SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

15 May 2008

"Anwar Yang Luluskan"

Oleh Agenda Daily

Tuduhan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC Naval Dockyard oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengundang padah apabila Dewan Rakyat diberitahu Menteri Kewangan yang meluluskan penswastaan projek berkenaan kepada syarikat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat. Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salah semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong hari Rabu bagi pihak Kementerian Pertahanan berhubung dengan dakwaan wujudnya amalan rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda TLDM oleh Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Najib, kontrak perolehan 27 buah kapal itu diberikan kepada PSC Naval Dockyard pada 11 Disember 1995 untuk tempoh 15 tahun. Menurut perjanjian, syarikat berkenaan diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan TLDM di samping mereka bentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru. Di bawah kontrak awal, kerajaan membuat tempahan enam buah kapal pronda dengan nilai kontrak sebanyak RM5.35 bilion tetapi kontrak dengan PSC dibatalkan pada tahun 2006 apabila gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal sahaja yang hampir disiapkan pada tahun 2006.

Kesannya bagi memastikan enam buah kapal tersebut dapat diteruskan pembinaannya, kerajaan telah melantik Lembaga tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat PSC dan nilai kontrak terpaksa dinaikkan kepada RM6.75 bilion ekoran peningkatan kos. Pada tahap ini, Dr. Wan Azizah bangun bertanya apakah kriteria untuk memilih syarikat yang hendak diberikan kontrak itu pada awalnya. Bingkas bangun sebelum Najib menjawab Ahli Palrimen Pontian, Ahmad Maslan yang menyatakan soalan Dr. Wan Azizah tidak ada kaitan.

“Tadi yang Amat Berhormat menyatakan bahawa penswastaan PSC Naval Dockyard diluluskan pada 11 Disember 1995. Kita tahu bahawa tidak ada satu penswastaan pun di Malaysia ini tanpa kelulusan daripada Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan, Saya ingin tanya soalan pendek sahaja, siapakah Menteri Kewangan pada ketika itu,” tanyanya.

Ekoran soalan itu beberapa Ahli Parlimen BN kedengaran berkata “jawab…jawab”. Maka, Najib menjawab “Setahu saya Menteri Kewangan pada ketika itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat”. Dalam penggulunggannya juga Najib menjelaskan semua tuduhan yang dikaitkan dengan amalam rasuah dalam pembelian kapal selam oleh TLDM dan jet pejuang Sukhoi oleh TUDM.

Najib juga pada kesempatan itu turut menyentuh mengenai cubaan mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu. “Alhamdulillah saya masih dapat bertahan dengan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan, dengan niat untuk mencemarkan nama saya. “Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita yang dimaksudkan dalam kes ini,” tegasnya.

– AGENDA DAILY/ 14/5/2008

'Tragedi' 14 Mei tidak menjadi kenyataan

Semalam 14 Mei. Hari Rabu. Ianya berlalu seperti biasa. Kalau di Pasir Mas, hari Rabu ada pasar malam. Samalah halnya di Taman Cahaya, Ampang, pasar malam yang penuh meriah dan riuh rendah. Riuh rendahnya mungkin berbeza dengan sidang Parlimen yang kini boleh ditonton secara langsung di RTM 1 selama setengah jam sehari. Bezanya, riuh rendah di pasar malam atau pasar tani sama sekali tidak menarik minat sesiapa tetapi kecoh di Parlimen 27 juta rakyat Malaysia menyaksikannya. Seluruh negara melihat bermacam-macam aksi wakil-wakil rakyat kita yang masing-masing berlumba-lumba nak masuk tv.


14 Mei pada sesetengah orang adalah seperti hari-hari biasa. Rutin kehidupan berjalan seperti hari-hari lain. Tetapi 14 Mei bagi orang yang mengikuti perkembangan politik tanahair ternanti-nanti sejauh mana benar dakwaan pembangkang bahawa pada 14 Mei 2008, seramai 17 orang Ahli Parlimen BN akan menyeberang menyertai mereka! Berita ini begitu dipopularkan dalam blog-blog pro pembangkang. Semua orang tertunggu-tunggu nak melihat siapakah antara 17 orang itu.

