SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 November 2009

Pas ditimpa bala kerana doa Nik Aziz sendiri?

Cekati Tembaga menulis..

Dalam seminggu ini isu Bai'ah Takliq Talak 3 Pas menjadi topik utama didebatkan oleh bukan sahaja pemain-pemain politik malah mereka yang tidak terlibat dengan politik juga cukup berminat mengulas isu ini.
Cekati Tembaga telah membuat ulasan isu ini pada minggu lepas setelah ia didedahkan oleh blogger Mahaguru58. Bagi tuan-tuan yang belum membacanya sila ke sini.

Apabila isu ini semakin tersebar di media perdana, malah disahkan sendiri oleh YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, isu ini seakan tiada penghujungnya. Ia menarik minat ramai sehingga diulas oleh pemimpin negara, tokoh-tokoh agama, aktivis sosial, pelajar dan semua golongan.


Cubaan Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan Nik Aziz menafikan tahu menahu hal bai'ah ini dengan tujuan untuk menutup isu ini dipandang sepi sahaja. Malah semakin dinafi oleh Nik Aziz, semakin ramai memberikan komentar dan ulasan mengkritik dasar bai'ah ini.

Adalah mustahil Hadi Awang dan Nik Aziz tidak ketahui kewujudan bai'ah ini kerana sebagai Pesuruhjaya negeri, kedua-duanya secara logiknya terlibat secara langsung dalam majlis bai'ah ini. Bukankah pendedahan yang dibuat mengatakan bai'ah ini diikrarkan secara beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri?

Hadi Awang dan Nik Aziz usah bersikap munafik dalam hal yang semua orang sudah tahu. Mengapa harus dinafikan perkara yang sudah berlaku kerana ia tidak dapat mengubah apa-apa. kalau tindakan mereka berdua ini adalah untuk menunjukkan ia hanya tuduhan liar, ia hanya sia-sia kerana ia diakui sendiri oleh pimpinan Pas seperti Khalid samad.

Dalam hal ini kita tabik pada Khalid Samad (gambar) kerana berani berterus terang mengakui beliau juga bertaklik perkara yang sama. Walaupun kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana mendedahkan perkara ini Khalid wajar dipuji kerana keberaniannya itu. Pastinya ramai pimpinan atasan Pas yang tidak puas hati atau marahkan Khalid tetapi percayalah tindakan Khalid mendedahkan isu bai'ah demi kebaikan umat Islam dalam Pas terutama kaum muslimatnya.

Terkadang kita terfikir mengapa sejak akhir-akhir ini, Nik Aziz sendiri sentiasa berdepan dengan pelbagai gelora dalam pemerintahannya. Sejurus menimbulkan hasrat mahukan EGM Pas diadakan ekoran mahu bersihkan Pas dari dua tiga kerat pemimpin yang didakwanya bermasalah, Nik Aziz juga dikejutkan dengan serbuan SPRM ke Pejabat Menantunya ekoran dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa.

Tidak cukup dengan itu, ketenangan yang diharapkan Nik Aziz sebelum mengerjakan haji minggu depan pun tidak menjadi kenyataan apabila debaran degup jantungnya disentap dengan dakwaan yang timbul betapa perbelanjaan Nik Aziz mengerjakan haji ditaja oleh individu tertentu yang dirahsiakan. Apabila dibuktikan dakwaan ini, mahu tak mahu Nik Aziz terpaksa mengakui dirinya memang ditaja tetapi menegaskan ianya tidak salah dan tidak mempunyai unsur rasuah.

Kita bersangka baik dalam hal ini dan percaya memang Nik Aziz tidak teringin pun ke Mekah dengan duit tajaan jika ada unsur rasuah. Tapi sejauh mana dapat meyakinkan rakyat kerana Nik Aziz bukan orang biasa, tapi sebagai Menteri Besar Kelantan. Masakan orang naik habiskan duit berpuluh ribu tanpa harapkan balasan apa-apa!

Hari ini timbul lagi isu baru, pemecatan blogger terkenal Kickdefella dari jawatannya sebagai Pegawai Perhubungan Korporat, Perbadanan Menteri Besar yang diterajui oleh menantu Nik Aziz. Malah khabarnya surat pemecatan itu ditandatangani sendiri oleh menantu kesayangan Nik Aziz itu. Dan blogger terkenal itu khabarnya akan mendedahkan perkara yang kita tidak jangka yang lama bergelora di pejabat menantu Nik Aziz itu. Macam-macam benda yang akan timbul nampaknya.

