SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

19 July 2008

Dr. Mahathir ulas impak debat minyak, dakwaan liwat dihadapi Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas debat kenaikan harga minyak Selasa lalu dan isu dakwaan meliwat terbaru dihadapi bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tulisan terbaru blognya.

Mengenai debat, Dr. Mahathir berkata, forum tersebut yang diambil bahagian oleh Anwar dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bukan satu pertandingan yang adil.

"Shabery sangat kurang pengalaman di dalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan dalam keadaan tertekan."

"Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar," kata beliau.

Forum debat itu dianjurkan oleh Agendadaily menyentuh isu kenaikan harga minyak dan kali pertama menyaksikan kemunculan Anwar dalam siaran langsung televisyen selepas dipecat Dr. Mahathir pada September 1998.

Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.

Selepas dipecat daripada Umno dan kerajaan, Anwar berhadapan dengan dakwaan salah guna kuasa dan liwat.

Beliau menjalani hukuman kerana sabit kesalahan salah guna kuasa dan mahkamah membebaskan beliau daripada tuduhan liwat empat tahun yang lalu.

Dr. Mahathir mengulangi bahawa Anwar boleh meyakinkan terutama kepada mereka yang mahu mempercayainya. "Media Barat telah membuat kesimpulan bahawa tuduhan terhadap Anwar kali ini adalah sama dengan agenda politik yang lama yang dibuat untuk menghalangnya menjadi Perdana Menteri.

"Pada masa lalu saya adalah sasaran utama. (Perdana Menteri) Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) telah menafikan pembabitannya kali ini tetapi media Barat dan teman-teman Anwar dari Amerika tidak dapat diyakinkan dan akan terus mengaitkan Abdullah," katanya lagi.

Beliau juga menyentuh tentang elemen konspirasi taktik yang diperkatakan oleh banyak pihak dalam dakwaan liwat ini.

"Tetapi, adakah kerajaan sekarang sebegitu bodoh dan tidak mempunyai daya imaginasi untuk menggunakan "taktik" yang sama terutamanya memandang kepada sikapnya yang kritikal terhadap Kerajaan dahulu? "Pastinya ia mampu untuk menggunakan cerita lain yang lebih meyakinkan jika ia memang merancang ataupun berkonspirasi terhadap Anwar. Ada kebarangkalian bahawa ceritanya sama kerana ia benar," sentuh beliau dalam tulisannya.

Katanya, adalah mustahil kemungkinan pihak yang membuat laporan kali ini seorang yang cuba meniru."Agak mustahil. Tidak ramai yang sanggup ke hadapan dan mengumumkan sesuatu yang amat mengaibkan seperti kena liwat.

"Sebenarnya, dalam peristiwa yang lalu, sekurang-kurangnya dua orang menemui saya dan membuat pengakuan mereka telah diliwat oleh Anwar. "Tetapi mereka tidak sanggup membuat laporan atau pun menjadi saksi di mahkamah. Bagaimanapun, seorang dari mereka telah pergi menemui Imam Masjid Negara (sekarang ini ahli parlimen PAS) untuk mendapatkan nasihat dari sudut agama," tambah Dr. Mahathir.

Bekas Presiden Umno itu juga menyentuh saranan dan syor supaya si menuduh dan kena tuduh supaya bersumpah. Kata Dr. Mahathir, menimbulkan isu "qazaf" hanyalah bertujuan untuk megalihkan tumpuan.

"Ia satu ugutan terhadap sipenuduh iaitu jika dia tidak dapat mengemukakan saksi-saksi dianya akan dituduh melakukan fitnah dan akan dihukum sebat.

"Dalam al-Quran terdapat banyak penekanan terhadap keadilan. Berulang kali (sekurang-kurangnya 43 ayat) di dalam Quran menyeru "bila kamu menghukum, hukumlah dengan adil"," kata beliau.

Justeru menurut beliau, Syariah bukanlah sekadar proses membuat penghakiman dan menjatuhkan hukuman.

"Undang-undang Syariah bertujuan untuk memastikan keadilan dilaksanakan. Akan menjadi satu ketidakadilan jika orang yang menjadi mangsa dihukum (kerana gagal mengemukakan empat orang saksi) manakala orang yang melakukan penganiayaan lepas bebas.

"Ini adalah satu ketidakadilan yang ketara. Pastinya tidak mungkin undang-undang Islam mengabaikan keadilan dan cuma tumpu kepada perbicaraan dan hukuman," jelas beliau.

Katanya, amat jelas al-Quran menerima bukti-bukti bersandarkan kepada keadaan walaupun tidak disokong oleh saksi-saksi. Ini kerana katanya, Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keadilan dan proses yang diambil dalam membuat sesuatu penghakiman adalah untuk memastikan keadilan tercapai, yang tidak boleh disalahgunakan dan diperalatkan untuk menyekat keadilan.