Suasana 14 Mei di Parlimen sepanjang sidang Dewan Rakyat berlangsung tiada sesuatu episod di dalam mahu pun di luar Dewan yang boleh mencuri perhatian. Sidang di dalam dewan berlangsung hangat seperti biasa, tetapi 'kehangatan' yang diwar-warkan bakal berlaku di luar dewan ternyata hanya perancangan yang tidak menjadi.

Tumpuan penuh yang diberi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dari Sabah oleh individu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam sebelum 16 September, ternyata tidak berpijak di bumi nyata. Meskipun tawaran-tawaran yang dibuat sama ada melalui orang tengah atau pemimpin-pemimpin kanan parti berkenaan, dengan menawarkan ganjaran yang lumayan tetapi wakil-wakil BN tetap teguh dengan pendirian memikul amanah yang diberi oleh rakyat dengan sejujurnya.

Beberapa Ahli Parlimen Sabah membuat kenyataan mereka dihubungi oleh wakil orang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri keenam itu dengan habuan sehingga tiga keturunan boleh hidup senang, seperti kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Kalau untuk seorang Ahli Parlimen tawaran yang diberi sehingga 3 keturunan boleh hidup senang lenang, agak-agaknya berapa banyak 'modal' untuk memberi tawaran kepada 30 orang Ahli Parlimen BN untuk membolehkan pembangkang membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas yang 'bebas' menyatakan sekiranya Anwar Ibrahim hendak menjadi Perdana Menteri, dia kena menang pilihan raya umum akan datang bukannya dengan harap ada yang melompat parti menyertainya. Menurut Ibrahim lagi adalah sesuatu yang sukar untuk diterima akal yang waras untuk menerima kenyataan Anwar bahawa beliau telah mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang mencukupi untuk menyertainya membentuk kerajaan yang baru. Bukan mudah untuk dapat 30 orang yang nak lompat... apatah lagi nak melompat ke dalam 'longkang'.

Ternyata 14 Mei yang diharap-harapkan oleh pembangkang sebagai Tragedi Kepada BN tidak kesampaian. Selepas tarikh ini sama-sama kita tunggu tarikh mana pula yang akan diomongkan oleh Anwar Ibrahim. Apakah 1 Jun, 14 Jun, 1 Julai, 14 Julai, 31 Ogos atau bila? Anwar dengan bongkaknya mendakwa 16 September adalah tarikh yang paling lewat untuk beliau membentuk kerajaan baru. Yang pasti beliau akan terus menerus mengatakan saatnya kian dekat. Tak lama lagi. Sikit masa lagi...Anwar...Anwar... cukup-cukuplah temberang...

Dalam keghairahan memujuk rayu 30 Ahli Parlimen BN jangan-jangan pula yang 82 kerusi dimiliki sekarang terlepas. Yakin kah Anwar semua 82 kerusi pembangkang itu akan kekal sebagai pembangkang sepanjang penggal ini? Tidakkah ada antara mereka akan beralih arah, mengubah minat berganjak posisi menyeberang ke sebelah kerajaan.

Yang pasti seorang ahli sudah menyatakan minat menggangotai parti tertentu... kira-kira 6 bulan lagi....