Perkara ini akan kita ulas sedikit hari lagi tetapi kita tertanya-tanya dalam usia menjelang 80 tahun, setelah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, mengapa satu demi satu isu yang berkait langsung dengan Nik Aziz dan keluarganya timbul?

Sekali fikir mahu juga dinyatakan di sini agar biarlah Nik Aziz habiskan sisa-sia usia pemerintahannya dengan tenang. Usah diganggu beliau meniti hari-hari terakhir menjelang persaraannya.

Tetapi ini soal prinsip. Prinsip yang dipegang tidak harus digadaikan dengan tolak ansur atas dasar perikemanusiaan.

Soalnya kenapa masalah yang dihadapi Nik Aziz semakin bertimpa-timpa sehingga langsung tidak memberinya peluang untuk menghela nafas lega?

Apakah ini kifarat Allah atas sebagai balasan doa laknatnya terhadap UMNO? Allah sahaja yang tahu.

Walau bagaimanapun percayalah Tok Guru.. pintu taubat masih terbuka. Moga di depan Kaabah nanti akan dibukakan Allah tabir yang menutupi kebenaran yang terselindung.

Kita sentiasa doakan Tok Guru akan kembali ke jalan yang benar.
.

02 November 2009

Dr. Asri ditangkap JAIS, agenda siapa?

Cekati Tembaga menulis..

Rata-rata muka depan akhbar hari ini memaparkan berita bergambar penahanan Dr. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Ulu Kelang atas alasan berceramah tanpa permit.

Penahanan Dr Asri dibuat pada jam 12.00 tengah malam setelah Dr. Asri selesai menyampaikan ceramah agamanya yang disaksikan oleh lebih 100 orang tetamu.


Apa yang menjadi persoalan adalah kenapa ceramahnya kali ini, yang kebetulan dibuat di tengah kehangatan isu Memorandum kepada Yang DiPertuan Agung oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendakwa beliau membawa ajaran yang mengelirukan umat Islam.

Apakah alasan untuk menahannya atas kesalahan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah sedangkan sejak sekian lama beliau berbuat demikian tanpa sedikit pun diganggu gugat oleh sesiapa?


Kita tidak sedikit pun berhasrat mempertikaikan hak JAIS untuk menguatkuasakan peraturan keperluan permit ceramah agama seperti mana termaktub dalam Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau apa juga peraturan lain yang bersangkutan, tetapi bukankah tujuan permit itu disyaratkan bagi memastikan orang yang tidak layak agar tidak mengajar agama?

Soalnya apakah Dr Asri tidak layak? Orang yang berkelulusan PhD dalam ilmu hadis dan sentiasa menjadi rujukan tokoh agama lain, apatah lagi dengan wibawa sebagai Mufti pada usia yang sangat muda tidak melayakkannya mengajar agama?

Sudah beratus ceramah agama dibuatnya, sudah beratus mungkin beribu ayat alQuran dan hadith Nabi dikupasnya. Sudah habis ceruk rantau terutama di bumi Perlis dan Pulau Pinang dijejakinya untuk mengajar agama, apakah ini tidak melayakkannya untuk mengajar agama di Selangor?

Apakah soal sekeping surat tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS menjadi perkara yang lebih utama sehingga ilmuan muda ini ditahan di tengah-tengah malam persis menahan seorang guru ajaran sesat?

Apakah tauliah ini lebih diutamakan berbanding pengisian dan butir-butir ilmu yang terhambur keluar dari mulut bekas Mufti Perlis itu?

Kita sedikit pun tidak akan membantah jika penahan Dr Asri ini sekiranya JAIS mendapati beliau mengajar ilmu yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Malah kita juga menyokong JAIS menyekat terus Asri dari mengajar di Selangor jika ajaran yang dibawanya bersalahan dengan apa yang diamalkan seluruh umat Islam.