"Kerana itu Anwar tidak harus mengelakkan diri dari diadili dengan menimbulkan soal qazaf. "Dia mungkin boleh mencuba melakukannya dengan undang-undang buatan manusia tetapi dia tidak harus menggunakan hukum Allah untuk mencapai ketidakadilan. Ia melanggar lunas Islam dan ini adalah berdosa," katanya.
.

PM: Ujian telus, Anwar perlu beri sampel DNA

PUTRAJAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar perlu memberikan sampel DNA yang boleh dibuat secara telus bagi membantu siasatan kes liwatnya yang melibatkannya, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, Anwar sendiri boleh melihat proses ujian DNA itu bagi mengetahui keputusannya.

"Kalau dia betul-betul kata tak terlibat ke apa. Bagi sampel," kata Abdullah, sambil menambah kata seolah-olah dirinya berada di tempat Anwar sekarang dengan berkata: "Buat sekarang. Saya nak tengok."

Bercakap kepada para pemberita selepas melancarkan Teksi Hydrofuel di Dataran Masjid Putrajaya, di sini, Abdullah berkata: "Dia (Anwar) kata dia tak buat apa-apa. Tengoklah. Tentu hasilnya tidak membuktikan sesuatu yang dia tidak lakukan. Itu caranya... apa susah sangat?"

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan pihak berkuasa mengambil sampel itu sekali lagi setelah sampel berkenaan diambil 10 tahun lalu semasa kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.
.

Tengku Razaleigh mahu ubahsuai, mantapkan DEB jika menang pemilihan Umno

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata beliau akan mengubahsuai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap sekiranya dipilih sebagai Presiden Umno. Tengku Razaleigh yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu Umno pada pemilihan Disember nanti berkata, dasar itu akan diperkemaskan lagi kerana ia adalah untuk kebaikan semua kaum dan bukan dikhususkan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.

“DEB yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu bukan sahaja untuk kepentingan orang Melayu, malah untuk kebaikan semua kaum di negara ini

“Nampaknya selepas pelaksanaannya, dasar berkenaan belum menunjukkan perubahan ketara kepada kemajuan ekonomi orang Melayu dan apa yang perlu kita buat ialah mengemaskan lagi pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri di Dewan Bukit Chekati, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh mengecam pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai kepentingan diri apabila menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

- Bernama
.

18 July 2008

Tengku Razaleigh harap PAS-Umno akan bergabung dalam satu parti

KOTA BAHARU: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berharap PAS dan Umno akan bergabung menjadi satu parti hasil daripada muzakarah yang dicadangkan.

Beliau berkata muzakarah itu merupakan cadangan yang baik untuk mencari satu titik pertemuan bagi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

"Saya lebih suka sekiranya muzakarah itu berlandaskan satu matlamat yang ikhlas," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas.

Tengku Razaleigh berkata berdasarkan iklim politik sekarang dan kedudukan ekonomi dunia serta dalam negeri yang lemah, sudah tiba masanya pemimpin daripada dua parti itu bersatu membincangkan soal masa depan rakyat.

"Sudah sampai waktu untuk pemimpin dari kedua-dua parti ini menjernihkan keadaan dan rakyat boleh mendapat ketenangan," katanya.

Beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa punca PAS keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 70an ialah kerana parti itu dikhianati oleh Umno.

"Kemelut kepimpinan PAS Kelantan pada masa itu menjadi punca parti itu keluar dan bukannya parti itu dikhianati oleh Umno.

"Semasa itu, keadaan di Kelantan tidak tenang kerana terdapat pemimpin PAS sendiri tidak sehaluan dengan kerajaan campuran itu," kata Tengku Razaleigh yang menjelaskan bahawa pada masa itu beliau adalah Menteri Kewangan, Naib Presiden Umno dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Selasa lepas, Nik Aziz dilaporkan berkata PAS sedia untuk bermuzakarah jika hasrat daripada Umno itu datang daripada peringkat akar umbi kerana PAS tidak mahu terjebak sekali lagi dalam "muslihat politik Umno" seperti yang berlaku dalam tahun 70an.

-BERNAMA
.

Sidang Akhbar Anwar....



KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menolak untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan alasan tidak yakin akan ujian itu dan atas nasihat peguam dan juga pakar dalam dan luar negara.

Anwar percaya pemalsuan terhadap bukti DNAnya boleh berlaku berdasarkan tuduhan palsu kes liwatnya pada 1998 dan juga kerana orang yang menuduhnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan masih di dalam tahanan polis.

“Mengenai isu pengambilan darah, saya dinasihatkan oleh peguam dan pakar-pakar DNA dari dalam dan luar negara untuk tidak membenarkannya,” kata beliau pada sidang media yang diadakan di rumahnya di Bukit Segambut pukul 2 petang ini selepas dibebaskan pagi tadi.

Alasan yang diberikan ialah simpanan sampel darah beliau sudah ada dalam simpanan polis dan takut kemungkinan berlaku manipulasi terhadap sampel tersebut oleh pihak-pihak tertentu.