14 May 2008

Ahli Parlimen Pasir Mas Cari Parti

Kenyataan awal Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas selepas memenangi Pilihanraya Umum lalu adalah beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas. Kenyataan ini dilihat umum sebagai signifikan dengan kenyataan beliau sebelumnya yang mendakwa sudah merasa bosan berada dalam parti politik kerana akan membataskan peranan yang boleh dimainkannya untuk rakyat.
Lantaran itu, dengan menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau boleh bersuara tanpa bergantung kepada keputusan parti. Dari satu segi adalah logik pendirian seumpama itu. Tetapi dari satu sudut yang lain, ramai yang tidak yakin dengan kenyataan seumpama itu. Ramai yang tertanya-tanya berapa lama YB Pasir Mas itu boleh tahan hidup 'seorang diri'. Hendak atau tidak, beliau pastinya kena ada wadah lebih besar, menyertai parti-parti pembangkang atau BN kembali.
Untuk kembali bernaung di bawah payung BN tidak mudah untuk beliau. Mengikut perlembagaan BN mana-mana ahli yang bertanding dalam pilihanraya menentang calon BN akan dilucutkan keanggotaannya seumur hidup. Beliau bukan sekali menentang BN tetapi 3 kali dalam 3 pilihanraya terakhir. Pastinya halangan yang menanti beliau amat besar, walaupun bukan mustahil.
Dalam keadaan beliau hari ini, menyertai pakatan pembangkang adalah lebih mudah daripada kembali ke dalam BN. Soalnya apakah beliau 'ada hati' untuk membuat keputusan begitu. Ramai yang tidak yakin Ahli Parlimen Pasir Mas itu akan serasi hidup bersama-sama dengan pembangkang yang lain.
Kembalinya beliau ke Dewan Rakyat mengundang minat pemerhati politik tanahair. Ramai yang hendak melihat 'stand' beliau dalam isu-isu yang dibincangkan. Ahli-ahli Parlimen BN tertunggu-tunggu aksi apakah yang bakal dibawanya. Di pihak pembangkang yang lain tidak kurang juga yang menaruh keraguan terhadapnya.
Apabila pengundian dibuat untuk memilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat, calon daripada pembangkang mendapat hanya 81 undi berbanding 82 orang pembangkang yang ada dalam dewan. Ramai menuding jari kepada Ibrahim mendakwa beliaulah orangnya yang tidak mengundi calon pembangkang berkenaan.
Hari berikutnya berlaku pertikaman lidah beliau dengan Karpal Singh ekoran tindakan Karpal Singh menggelarkannya 'katak lompat'. Kemudiannya tindakan Karpal yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak menimbulkan rasa tidak puas hati ahli Parlimen BN termasuk Ibrahim sendiri sehingga beliau membuat kenyataan menggesa Ahli-Ahli Parlimen Melayu dari PKR menyatakan pendirian masing-masing tentang isu berkenaan. Beliau membidas sikap membisu pimpinan-pimpinan Melayu parti berkenaan.
Sehari sebelum UMNO menyambut ulang tahun ke 62, Dato' Ibrahim akhirnya mengakui beliau tidak mampu bertahan lama sebagai ahli Parlimen bebas dan terpaksa juga bernaung di bawah parti untuk melaksanakan tugasnya dengan baik. Oleh itu, katanya, beliau kini sedang meneliti beberapa parti yang dirasakan "serasi" dengan pendirian dan pemikirannya namun tidak mahu terlalu gopoh untuk membuat pilihan yang sebaiknya.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memberikan lampu hijau PAS bersedia menerimanya menyertai parti itu. Tetapi menurut Ibrahim, beliau masih memerlukan masa untuk membuat pertimbangan semasak-masaknya sebelum memilih parti yang akan disertainya. Beliau mengatakan mungkin memerlukan 6 bulan untuk membuat keputusan.
Pengertian tersirat yang boleh difahami dari situasi ini adalah menyertai Pas bukan menjadi pilihan utama Dato' Ibrahim. Walaupun sudah mendapat 'offer' dari Mursyidul Am Pas sendiri beliau memilih untuk mempertimbangkannya dahulu. Maknanya bukan Pas wadah yang dicari-carinya. Lagi pun bukan menjadi rahsia lagi, ramai pimpinan dalam Pas sendiri secara terbuka menolak Ibrahim diberi laluan bertanding dalam pilihanraya lalu. Sekiranya Ibrahim menyertai Pas beliau pastinya akan menjadi ahli di Pasir Mas. Sanggupkah YDP Pas Pasir Mas memberi laluan sekali lagi untuk Ibrahim menjadi YDP Pas Kawasan Pasir Mas, sebagaimana terpaksa mengorbankan kerusi yang disandang 2 penggal semata-mata memberi laluan Ibrahim bertanding? Sanggupkah AJK dan ahli Pas Pasir Mas berketuakan Ibrahim nanti?
Untuk menyertai PKR, satu perjudian besar. Kerana PKR sendiri tidak ada hala tuju perjuangan yang jelas dan konkrit. PKR hanyalah menjadi penghubung antara Pas dan DAP. Tanpa Pas dan tanpa DAP, PKR hanya akan menjadi parti kecil 'bernakhoda nama besar'.
Untuk mengetuk pintu DAP, perkara paling mustahil dalam hidup Ibrahim. Lagi pun Karpal Singh akan tunggu 'sambut' depan pintu.
Mungkin beliau akan membuat solat istiqarah meminta 'petunjuk' dan menurutnya tempoh untuk beliau berfikir memilih parti yang akan disertainya mungkin memakan masa sehingga 6 bulan. 6 bulan dari sekarang jika dikira-kira adalah bulan Disember. Kebetulan pula 16-20 Disember adalah Perhimpunan Agung UMNO. Hanya Dato' Ibrahim yang tahu parti mana dalam kepalanya? Soalnya, adakah parti yang Dato Ibrahim minat itu bersedia dan berminat menerima beliau?

