SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

18 June 2008

Anggota Parlimen BN Perlu Tolak Usul Tidak Percaya Terhadap PM

MELAKA, 18 Jun (Bernama) - Semua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu menolak usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Isnin ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata semua anggota parlimen BN perlu mempertahankan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN. "Tindakan untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di parlimen (dijangka Isnin ini) adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak demokratik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul itu.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata "Yong Teck Lee dan SAPP perlu dipecat daripada menjadi anggota BN".Beliau berkata semua anggota parti komponen BN mesti ada disiplin dan mesti membincangkan hal-hal parti."

Dalam mesyuarat BN beliau (Yong) menyatakan sokongan kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri dan presiden BN bagaimana di luar beliau menyatakan hilang keyakinan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden BN," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau yakin tindakan yang diambil oleh SAPP itu tidak akan menyebabkan parti komponen lain dalam BN mengambil tindakan yang sama.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak fikir mereka dengan tiba-tiba satu keadaan di mana anggota BN lain akan meninggalkan parti ini."Saya tidak fikir mereka mempunyai kepimpinan atau pun mereka konsisten dalam isu mereka kerana anda dengar pelbagai komen yang dibuat oleh anggota Parlimen berlainan daripada parti itu.

"Ia agak tidak jelas apa mereka lakukan. Jadi, kita tidak pasti apa yang mereka buat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata beliau tidak nampak usul yang akan dibawa oleh dua anggota Parlimen Sabah pada sidang Parlimen minggu depan akan mendapat sambutan.

Beliau berkata ini kerana wakil kerajaan akan membentangkan usul mengenai kenaikan harga barang dan petrol, termasuklah isu subsidi dan inflasi untuk dibahaskan pada sidang tersebut. "Ia masih belum jelas apa sebenarnya yang akan berlaku. Mungkin akan ada perkara lain akan berlaku. Tentunya tidak wajar buat kenyataan masih kabur, saya sendiri tidak pasti apa pendirian SAPP.

"Tetapi pokoknya dalam sistem Parlimen, bagaimana nak menguruskan usul undi tak percaya itu? Kalau ia seperti usul atau perbahasan, kita lihatlah. Pokoknya memang ada usul kerajaan pada hari Isnin dan kita lihat bagaimana sambutan kepada usul ini," katanya.

Mengulas mengenai kepimpinan Abdullah, Shahrir berkata : "Beliau telah menemui pemimpin akar umbi dan dalam keadaan baik bagi seseorang yang dilihat dan nampaknya diserang dari setiap sudut.

"Beliau masih membuat keputusan yang agak jelas dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menetri," kata Shahrir.

- BERNAMA

Musa kesal SAPP sokong undi tidak percaya terhadap PM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman melahirkan rasa kesal dengan pengumuman Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee bahawa Anggota Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tidak pasti apakah motif sebenar SAPP mengambil tindakan sedemkian," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Musa berkata sebagai presiden parti komponen Barisan Nasional (BN), tindakan seumpamanya adalah tidak wajar dan tidak pernah berlaku berasaskan kepada semangat keakraban yang diamalkan oleh BN selama ini.

Musa, yang juga Pengerusi BN negeri, mengulas pengumuman SAPP bahawa parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah.

Yong mendakwa dua anggota Parlimen parti itu (Sepanggar dan Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Yong, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata anggota Parlimen kawasan Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, yang kini berada di luar negara bagi tugasan rasmi, telah menyatakan pendiriannya dalam kenyataan media yang ditandatangani, manakala anggota Parlimen kawasan Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui juga membuat pendirian serupa dalam kenyataan yang ditandatangan.

- BERNAMA

SAPP keluar BN Jumaat ini?

Adakah Parti Maju Sabah (SAPP) akan meninggalkan Barisan Nasional (BN)?

SAPP dijadual akan mengadakan sidang akhbar Jumaat ini untuk mengumumkan keanggotaan mereka dalam BN selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP diadakan.

Dalam kenyataan dipaparkan di dalam laman web SAPP hari ini, parti itu mendakwa BN telah meninggalkan Sabah dan semangatnya telah lenyap.

"Bukan kami (Sabah) tidak mahu Barisan Nasional (BN), tetapi BN yang tidak mahu kami," kata SAPP.

Menurut SAPP, BN tidak mengaktifkan sumbangan Sabah dalam arus perdana negara.

Pakatan Rakyat Akan Sokong Usul Terhadap Abdullah

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) - Pakatan Rakyat akan menyokong usul bagi undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen Isnin ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Ya" kata beliau bila ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan menyokong usul yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Isnin ini, selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini hari ini. Beliau berkata demikian bila diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul itu.Yong tidak menyebut tentang kemungkinan partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan siapa yang akan mengemuka undi tidak percaya itu.

"Ini berita baik kepada saya tetapi kami dalam Pakatan Rakyat memang menyambut baik penyertaan oleh anggota-anggota baru dalam gabungan itu, tetapi kita perlu bekerja sama ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat," kata beliau.

Ditanya sama beliau akan mengosongkan kerusi parlimen Bandar Tun Razak untuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Khalid berkata:" Saya ingat spekulasi ada tapi saya telah beri kenyataan setiap Ahli parlimen dalam Keadilan akan memberikan kerusinya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk saya". Apapun, beliau berkata perkara ini perlu dibincang atau disuarakan oleh Anwar. Khalid berkata beliau percaya Anwar akan lebih memfokus kepada usaha menentukan Pakatan Rakyat menguasai parlimen dan kerajaan dalam masa terdekat daripada bertanding dalam pilihan raya kecil.

- BERNAMA

Nik Aziz sifatkan keputusan DUN Sanglang bukti mahkamah telus

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata keputusan Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dikosongkan bukti sistem pengadilan semakin telus. Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu pertama kali dilihat menyebelahi pembangkang sejak beliau menyertai politik pada 1967.

“Inilah kali pertama saya dengar keputusan mahkamah berpihak kepada pembangkang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selepas tiba dari Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kangar, Perlis hari ini mengisytiharkan kerusi itu yang dimenangi Abdullah Hassan dari Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, dikosongkan. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani selepas menolak petisyen calon Pas, Hashim Jasin yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di kawasan DUN itu pada pilihan raya itu. Nik Aziz berkata keputusan itu akan menaikkan imej mahkamah di negara ini yang selama ini ramai berpendapat menyebelahi satu pihak saja.

“Ini akan membaiki imej mahkamah yang selama ini tercalit,” katanya. Beliau juga meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan proses pilihan raya kecil di DUN Sanglang itu bagi mengisi kekosongan kerusi kawasan berkenaan.

- Bernama