SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

19 May 2008

Dr Mahathir keluar Umno

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta dan menggesa ahli-ahli Umno yang lain supaya turut berbuat demikian.

Katanya, beliau bertindak keluar parti - yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003 - kerana tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sebelum itu, semasa majlis dailog dengan kira-kira 1,000 orang yang menghadirinya, beliau mencadangkan Ketua-ketua Umno cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehinggalah perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan.

Katanya, ini kerana jika mereka tunggu sehingga pemilihan Umno Disember ini, Abdullah akan menang tanpa bertanding jawatan itu. Beliau terus membuat pengumuman keluar parti apabila salah seorang hadirin mencabarnya membuat pengumuman itu.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan hadirin yang kebanyakannya ahli Umno Kedah di majlis bertajuk "Nasib kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di Alor Star hari ini.

Dalam reaksinya, seorang lagi pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid, yang merupakan penyokong setia Dr Mahathir dan bekas menteri besar Kedah, turut mengumumkan keluar parti.

Dr Mahathir juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi ahli Umno selepas Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno, meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai eluar dari Umno)," katanya.

Dr Mahathir turut menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.

Bagaimanapun, beliau meminta mereka supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.
"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presidenparti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.

'Untuk kepentingan keluarga'

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya. Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lalu. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dr Mahathir adalah perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 dari tahun 1981 hingga 2003.

'Halang jumpa saya'

Bernama pula melaporkan Dr Mahathir turut mengajak ahli Umno yang sependapat dengannya berhubung dengan kepimpinan untuk mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar dari parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti lain.

"Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya," tambahnya.

Bekas Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa kerana ahli Umno masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpa dengannya.

"Sampai nak adakan perjumpaan, ahli-ahli Umno dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa," katanya. Beliau berkata, tindakan kepimpinan Umno itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan Umno sebagai tidak demokratik.

Ikut jejak

Ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai tindakannya itu akan membuat orang lain mengikuti jejaknya, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak peduli kerana saya pun disekat daripada berjumpa dengan ahli-ahli Umno."

Beliau juga yakin bahawa tindakannya meninggalkan Umno tidak akan memberi kesan kepada politik orang Melayu.

"Saya pernah dibuang dari Umno, (dan) politik Melayu tidak hilang. Kalau orang Melayu hendak betulkan, bukan kerana (tindakan) saya keluar. Kalau mereka berani hendak pelihara parti dan perjuangan parti mereka harus berani bertindak," katanya.

Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan bahawa Abdullah perlu melepaskan jawatan sebagai perdana menteri bagi memastikan survival Umno dan jika perlu ahli Umno boleh membuat undi tidak percaya dalam usaha memaksa Abdullah meletak jawatan.

Ditanya adakah tindakan terbarunya itu (keluar Umno) bertujuan untuk memberi tekanan kepada Abdullah, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana orang ini tidak faham apa-apa".

Siasatan peguam negaraDitanya adakah tindakannya keluar dari Umno mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V.K Lingam, Dr Mahathir menafikannya."Ini soal mahkamah... dia boleh tuduh dan kalau saya salah masuk jail. Kalau tak salah janganlah tangkap saya juga," katanya sambil ketawa.

Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan; dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin serta Dr Mahathir.

Di akhir majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap pemimpin Umno sekarang kerana bukan sahaja tidak mempertahankannya, sebaliknya turut mengkritiknya.

"Kalau dulu orang kata kononnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasai tak buat jambatan orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya," katanya kesal.

Di majlis itu, Dr Mahathir dalam ucapannya selama sejam turut menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh hadirin antaranya berhubung pengganti Abdullah dan langkah memulihkan kuasa politik Umno.Dr Mahathir juga mengulangi gesaannya supaya sistem kuota kelayakan untuk bertanding jawatan penting pada perhimpunan agung Umno Disember ini dimansuhkan melalui persidangan mesyuarat khas parti.