Tetapi sehingga kini tiada bukti ceramah agama Asri bertentangan dengan Islam. Dr. Asri tidak pernah mendakwa Allah mencarut, memaki untuk membolehkan ia memaki orang lain sebagaimana ada tokoh sanjungan dalam Pas yang pernah berkata "Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia di mana tempatnya." - Utusan Malaysia, 28 April 1999.

Dr. Asri juga tidak pernah mengkafirkan orang lain yang berkongsi kuasa memerintah negara sebagaimana Fatwa Dewan Ulama Pas Kelantan pada Ogos 1963 yang mengatakan
"Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram" - Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1963.

Kita juga tidak pernah mendengar Asri meletakkan agama setaraf dengan parti sebagaimana dakwaan mengarut seorang tokoh yang didewa-dewakan penyokong Pas yang pernah berkata "Menentang PAS adalah Haram mengikut al-Quran." - Berita Minggu, 24 April 1994.

Malah tokoh yang sama mendakwa “Memang ada lagi persefahaman antara PAS dengan Malaikat, sebab itulah APU (Angkatan Perpaduan Ummah) memerintah lagi (di Kelantan)”. – Utusan Malaysia, 27 April 1995. Tetapi kita tidak pernah mendengar Asri mengajar perkara seperti ini.

Bagi mereka yang sering mendengar doa yang dibacakan oleh Dr. Asri, tidak pernah sepatah pun
ia berdoa untuk menghancurkan orang lain walaupun yang tidak mempunyai pandangan yang sama dengannya tetapi ada tokoh dewaan Pas berdoa “Ya Allah, aku mohon butakan mata pengundi-pengundi hantu supaya mereka tidak nampak simbol lain kecuali simbol PAS. “ – Doa yang dibaca oleh tokoh Pas itu pada 27 Mei 1999 dan diaminkan oleh kira-kira 3000 penyokong beliau dalam satu majlis makan malam dan ceramah PAS di Sungai Bakut, Nibong Tebal.

Justeru, kalau apa yang dikatakan kesalahan Dr Asri itu adalah kerana tidak mempunyai permit ceramah agama yang dikeluarkan oleh JAIS begitu serius dan memberi kesan besar atau boleh membawa perpecahan umat Islam di negara ini, sehingga JAIS merasakan Dr. Asri wajib ditangkap maka tangkaplah beliau.

Atau jika JAIS merasakan kerana ceramah agama Dr. Asri yang tidak berpermit itu akan menyebabkan berlaku penyelewengan kepada Islam di Selangor, tangkaplah Asri dan dakwalah. Tetapi ingat dakwaan itu perlulah dibuktikan.

Tetapi jika tidak, JAIS sewajarnya mohon maaf dan menarik balik dakwaan itu.

Sewajarnya JAIS menumpukan kepada orang lain yang sememangnya sentiasa membawa ajaran dan tafsiran yang jelas lagi terang bertentangan dengan ajaran Islam. Seharusnya tokoh itu yang dilarang memberikan ceramah agama bukan sekadar di Selangor malah di mana-mana jua di bumi Malaysia.

Kepada JAIS diingatkan agar sebarang tindakan yang diambil jangan bersendikan hasad dengki atau ketaksuban pengaruh kepartian. JAIS membawa imej jabatan agama yang disegani, jika tindakannya begitu dangkal masakan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama di negara ini akan dihormati.

Belum terlewat membetulkan keadaan, melainkan jika penahanan Dr Asri itu ada agenda tersembunyi.
.

01 November 2009

Piala Malaysia hadiah persaraan Nik Aziz..

Cekati Tembaga menulis..

Aksi bertenaga di Kota Bharu Selasa lepas disambung hingga ke Kangar malam tadi, menamatkan penantian sejak sekian lama Kelantan untuk mara ke perlawanan akhir buat kali kedua pada tahun ini.

Kalau di Kota Bharu sokongan 30,000 penyokong setia Red Worriors membolehkan Kelantan membenam Perlis 2-0, dengan bekalan kekuatan yang sama Kelantan melumpuhkan sama sekali sisa-sisa harapan Singa Utara dengan Mohd NorFarhan mencipta gemilang tersendiri dengan ledakan 3 gol.

Tiada siapa yang boleh menafikan kehebatan Kelantan pada tahun ini banyak bergantung kepada perancangan dan kepintaran Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) merencana dan mencorak hala tuju baru kepada skuad itu.