Pasir Mas Dalam Pilihanraya Umum ke-12

Keputusan Keseluruhan Pilihanraya Umum Ke-12 bagi Parlimen Pasir Mas

P22 PASIR MAS
Jumlah Pengundi: 59,640
Peratusan Kaum: M: 96.01% C: 3.66% I: 0.13% L: 0.19%

1. Datuk Ibrahim Ali (Pas) (28,673)
2. Ahmad Rosdi Mahamad (BN) (19,682)
Majoriti: 8,991
Jumlah undi: 49,219
Peratus mengundi: 82.53%
Undi rosak: 864
Penyandang: Ismail Noh (Pas)(Majoriti: 1,251 undi)


N11 TENDONG
Jumlah Pengundi: 17,741
Peratusan Kaum: M:97.92% C:1.78% I:0.06% L:0.22%

1. Dr. Muhamad Md. Daud (Pas) (8,105)
2. Mohd. Fauzi Mohamad (BN) (6,448)
Majoriti: 1,657
Jumlah undi: 14,760
Peratus mengundi: 83.2%
Undi rosak: 207
Penyandang: Mohd. Fauzi Mohamad (BN)(Majoriti: 789 undi)


N12 PENGKALAN PASIR
Jumlah Pengundi: 22,582
Peratusan Kaum: M:95.34% C:4.29% I:0.23% L:0.12%

1. Hanifa Ahmad (Pas) (10,377)
2. Hanafi Mamat (BN) (8,029)
Majoriti: 2,348
Jumlah undi: 18,680
Peratus mengundi: 82.72%
Undi rosak: 274
Penyandang: Hanafi Mamat (BN)(Majoriti: 134 undi) menang pilihan raya kecil 2005


N13 CHETOK
Jumlah Pengundi: 19,317
Peratusan Kaum: M:95.06% C:4.62% I:0.07% L:0.23%

1. Abdul Halim Abdul Rahman (Pas) (9,107)
2. Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (BN) (6,437)
Majoriti: 2,670
Jumlah undi: 15,770
Peratus mengundi: 81.64%
Undi rosak: 226
Penyandang: Abdul Halim Abdul Rahman (Pas)(Majoriti: 512 undi)

13 May 2008

Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Dulu Hang Tuah pernah berkata 'TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA'.. sebab pada masa itu Hang Tuah masih ada untuk jaga Melayu. Masa itu juga ada Hang Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu. Semuanya jaga Melayu.

Tapi hari ini Hang Tuah sudah tiada.. Jebat dah tak ada. Kasturi, Lekir dan Lekiu juga sudah kembali ke alam baka. Jadi siapa yang akan jaga Melayu? Bolehkah Melayu hari ini jaga dirinya tanpa Hang Tuah, tanpa Hang Jebat?

Di manakah Melayu pada orang Melayu? Aku tengok ramai orang keturunan Melayu tapi Melayunya sudah kuyu. Aku perhatikan ramai orang yang mengaku Melayu, tapi semangat Melayu sudah layu.

Apakah semua ini sebab Hang Tuah 5 bersaudara sudah tiada? Kalau itu sebabnya, Melayu MESTI lahirkan Hang Tuah yang baru, kerana Hang Tuah yang baru akan pastikan MELAYU TERUS DI MERCU