PM paling lama

Ini menjadi beliau perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat serta pemimpin yang paling lama berkuasa di Asia. Dr Mahathir dilahirkan di Alor Star pada 20 Disember 1925. Beliau aktif dalam politik sejak 1954 melalui pembabitan dalam kempen anti-Malaysian Union.
Dr Mahathir menyertai Umno apabila parti itu ditubuhkan pada tahun berikutnya (1946). Dalam pilihanraya ketiga pada 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar Selatan.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada 1969 dan kalah dengan majoriti 989 kepada calon PAS, Haji Yusoff Rawa. Ekoran peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat dari jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno pada 12 Julai tahun berkenaan selepas beliau mengedarkan secara terbuka suratnya kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Dalam surat tersebut, Dr Mahathir mengkritik cara Tunku mengendalikan pentadbiran negara yang didakwa lebih menguntungkan rakyat keturunan Cina. Dr Mahathir kemudiannya dipecat dari parti pada 26 September 1969. Ketika itulah Dr Mahathir menulis bukunya yang bertajuk "The Malay Dilemma" dimana beliau cuba menjelaskan punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei di Kuala Lumpur dan sebab-sebab mengapa orang Melayu ketinggalan di belakang dalam bidang ekonomi dalam negara mereka sendiri.

Dasar Ekonomi Baru

Bukut tersebut diterbitkan pada 1970 dan terus diharamkan oleh kerajaan Tunku. Bagaimanapun, beberapa cadangan dalam buku tersebut telah digunakan oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku sebagai perdana menteri, dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada asanya untuk mengambil langkah ekonomi yang afirmatif bagi menangani jurang perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.Pengharaman buku itu kemudiannya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.Beliau menyertai semula Umno pada 7 Mac 1972, dan dilantik sebagai Senator pada 1973. Dr Mahathir melepaskan jawatan senator pada 1974 untuk bertanding dalam pilihanraya umum dan menang tanpa bertanding di parlimen Kubang Pasu, dan seterusnya dilantik sebagai menteri pendidikan.

Pada 1975, beliau terpilih sebagai salah seorang naib presiden Umno. Tun Hussein Onn kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri pada 15 September 1978, dan dalam rombakan kabinet, turut melantik Dr Mahathir sebagai menteri perdagangan dan industri.Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 selepas Tun Hussein Onn melepaskan jawatan perdana menteri atas sebab-sebab kesihatan. Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang pertama yang bukan dari keluarga bangsawan atau diraja.

18 May 2008

Sejauh Mana Kuasa Melayu Dalam Politik?

Oleh: Ahmad Lutfi Bin Ibrahim
Pada 22 September 2007 , Pengerusi SPR telah menyatakan bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera lain seramai 90 % tidak daftar pemilih daripada 1.5 juta rakyat hasil dari Program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan Ogos yang lepas.
Menurut Tan Sri Ab. Rashid Ab Rahman, Pengerusi SPR berkata, “Program yang menetapkan sasaran 2.5 juta pemilih baru, mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru mendaftar adalah bukan bumiputera “ Beliau menyatakan lagi “Umur mereka tidak daftar ini lingkungan 21 hingga 35 tahun. Saya hairan dengan sikap tidak endah mereka. Sedangkan kaum bukan bumiputera lebih peka dengan hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara .”
Daripada kenyataan Pengerusi SPR ini, pelbagai reaksi masyarakat Melayu berkaitan hal ini. Ada yang rasa tiada apa-apa yang perlu dirisaukan, ada ambil tidak endah, biarlah siapa memerintah pun kita boleh cari makan jugak, kesibukan dan malaslah untuk daftar pemilih, apa faedah yng kita dapat, ada orang Melayu dan kepimpinan Melayu yang amat risau dengan fenomena ini. Inilah reaksi masyarakat Melayu yang ramainya lebih rasa tidak perlu risau dan tak ambil endah situasi ini. Buktinya pada bulan April yang lepas telah pun dinyatakan oleh Pengerusi SPR bahawa seramai 4.9 juta rakyat Malaysia belum daftar pemilih dan ramai di kalangannya golongan muda Melayu . Setelah 4 bulan , kita lihat seperti pernyataan di atas 90 % daripada 1.5 juta orang Melayu dan bumiputera tidak daftar pemilih jugak .