Bermula dengan pemilihan pemain dan jurulatih, meningkatkan kecekapan pengurusan dan mengutamakan kebajikan semua orang, harus menjadikan setiap pemain negeri lain cemburu dengan pemain-pemain Kelantan.

Berbanding dengan negeri-negeri lain yang mengharapkan sumbangan kerajaan negeri, KAFA menjana sendiri pendapatan melalui kebijaksanaan dan pengalaman Annuar Musa sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, tanpa sedikit pun menagih belas ehsan kerajaan negeri.

Tahukah tuan-tuan di saat negeri-negeri lain berlumba-lumba mengumpul beratus ribu malah berjuta daripada sumbangan kerajaan negeri masing-masing, kerajaan Kelantan hanya meluluskan peruntukan kecil daripada bajet tahun ini untuk kemajuan bolasepak Kelantan.

Kenapa? Apakah kerana kerajaan Kelantan tiada hasil? Apakah kerana Kelantan tiada sumber? Ia hanya kerana Bolasepak Kelantan diketuai oleh Annuar Musa, yakni orang UMNO. Itu saja.

Pada tahun lepas kerajaan negeri beriya-iya mahukan Nik Aziz menjadi Presiden KAFA atas kapasiti sebagai Menteri Besar sebagaimana diamalkan di negeri-negeri lain tetapi kredibiliti Nik Aziz tidak diyakini oleh majoriti ahli majlis dan persatuan-persatuan gabungan.

Menyedari akan tewas di tangan Annuar Musa dalam pemilihan jawatan Presiden KAFA itu ekoran sokongan badan gabungan yang memihak kepada Annuar, Nik Aziz mengambil keputusan menarik diri. Lantas Annuar Musa diumumkan menang tanpa bertanding.

Mungkin kerana mengakui kebolehan Annuar Musa untuk mencorak halatuju bolasepak Kelantan, kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz memikirkan tidak perlu memberi bantuan kewangan kepada KAFA. Cukuplah sekadar doa dan atas kesudian Annuar Musa memimpin KAFA kerajaan memberi sejumlah peruntukkan yang dikira layak, bukan RM 100 ribu, bukan RM10 ribu.. tapi RM10.00. Betul tuan-tuan. RM10.00.

Bayangkan bagaimana Annuar Musa nak bina sebuah pasukan bola yang mantap dengan hanya peruntukan menyamai seminggu belanja budak sekolah rendah? Apakah ini kerana segelintir manusia di bawah ketiak Nik Aziz mahu melihat Annuar Musa gagal mentadbir KAFA dan boleh dijadikan alasan disingkir dari jawatan presiden?

Tapi orang bernama Annuar Musa ni sudah dapat membaca perkara ini. Biarpun sedar tidak akan mendapat kerjasama dan peruntukkan daripada kerajaan Kelantan, Annuar Musa tetap tidak mahu mengalah dan sentiasa memerah otak untuk melihat bolasepak Kelantan kembali gemilang mengulangi prestasi era 1970an.

Lantaran itu sebagai Presiden KAFA Annuar berusaha sendiri mengumpul dana, meningkatkan kecekapan pengurusan termasuk mendapatkan jurulatih berpengalaman dan pemain berkualiti bagi memastikan penampilan Kelantan disegani lawan.

Dan hasilnya pada tahun ini, final 7 November minggu depan Kelantan akan sekali lagi bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan pastinya ribuan penyokong Red Worriors akan mengulangi banjir merah di stadium Bukit Jalil.

Di sebalik desas desus tentang persaraan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan yang berlegar di telinga masyarakat kini, kita mohon kepada Nik Aziz yang dijadualkan mengerjakan ibadat haji pada pertengahan November ini iaitu yang terakhir sebagai Menteri Besar Kelantan, kita minta Nik Aziz memanjatkan doa di depan Kaabah agar skuad kendalian Annuar Musa kali ini akan mampu menamatkan penantian berpuluh tahun Kelantan untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.

Lupakan sekejap Annuar Musa itu orang UMNO sebaliknya kita harap Nik Aziz dapat memberikan baktinya yang terakhir sebagai menteri besar untuk kepentingan bolasepak Kelantan.

