SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

23 June 2008

Wakil Sabah tinggalkan BN jika...

Ahli parlimen BN Sabah akan melompat parti jika kerajaan tidak berlaku adil kepada rakyat negeri itu, kata Datuk Anifah Aman. Ahli parlimen BN Kimanis menambah, jika kerajaan tidak memberi respons terhadap kehendak dan permintaan rakyat, mereka tidak teragak-agak akan meninggalkan kerajaan yang diketuai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas timbalan menteri persekutuan itu bagaimanapun berkata, beliau tidak akan meninggalkan BN pada ketika ini kerana tidak guna berbuat demikian.

"Tetapi kepimpinan perlu respons kepada rakyat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.Beliau juga mengulas mengenai tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) ingin membentangkan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri.

Anifah berkata, presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee hanya mahukan suara rakyat Sabah didengar oleh kerajaan kerana sebelum ini suara mereka tidak diberikan perhatian."Saya tidak fikir Yong berbuat demikian kerana hendakkan jawatan, sebaliknya semata-mata untuk bersuara bagi rakyat Sabah.

"Memberi jawatan kepada Yong tidak akan menyelesaikan masalah rakyat Sabah. Suaranya itu telah sampai ke peringkat terdesak.

"Tanpa jawatanpun, Yong boleh bercakap kerana beliau merupakan presiden SAPP," katanya. Anifah mendakwa, beliau mengenali isi hati Yong kerana sama-sama berada dalam kelab Persatuan Pelajar Sabah di London.

Beliau berkata, rakyat Sabah bersuara kerana mahukan kerajaan membantu menyelesaikan masalah di negeri mereka termasuk isu pendatang haram. Katanya, rakyat Sabah bimbang kerana semakin ramai pendatang haram di negeri itu dan masalah itu sudah berlanjutan puluhan tahun lalu.

TERKINI : Wanita Islam di Kota Baharu dilarang pakai gincu, tumit tinggi

KOTA BAHARU: Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi yang tidak mengeluarkan bunyi antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKBBRI) di sini.

Yang Dipertua MPKBBRI, Shafie Ismail berkata, arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Kata beliau, wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah, kata beliau menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan MPKBBRI.

Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu itu.

Selain itu, beliau berkata, antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.

Shafie berkata, kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKBBRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500.

- BERNAMA
.

Ibrahim Ali 'merajuk' tidak diberi peluang bahas usul

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali 'merajuk' setelah beberapa kali bangun untuk membahaskan usul kenaikan harga minyak tetapi tidak diberi peluang.

Ibrahim seolah-olah merajuk apabila untuk kali keenam beliau tidak diberi peluang berbahas walaupun setiap kali beliau adalah antara yang terawal bangun, sebaliknya ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri diberi peluang oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ibrahim akhirnya membangkitkan peraturan mesyuarat yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang paling awal bangun sepatutnya diberikan peluang untuk berbahas.

"Tuan Yang Dipertua, saya minta ditukarkan tempat duduk saya. Saya duduk di sini, tiap kali saya bangun, tapi Yang Dipertua tak nampak sedangkan sebelum saya jadi ahli Bebas, saya adalah ahli Parlimen yang dikira kanan.

"Kalau tak mahu pakai peraturan mesyuarat saya baling saja buku ni," katanya sambil menunjukkan buku kecil peraturan mesyuarat yang dibekalkan untuk semua ahli Parlimen.

Beliau kemudian menghempaskan buku itu ke mejanya dan terus berjalan keluar dari Dewan Rakyat, tetapi masuk semula kira-kira 10 minit kemudian sebelum Hamim menamatkan perbahasannya.

Junaidi kemudian membenarkan Ibrahim untuk mengambil bahagian untuk menjadi pembahas ketujuh.
.

Isa Samad bebas hukuman gantung 3 tahun

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa penggantungan keahliannya sebagai anggota Umno bagi kesalahan politik wang yang berkuatkuasa 24 Jun 2005, telah berakhir. Isa yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti 2004, sebelum didapati bersalah atas tuduhan itu, berkata beliau menerima surat daripada ibu pejabat Umno, Jumaat lepas yang memaklumkan penggantungan keahliannya berakhir hari ini.

"Saya bersyukur dan hanya tersenyum ketika menerima surat itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.Ditanya langkah seterusnya sama ada akan bergiat semula dalam politik termasuk bertanding pada pemilihan parti Disember ini, Mohamed Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1982 hingga 2004, berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan dan masih memikirkannya.

Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaan Mohamed Isa, 58, selama dua penggal atau enam tahun selepas mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang semasa pemilihan parti pada 2004. Mohamed Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004/2007 dengan jumlah undian tertinggi iaitu 1,507 diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Berikutan hukuman itu, Mohamed Isa turut digantung semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang. Tempoh penggantungan keanggotaan Mohamed Isa kemudian dikurangkan dari enam tahun kepada tiga tahun selepas beliau mengemukakan rayuan pada 6 Julai 2005.Selepas digantung keahlian, Mohamed Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Oktober 2005.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata kedudukan seseorang anggota Umno yang digantung keahliannya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti apabila tempoh penggantungan itu berakhir.

Beliau berkata ini proses biasa dilalui oleh semua anggota Umno yang digantung keanggotaan atas pelbagai kesalahan melanggar disiplin parti termasuk politik wang.

"Biasanya ia akan dibincang dulu oleh Jawatankuasa Pengurusan dan kemudian akan dibawa ke MT. MT akan bincang dan buat keputusan. Keputusan MT muktamad.

"Macam kes (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Zaid (Ibrahim), beliau tidak (boleh) secara automatik pegang balik Ketua Bahagian Kota Baharu. Kena pergi balik (kepada pucuk pimpinan parti), apa keputusannya, ini macam mana (kesnya)," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhammad, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas mengenai kenyataan bekas naib presiden Umno Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad yang mendakwa telah menerima surat dari ibu pejabat Umno pada Jumaat lalu, memaklumkan tempoh penggantungan keahlian beliau selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 berakhir hari ini. Mengulas lanjut, Muhammad berkata beliau percaya Jawatankuasa Pengurusan parti akan membincangkan kedudukan Isa dalam mesyuarat mingguan mereka yang lazim diadakan pada setiap Rabu.

"Tunggu Jawatankuasa Pengurusan membincangkannya," katanya sambil menambah kata status Isa juga mungkin dibincang semasa mesyuarat MT yang dijadual Khamis ini.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengesahkan bahawa status setiap anggota Umno yang digantung keanggotaan akan dibincang dalam Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibawa kepada MT untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun Bernama difahamkan jawatankuasa itu tidak bermesyuarat minggu lalu kerana Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno yang mempengerusikan jawatankuasa itu bercuti.

Isa pada mulanya digantung keanggotaan selama enam tahun atau dua penggal, selepas didapati bersalah dalam lima daripada sembilan tuduhan politik wang pada pemilihan Umno pada September 2004.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut digantung semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Bagaimanapun selepas rayuan, tempoh penggantungan keahlian Isa yang menerima undi terbanyak untuk jawatan naib presiden pada pemilihan itu dikurangkan kepada tiga tahun.Sementara itu, Zaid pula yang sebelum ini mengetuai Umno Bahagian Kota Baharu pernah digantung keahlian selama 18 bulan selepas beliau enggan memohon maaf ekoran kenyataan terbukanya yang dianggap menghina Lembaga Disiplin Umno.

Penggantungan keahliannya bermula 27 Jun 2005 dan berakhir pada 1 Jan lalu.

Sehubungan itu Umno Kota Baharu mendesak pucuk pimpinan agar jawatan ketua bahagian dikembalikan kepada Zaid, sementelah beliau juga telah dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyertai Kabinet yang dibentuk selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

MT Umno dalam satu mesyuarat pada 2006 memutuskan manamana Ketua Bahagian yang digantung keahlian perlu bertanding semula untuk menyandang jawatan mereka.

- BERNAMA
.

MB Selangor mengaku ada duit derma masuk akaun PKR

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengakui adanya sumbangan derma daripada syarikat-syarikat swasta bagi Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang didepositkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya diberitahu ada usaha untuk mengutip derma yang saya rasa tidak perlu," katanya ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor bahawa kutipan wang derma bagi penganjuran majlis sambutan itu telah didepositkan ke dalam akaun PKR.

Abdul Khalid berkata wang kutipan itu yang menurut kiraan beliau tidak seberapa jumlahnya akan dibekukan dan ahliahli Pakatan Rakyat sebagai satu pasukan akan berbincang bagaimana wang itu akan digunakan dan jumlah kutipan itu akan diberitahu kepada pihak kerajaan negeri.

"Adalah malang kutipan dan pemindahan ke dalam dana Parti Keadilan. Ia harus dipindahkan ke dalam akaun negeri dan kemudian kita bincangkan kegunaannya," katanya kepada pemberita selepas Melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.s) di sini hari ini.

Abdul Khalid juga berkata beliau sendiri akan menulis surat bagi mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat berkenaan dan bertanya sama ada mereka menerima tekanan untuk menyumbang kepada sambutan itu.

Namun, beliau menganggap pemberian syarikat itu sebagai ikhlas dan tidak mengharap balasan seperti pemberian tanah atau pasir.

- BERNAMA
.