Sekiranya keadaan ini berterusan, bahayakah masa depan kuasa politik Melayu, Betul kah…? Persoalan inilah perlu ada dalam minda orang Melayu secara serius kerana sebuah kerajaan dan pemerintahan terbentuk setiap 5 tahun bergantung penuh melalui KUASA UNDI dalam Pilihan raya. Sekiranya kuasa UNDI Melayu Muslim kurang akibat tidak daftar menjadi pengundi walaupun ramai dari segi penduduknya sudah tentu kaum bukan Melayu yang tahu haknya yang berlumba-lumba daftar sebagai pengundi akan menjadi pemain utama dalam menentukan kerajaan dan kuasa memerintah. Kalau ini terus berlaku pada masa depan, adakah kerajaan hari ini yang masih ditunjangi pemimpin Melayu akan kuat atau pun pelbagai tekanan dan tuntutan bukan Bumiputera untuk kepentingan bangsa mereka lebih berani lagi disuarakan ataupun mungkin masa depan kerajaan yang ada akan diketuai PERDANA MENTERI di kalangan bukan Melayu?
Pernyataan PERDANA MENTERI di kalangan bukan Melayu seolah-olah mustahil rasanya , tapi hakikatnya boleh menjadi kenyataan kerana dalam Perkara 43 dalam Perlembagaan, DYMM YDP Agong hendaklah melantik PERDANA MENTERI dari kalangan ahli DEWAN RAKYAT yang pada hematnya merupakan seorang yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat tersebut. Apa maknanya? Orang Melayu mesti tahu bahawa jawatan PERDANA MENTERI bukan hak mutlak di kalangan orang Melayu kerana dalam Perlembagaan seperti di atas, sekiranya parti atau pun komponen parti yang mendapat UNDI terbanyak dari rakyat akan mendapat mandat menjadi kerajaan memerintah dan parti terbesar dapat mandat rakyat sudah tentulah akan dilantik sebagai PERDANA MENTERI.
Andaikata kata Pengundi Melayu tidak ramai daftar mengundi, sudah tentu tidak dapat guna KUASA UNDI dalam Pilihanraya, dan secara langsung akan penentuan kerajaan memerintah ditentukan oleh pengundi yang lebih ramai, jadi sekarang ini SIAPAKAH yang yang paling ramai? Melayukah atau pun bukan Melayu. Mari kita lihat data ini :

NEGERI MINORITI PENGUNDI MELAYU MUSLIM

SELANGOR 49.7 %
PERAK 44.4%
KL 32.4%
NEGERI SEMBILAN 50.0%
P.PINANG 33.6%
SARAWAK 33.9%

NEGERI MARGINAL PENGUNDI MELAYU MUSLIM :

JOHOR 53.9%
MELAKA 54.3%
SABAH 50.1%

Data ini pun telah menunjukkan betapa bahaya KUASA MELAYU masa depan sekiranya fenomena ramai tidak daftar pemilih di kalangan orang Melayu masih berterusan. Kedudukan di atas menunjukkan 9 negeri dari 14 negeri menjadi minoriti dan marginal pengundi Melayu akibat tidak daftar pemilih, mungkinkah masa depan bertambah lagi negeri minoriti pengundi Melayu?
Sekiranya bertambah negeri majoriti pengundi bukan Melayu, ditambah pulak perpecahan pelbagai parti Melayu yang hingga hari ini tidak nampak titik pertemuannya, adalah tidak mustahil kerajaan memerintah jugak akan diketuai oleh bukan Melayu. Jangan ingat, rakyat Bumiputera 60% ramai penduduknya, kita akan memiliki kuasa memerintah sampai bila-bila kerana perpecahan orang MELAYU dalam politik dan KUASA UNDI yang tidak boleh digunakan hampir 90 % akan menentukan survival masa depan segala-segalanya untuk orang Melayu.