Moga-moga kejayaan membawa pulang Piala Malaysia ini akan menjadi hadiah persaraan yang paling bermakna kepada Tok Guru..
.

29 October 2009

Wakil Rakyat Pas akan cerai isteri talak tiga jika keluar Pas..

Cekati Tembaga menulis..

Sesungguhnya amat mengejutkan apabila membaca pendedahan ekslusif blogger Mahaguru58 berkaitan dengan apa yang dikatakan peraturan wajib yang mengikat seseorang calon Pas sebelum diberikan watikah atau kebenaran mewakili parti itu dalam pilihanraya.

Mahaguru58 mendedahkan betapa sesiapa juga yang telah dipilih menjadi calon Pas dalam pilihanraya kecil atau pilihanraya umum untuk kawasan Parlimen atau DUN, dia terlebih dahulu diwajibkan untuk menandatangani lafaz taklik MENCERAIKAN ISTERI DENGAN TALAK TIGA seandainya selepas menang ia berpaling tadah dengan meninggalkan Pas. Ini bagi mebolehkan Pas memastikan calonnya tidak akan mengkhianati parti itu.

Ini bermakna memang betul khabar angin sebelum ini yang tersebar dari mulut ke mulut tetapi tidak ada sesiapa yang dapat buktikan. Tetapi dengan pendedahan ini memang membuktikan betapa ikrar gila yang sama sekali tidak ada dalam Islam ini sememangnya diamalkan dalam Pas.

Sebab tu tidak ada wakil rakyat Pas keluar dari parti itu walaupun setelah menyedari tidak dapat menyumbang apa-apa kepada rakyat. Tentu sekali tidak ada wakil rakyat Pas yang sedia bercerai talak tiga dengan isteri jika meningalkan parti itu.

Bayangkan perkara jahiliah seperti ini berlaku dalam Pas. Adakah ini adil kepada wakil rakyat Pas itu? Atau yang lebih penting adakah ini adil kepada isteri wakil rakyat Pas berkenaan? Kenapa apabila suami yang jadi wakil rakyat, isteri yang akan menanggung padah? Apakah ini tuntutan Islam? Pastinya tidak sama sekali.

Kalau benda ni tidak ada ada dalam Islam dan pastinya suatu kezaliman kepada isteri dan anak-anak wakil rakyat Pas, kenapa ianya menjadi kewajipan yang diamalkan meluas dalam Pas? Sebabnya politik. Pas lebih utamakan kuasa dari menegakkan hukum agama.

Kita pasti ahli dan penyokong Pas tidak tahu hal ini. Jika tahu pun sekadar khabar-khabar angin sahaja yang pastinya akan dinafikan sekeras-keasnya oleh pimpinan Pas.

Tapi dengan pendedahan Mahaguru58 ini, diharapkan semua kita terutama yang jiwa Pasnya seumpama besi waja kentalnya agar membuka mata hati dan celikkan minda. Sedarlah kita betapa sejak zaman berzaman Pas memang mempergunakan Islam untuk kepentingan kuasa dan harta dunia.

Semoga dengan pendedahan Mahaguru58 ini juga kita sangat berharap agar tokoh-tokah agama dan Mufti tampil mengulas perkara ini dan menjelaskan apakah cerai taklik seperti ini memenuhi tuntutan Islam.

Sesungguhnya ini adalah tanggungjawab Tuan-Tuan yang tinggi ilmu agamanya untuk menjelaskan kepada rakyat jelas duduknya perkara ini dari sudut hukum Allah. Kita berharap dengan ini masyarakat dapat dipelihara daripada dipesongkan dengan amalan yang bertentangan dengan agama.

Moga-moga Tuan-Tuan akan diberikan Allah sepenuh kekuatan untuk berkata yang sebenar-benarnya dan bertindak dengan sejujur-jujurnya.
.

28 October 2009

7 Soalan Dr. Asri Zainal Abidin kepada Pas

Semalam Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis mengemukakan 7 soalan yang cukup menarik menjurus kepada hala tuju Pas..

Antara soalannya adalah seperti berikut;


1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?

2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?

3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?

4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?

5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?

6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?

7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?

Bicara Kelantan berharap pimpinan Pas dapat menjawab soalan-soalan ini memandangkan ianya amat penting kepada masa depan umat Islam di negara ini.