SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

05 July 2008

Dr Harussani: Jika tiada bukti, Anwar perlu bersumpah

PETALING JAYA: Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Harussani berkata demikian ketika diminta pendapat beliau tentang cadangan mubahalah (bersumpah) yang dicadangkan oleh Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abdin semalam.

Katanya lagi, "Setiap keterangan yang diberikan perlu dibuktikan. Jika tiada keterangan untuk dijawab, barulah beliau (Anwar) perlu bersumpah.”

Semalam, Asri telah menggesa Anwar yang dituduh meliwat kali kedua dan pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya bermubahalah’ atau bersumpah.

Katanya lagi: "Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini... 'Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya."

Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak untuk meminta Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat bersumpah berhubung dakwaan liwatnya, beliau berkata: "Keterangan mesti diberikan oleh orang yang didakwa (Anwar). Apabila sesuatu perkara itu dizahirkan, ia mesti ada bukti."

"Sekiranya tidak ada bukti, barulah diambil pendekatan bersumpah ini,” tambah beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Kata Harussani lagi, Anwar perlu memberi bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak terlibat dengan dakwaan tersebut.

Beliau menganggap isu liwat ini timbul disebabkan pertelingkahan antara dua parti politik yang berlaku sekarang.

.

Bersumpah Dengan Menjunjung Al-Quran Cara Tentukan Kebenaran, Kata Nik Aziz

KOTA BAHARU, 4 Julai (Bernama) - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Sambil menyokong cadangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung perkara itu, beliau berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

"Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan itu, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mohd Asri supaya kedua-dua individu yang dikaitkan dengan kes liwat iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan "bermubahalah" atau bersumpah.

Dalam kenyataannya semalam, Mohd Asri berkata isu liwat yang membabitkan Anwar sudah semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

- BERNAMA

04 July 2008

Pemuda Umno sifatkan Anwar cenderung amalkan politik fitnah

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan penarikan balik akuan bersumpah oleh penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam, sebagai satu lagi pembohongan besar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cenderung mengamalkan politik fitnah.

Ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenyataannya hari ini berkata Anwar tergamak melakukan apa sahaja tanpa memikirkan negara dan keharmonian rakyat untuk menyelamatkan dirinya.

"Bermula daripada dakwaan diugut bunuh, mendapatkan sokongan kuasa asing dan kini tuduhan palsu ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Pemuda Umno tidak akan berdiam diri dan akan terus membongkar muslihat Anwar," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pemuda Umno di setiap peringkat seluruh negara giat bergerak untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai muslihat Anwar yang menimbulkan helah bagi mengalihkan perhatian orang ramai daripada tuduhan liwat ke atas dirinya.

Katanya Pemuda Umno sentiasa berdiri teguh di bawah kepimpinan Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno dalam hal ini dan tidak akan membiarkan Anwar membuat tohmahan dan fitnah sesuka hati.

Balasubramaniam, yang semalam menuduh Najib mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam akuan bersumpahnya bertarikh 1 Julai, hari ini menarik balik tuduhan itu.

Beliau berkata pada sidang akhbar di sini semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar.

Sementara itu, anggota Parlimen Muar merangkap Ketua Pemuda Umno Johor Razali Ibrahim dalam kenyataannya berkata Anwar 'bermain dengan api' apabila beliau sanggup menggunakan apa jua cara bagi menyelamatkan dirinya seperti akuan bersumpah yang dibuat Balasubramaniam dan kemudian ditarik semula.

"Saya yakin beliau tidak akan berhenti dan sanggup menggunakan sesiapa sahaja bagi mencapai matlamat peribadi yang mencurigakan itu. Ini amat berbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

"Dalam keadaan yang tidak menentu hari ini kita sepatutnya mengukuhkan kerjasama antara kita dalam usaha meningkatkan daya saing negara dan bukannya mempertaruhkan masa depan rakyat," kata Razali.

-BERNAMA

Perisikan tentera: Tiada maklumat tentang ancaman bunuh Anwar

KUALA LUMPUR: Perisikan tentera hari ini menafikan memberi sebarang maklumat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujudnya ancaman bunuh terhadap Anwar dan anggota keluarganya.

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt. Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail turut menafikan wujudnya laporan perisikan tentera berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu seperti yang didakwa oleh pengendali blog Raja Petra Kamaruddin yang terkandung dalam Akuan Bersumpahnya yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun.

"Kenyataan Anwar berhubung perisikan tentera yang memberi amaran tentang keselamatan beliau adalah tidak benar. Beliau mungkin mempunyai sumber lain tetapi bukan daripada agensi (perisikan tentera) saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Digital Fotografi di Kolej Multimedia Telekom di sini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas dakwaan Anwar pada Ahad lepas yang beliau (Anwar) mendapat maklumat daripada sumber kerajaan dan perisik tentera kononnya ejen Barisan Nasional (BN) merancang mencederakan atau mungkin membunuh beliau dan mencederakan anggota keluarga serta penyokongnya.

Mengenai Akaun Bersumpah Raja Petra, Mohd Salleh berkata ia tidak benar dan "sepanjang saya menduduki kuasa pemerintah, saya langsung tidak mengetahui wujudnya laporan seperti yang dinyatakan itu," katanya.

Raja Petra dalam akuan bersumpahnya mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rembau menyimpan laporan perisikan tentera mengenai kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pakar bom, pemangku Kolonel Aziz Buyong dan isterinya Norhayati, yang juga pengawal pengiring Rosmah, di tempat kejadian di mana Altantuya diletupkan di Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006.

Mohd Salleh berkata dakwaan itu yang mengaitkan badan perisikan tentera adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana telah menimbulkan kekeliruan rakyat serta menjejaskan kepercayaan mereka terhadap badan itu.

"Tidak ada penglibatan daripada perisikan tentera dalam fenomena politik negara ketika ini. Pengakuan-pengakuan tersebut hanya andaian semata-mata bertujuan untuk menguatkan fakta mereka dan kredibiliti maklumat yang dikeluarkan.

"Ini juga kemungkinan adanya agenda tersendiri daripada pemimpin-pemimpin itu," katanya.

Beliau berkata perisikan tentera sentiasa memantau keadaan keselamatan negara daripada semua aspek, bagaimanapun tidak dapat dinafikan terdapat golongan yang mahu melihat Malaysia di dalam keadaan huru-hara.
.
- BERNAMA

Pemuda Pas turut minta Anwar bersumpah

SHAH ALAM 4 Julai – Dewan Pemuda Pas Selangor bersetuju dengan cadangan meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang kedua-duanya dikaitkan dengan kes liwat, supaya 'bermuhabalah' atau bersumpah.

Ketuanya, Sallehen Mukhyi berkata, dengan bersumpah yang bermaksud menyerahkan kepada Allah, masalah yang berkaitan dakwaan liwat itu boleh diselesaikan dari segi peribadi.

"Dalam Islam, cara penyelesaian sesuatu isu seperti isu ini bukan susah, soalnya isu ini tidak boleh dipolitikkan, oleh itu sumpah kedua-duanya (Anwar dan Mohd. Saiful) merupakan sebagai penyelesaian masalah ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta Anwar dan Mohd. Saiful 'bermubahalah' atau bersumpah setelah isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru sehingga berbalah dan bertengkar sesama sendiri.

Menurut Mohd. Asri, kedua-duanya perlu bersumpah dengan melafazkan : "Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."

- Utusan.