Hari ini orang Melayu hanya mempunyai kuasa POLITIK sahaja yang masih kuat, lain-lain bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan lain-lain bidang kita ketinggalan jauh dengan bangsa lain. Apa akan terjadi sekiranya kuasa politik jugak tidak kuat dan bidang-bidang lain terus jauh ketinggalan dengan bangsa lain, bagaimana masa depan Bangsa Melayu dan Agama Islam?
Persoalan KUASA UNDI jangan kita ambil mudah dan tidak endah, jangan satu hari kelak anak-anak kita bertanya di hadapan kubur ibu-bapanya, Mengapa ayah-ibu tinggalkan kami dalam keadaan orang Melayu sudah tidak ada kuasa lagi, inilah ayah ibu, tidak endah sangat pasal daftar UNDI, kami terima akibatnya ?? Kalau kita hari ini boleh daftar undi melalui SMS dengan jutaan ringgit untuk mengundi peserta AKADEMI FANTASIA , MALAYSIA IDOL dan lain-lain lagi, adakah tidak boleh untuk kita korbankan masa dan tenaga untuk pergi daftar pemilih sebagai pengundi yang jauh lebih penting untuk masa depan kita, anak-anak kita dan orang Melayu secara keseluruhannya .

Marilah kita tanamkan, pasakkan dalam minda kita, anak-anak kita, jiran kita , masyarakat kita dan orang Melayu betapa KUASA UNDI dan PERPADUAN ORANG MELAYU amat penting menentukan masa depan AGAMA, BANGSA DAN NEGARA KITA. Ingatlah, pejuang dan pemimpin Melayu dulu telah tinggalkan sesuatu yang berharga untuk kita semua iaitu KUASA MEMERINTAH yang telah mengubah segala-galanya selepas 50 tahun kemerdekaan.
Terpulanglah kepada kita, bahaya atau tidak kuasa Melayu masa depan, kitalah yang menentukannya?? KUASA UNDI melalui sebatang pen di tangan kita ...fikir, renung, dan tanyalah diri !!!.

Rencana dari Utusan

Jangan khianati undi rakyat

Ahli-ahli Parlimen harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik mereka.
Pada 8 Mac lalu, pengundi memilih calon wakil rakyat bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri masing-masing. Dua bulan sudah berlalu. Pihak yang diberikan amanah sepatutnya berusaha memberikan buah fikiran dan perkhidmatan demi kepentingan negara dan rakyat.

Namun, perkara yang diheboh-hebohkan dan masih dicanangkan ialah kisah lompat parti dan keghairahan menubuhkan Kerajaan Pusat yang baru.

Pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan di Parlimen minggu ini yang mendakwa dirinya cuba "dibeli" hingga membolehkannya "hidup senang-lenang sampai tiga generasi" membayangkan gerakan mempengaruhi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai parti pembangkang ada asas.

Jika benar dakwaan pemimpin muda Sabah itu, sumber kewangan dan dalangnya perlu didedahkan. Budaya sogokan ini cukup serius. Pihak pembangkang seolah- olah sudah "kemaruk" kuasa sehingga sanggup merasuah.

Seorang rakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur tidak menolak wujud perbuatan memancing ahli Parlimen BN terutama di Sabah supaya melompat masuk ke dalam 'gerabak' parti pembangkang.

Cuma soal untuk membuktikan siapa yang menjadi dalangnya yang menjadi masalah. Ini kerana mereka mengguna khidmat orang tengah.

"Pemimpin parti pembangkang itu pun bijak. Sekarang, apabila Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah membuat laporan polis atas kenyataan Abdul Rahman mengenai sogokan lumayan itu, orang tengah berkenaan yang menggelabah.

"Tindakan membuat laporan polis itu pun satu taktik PKR untuk memberi kekuatan semula kepada ahlinya setelah perbuatan mereka menampakkan hasil," kata rakan penulis sambil berceloteh tentang 'kegilaan' ahli politik kini yang serba-serbi mahu membuat laporan polis.
Angkara siapakah yang membawa budaya menyogok wang untuk wakil rakyat mengkhianati parti masing-masing? Sejarah politik Sabah pernah menyaksikan lompatan beramai-ramai ahli DUN ke dalam UMNO hingga tumbang kerajaan negeri pimpinan Parti Bersatu Sabah.

Bukan rahsia kepada semua ahli BN terutama UMNO, dan tidak akan lupa taktik licik pemimpin pembangkang itu merampas kuasa pada 1990-an. Sekarang, taktik kotor itu cuba dilakukan sekali lagi di Negeri di Bawah Bayu.

Pemerhati politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar berpandangan adalah tidak wajar Pakatan Rakyat mempunyai tanggapan ahli-ahli Parlimen BN Sabah cukup mudah dibeli. Setakat hari ini, belum ada seorang pun mengisytihar sudah masuk barisan pembangkang.