Anwar ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang semalam untuk diambil keterangan dan dibebaskan pada pukul 9.50 pagi hari ini selepas polis mengambil lagi keterangannya pukul 7.30 pagi. Katanya beliau diletakkan di lokap di tingkat tujuh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan dilayan dengan baik.

Beliau juga mempersoalkan prosedur polis dengan mendakwa polis tidak membebaskannya berikutan keenganannya memberikan sampel darah tetapi membebaskannya pagi ini walaupun beliau masih tidak berbuat demikian.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu berjumpa Saiful, Anwar berkata: "Ia sekadar episod dalam drama. Ini tuduhan serius, melibatkan kesalahan jenayah. Ada bukti dan asas patut disiasat, jika tiada asas dan bukti, penuduh yang patut ditahan dan tertuduh harus dilepaskan."

Semalam Anwar dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 8.35 malam tadi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun beliau bertanya kepada pegawai perubatan HKL mengapa sampel darah beliau mahu diambil, pegawai tersebut memaklumkan bahawa sampel tersebut akan dikirimkan untuk tindakan polis.

“Oleh itu saya inginkan jaminan apakah proses tersebut dapat dipastikan tiada sebarang unsur atau percubaan seperti tindakan sebelumnya (kes 1998) iaitu menipu meletakkan DNA terawal di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Beliau juga inginkan jaminan kerajaan untuk melihat keterangan yang ada bagi memastikan kes ini disiasat dengan telus dan profesional.

Mengenai pemeriksaan kesihatan yang dilakukan, Anwar berkata beliau telah ditelanjangkan bagi menjalankan pemeriksaan seluruh badan.

“Saya dibogelkan. Seluruh badan saya diperiksa termasuk kemaluan. Mereka juga ukur apa yang perlu dan saya ikut semuanya.

"Namun saya enggan gambar saya diambil kerana takut akan tersebar luas dalam You Tube,” katanya sambil tersenyum.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga hairan dan kesal kerana sehingga kini beliau masih belum menerima salinan laporan polis yang dibuat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Jelasnya, jika selepas ini atau esok beliau menerima laporan itu, adalah sukar untuknya memastikan sama ada laporan itu benar-benar asli ataupun tidak.

“Kalau lepas ini saya terima, siapa boleh pastikan laporan itu asli atau tidak? Mana ada siasatan dijalankan terhadap tertuduh tanpa melihat laporan tuduhan terhadapnya?,” kata beliau.

Anwar juga tidak menolak kemungkinan pindaan akan dilakukan terhadap laporan polis terhadapnya selepas beliau selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada beliau meminta kebenaran polis untuk melihat laporan itu semasa siasatan dijalankan semalam, beliau berkata, polis memberikan pelbagai alasan untuk tidak memberikannya.

Bercerita mengenai apa yang berlaku sehingga beliau perlu ditahan di lokap, beliau berkata, pada mulanya polis berjanji akan membebaskannya semalam selepas selesai menjalankan ujian kesihatan di HKL.

“Sebelum itu saya diberi jaminan oleh pegawai atasan polis untuk merekodkan keterangan, buat pemeriksaan kesihatan di HKL dan kembali semula ke IPK untuk diberikan bon polis agar saya dibebaskan semalam juga, namun perkara sebaliknya berlaku,” katanya.

Semalam beliau ditempatkan di lokap tingkat tujuh IPK dan diarah tidur di lantai simen tanpa alas.

“Lokap itu adalah lokap yang menempatkan penjenayah besar. Saya disuruh tidur dilantai simen tanpa alas hingga menyebabkan pinggang saya kembali sakit kerana tidak tahan dengan sejuk,” katanya.

Namun kira-kira pukul 1 pagi, isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail datang memberikan tuala bagi dijadikan alas.

Selepas keterangan sambungan diberikan kepada polis hampir 30 minit, beliau dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.30 pagi.

Sejurus sampai ke rumah, beliau diberikan suntikan ubat penahan sakit oleh doktor peribadi kerana mengadu terlalu sakit dan beliau perlu berehat sebelum bersedia mengadakan sidang media kira-kira pukul 2.05 petang.

Diminta mengulas mengenai tindakan PAS yang bersedia bermuzakarah dengan pemimpin Umno, beliau menyokong usaha PAS untuk berjumpa sesiapa sahaja.

Penasihat Umum Pakatan Rakyat itu juga menegaskan hubungan PKR dan PAS masih utuh seperti dahulu tanpa masalah.

Beliau turut ditanya mengenai keputusan untuk bertanding dalam mana-mana pilihanraya kecil bagi memberi laluan untuknya, beliau berkata hasrat itu akan tetap dilakukannya.

“Saya baru dibebaskan. Bagilah saya sedikit masa,” katanya yang turut mengakui detik 16 September (umum ahli BN lompat parti) yang dijanjikan pasti akan dibuktikan.

Dalam sidang media tersebut beliau turut ditemani isteri, peguamnya Sakaran Nair dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
.