ahli Exco itu akan memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap BPR.

Hadir

Dalam kenyataan akhbar Ibu Pejabat BPR yang dikeluarkan di sini petang ini, BPR menjelaskan, agensi itu sedang menghubungi kesemua yang terbabit supaya hadir ke pejabat BPR Perak di Ipoh pada pagi 25 Ogos ini sebelum mereka dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan masing-masing.

Menjawab soalan sama ada pihak-pihak terbabit salah faham antara istilah bebas dengan jaminan BPR dan dibebaskan daripada pertuduhan oleh mahkamah, Ahmad Said berkata: “Kebanyakan mereka adalah peguam, sepatutnya mereka tahu dan biasa dengan istilah-istilah ini... kita bebaskan mereka dengan jaminan BPR, ini bermakna kita boleh panggil mereka bila-bila masa.

“Sekarang kita sudah ambil keputusan untuk tuduh mereka di mahkamah setelah meneliti segala keterangan dan bukti yang ada.”

Sementara itu, ditanya sama ada kedua-dua ahli Exco dan Kerajaan Negeri Perak tidak memahami mengenai prosedur tahanan reman dan pendakwaan oleh BPR, Ahmad Said memberitahu: “Mereka memang tak faham, kita akan siasat sesiapa saja kalau ada dakwaan berlakunya transaksi rasuah... tidak kiralah sesiapa pun.

“Kalau benar-benar ada keterangan dan bukti, kita akan dakwa mereka di mahkamah.”
.