"Ini menunjukkan, nilai perjuangan politik mereka bukan rendah hingga sanggup menerima tawaran lumayan untuk hidup mewah sampai tiga generasi.

"Jangan lupa, jika mereka 'pakar lompat' sudah pasti BN Sabah tidak akan menjadi penyumbang kerusi yang banyak kepada BN," kata Abdul Razak.

Pelbagai andaian dibuat tentang adanya usaha beberapa ahli Parlimen BN untuk menyeberang sempadan menyertai Pakatan Rakyat. Dengan 82 kerusi Parlimen berada di sebelah pembangkang, bermakna 30 kerusi lagi diperlukan untuk 'dicuri' daripada 140 kerusi BN.
Jika berjaya, pembangkang mampu membentuk kerajaan pusat yang baru dengan majoriti mudah iaitu 112 kerusi berbanding BN yang tinggal 110 kerusi sahaja.

PembangunanPun begitu, penubuhan kerajaan baru dengan majoriti mudah tidak akan menguntungkan mana-mana parti. Sebaliknya kata Abdul Razak, banyak keputusan pelaksanaan projek pembangunan untuk dinikmati rakyat akan tergendala kerana tiada keputusan dicapai.

Apakah agenda sebenar di dalam kepala pemimpin PKR yang beriya-iya mahu 'membeli-belah' ahli Parlimen BN Sabah sedangkan mereka sedar tindakan itu adalah 'rasuah' yang terang-terangan?

Ahli-ahli Parlimen yang pernah didatangi ejen-ejen atau orang tengah dengan dijanjikan habuan wang lumayan elok diperingatkan bahawa sekali maruah dan harga diri dijual, luput sudah kepercayaan rakyat kepada mereka buat selama-lamanya.

Jika benar dakwaan ahli Parlimen Sabah bahawa jumlah habuan melompat parti sangat besar sehingga boleh hidup senang lenang selama tiga generasi, kita tertanya-tanya kemewahan dan kemampuan kewangan pihak terbabit.

Sekiranya setiap seorang ditawarkan melebihi RM3 juta, bayangkan berapa jumlah yang terpaksa diberi untuk mendapatkan 30 ahli Parlimen BN itu? Rakyat sudah pasti ingin tahu, dari mana parti berkenaan memperoleh biaya 'dana' tersebut?

Dalam suasana kepimpinan negara masih mencari formula untuk meredakan kegelisahan rakyat, ekoran kesan kenaikan harga barangan dan suasana politik yang belum stabil, pemimpin politik pembangkang cekap mengambil kesempatan.

"Penyebaran pengaruh dan gelombang itu sudah berlaku. Kerajaan BN perlu bersedia sebarang kemungkinan jika ahli Parlimennya melompat parti," kata Malike Brahim. Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berpandangan kerajaan BN perlu bersiap sedia menghadapi impak besar ketika kebanggaan kerajaan pimpinan selama 50 tahun bagaikan berada di penghujung jalan.

"Apa mekanisme BN jika berlaku lompat parti hingga hilang majoriti mudah. Adakah Perdana Menteri akan minta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat atau membubarkan Parlimen," kata Malike Brahim.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh turut bersetuju bahawa BN harus mengawasi dan meneliti dengan serius tentang segala kemungkinan berlakunya tindakan melompat parti seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

"Tidak kira apa statusnya, ia tetap mewujudkan suasana tidak menentu dan agak mengganggu.
"BN tidak punya pilihan. Jika terdapat kemungkinan tindakan melompat parti ini didorong oleh perasaan tidak puas hati berkaitan dengan tuntutan-tuntutan tertentu, Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi BN harus bertindak segera mencari penyelesaian yang total," jelas Hashim.
Anti lompatMenurut Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia itu lagi, jika dibiarkan suasana tidak menentu ini berterusan, ia akan hanya membuka ruang yang lebih luas untuk menggugat kestabilan negara.

"Ia berpotensi menimbulkan krisis keyakinan yang cukup parah. Pilihan terakhir yang ada hanyalah kembali kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya umum semula," jelas Hashim.
Barangkali ahli Dewan Rakyat yang tinggal beberapa hari untuk bersidang ini perlu memikirkan penggubalan undang-undang anti lompat parti supaya amanah pengundi tidak disalah gunakan untuk mana-mana pihak atau parti politik.

Ahli Parlimen jangan sombong ingin melompat ke sana sini. Apabila seseorang ahli Parlimen atau ADUN melompat parti, bermakna mereka telah mengkhianati undi majoriti daripada rakyat. Wakil rakyat yang tahu maruah dan harga diri mesti melepaskan jawatan untuk membenarkan satu pilihan raya baru diadakan untuk pengundi membuat pilihan semula.

Sedih jika demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini membiarkan perbuatan ahli Parlimen atau ADUN melompat parti atas pengaruh sogokan wang tanpa tindakan hukuman. Badan Pencegah Rasuah perlu membuka fail untuk memantau gerakan ini.

Integriti kerajaan terletak di atas bahu wakil-wakil rakyat yang amanah dan tidak rasuah. Apakah makna pentadbir dan pemimpin kerajaan jika mereka adalah golongan yang mudah dijual beli.

16 May 2008

Pengumuman

MAJLIS PENERANGAN KHAS
DAN AMANAT KETUA UMNO BAHAGIAN PASIR MAS
KEPADA PIMPINAN 4 PERINGKAT

Tarikh : 23 Mei 2008 (Jumaat)
Masa : 9.00 malam
Tempat : Dewan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim 1 Pasir Mas

* SEMUA DIJEMPUT HADIR *

15 May 2008

"Anwar Yang Luluskan"

Oleh Agenda Daily

Tuduhan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC Naval Dockyard oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengundang padah apabila Dewan Rakyat diberitahu Menteri Kewangan yang meluluskan penswastaan projek berkenaan kepada syarikat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat. Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salah semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong hari Rabu bagi pihak Kementerian Pertahanan berhubung dengan dakwaan wujudnya amalan rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda TLDM oleh Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Najib, kontrak perolehan 27 buah kapal itu diberikan kepada PSC Naval Dockyard pada 11 Disember 1995 untuk tempoh 15 tahun. Menurut perjanjian, syarikat berkenaan diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan TLDM di samping mereka bentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru. Di bawah kontrak awal, kerajaan membuat tempahan enam buah kapal pronda dengan nilai kontrak sebanyak RM5.35 bilion tetapi kontrak dengan PSC dibatalkan pada tahun 2006 apabila gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal sahaja yang hampir disiapkan pada tahun 2006.

Kesannya bagi memastikan enam buah kapal tersebut dapat diteruskan pembinaannya, kerajaan telah melantik Lembaga tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat PSC dan nilai kontrak terpaksa dinaikkan kepada RM6.75 bilion ekoran peningkatan kos. Pada tahap ini, Dr. Wan Azizah bangun bertanya apakah kriteria untuk memilih syarikat yang hendak diberikan kontrak itu pada awalnya. Bingkas bangun sebelum Najib menjawab Ahli Palrimen Pontian, Ahmad Maslan yang menyatakan soalan Dr. Wan Azizah tidak ada kaitan.

“Tadi yang Amat Berhormat menyatakan bahawa penswastaan PSC Naval Dockyard diluluskan pada 11 Disember 1995. Kita tahu bahawa tidak ada satu penswastaan pun di Malaysia ini tanpa kelulusan daripada Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan, Saya ingin tanya soalan pendek sahaja, siapakah Menteri Kewangan pada ketika itu,” tanyanya.

Ekoran soalan itu beberapa Ahli Parlimen BN kedengaran berkata “jawab…jawab”. Maka, Najib menjawab “Setahu saya Menteri Kewangan pada ketika itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat”. Dalam penggulunggannya juga Najib menjelaskan semua tuduhan yang dikaitkan dengan amalam rasuah dalam pembelian kapal selam oleh TLDM dan jet pejuang Sukhoi oleh TUDM.

Najib juga pada kesempatan itu turut menyentuh mengenai cubaan mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu. “Alhamdulillah saya masih dapat bertahan dengan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan, dengan niat untuk mencemarkan nama saya. “Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita yang dimaksudkan dalam kes ini,” tegasnya.

– AGENDA DAILY/ 14/5/2008