SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

02 February 2009

Gelora di Perak semakin menarik


2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang 'hilang' iaitu Jamaluddin Mat Radzi ADUN kawasan Behrang dan Mohd Osman Jailu, ADUN Changkat Jering; malam tadi mengeluarkan kenyataan bersama menafikan telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai ADUN seperti yang dinyatakan oleh Speaker DUN Perak lewat petang semalam.
.
Kedua-dua mereka yang juga merupakan Exco kerajaan Perak menegaskan tetap akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat kawasan masing-masing seperti biasa.

"Sukacita kami ingin menjelaskan tiada sebab untuk kami meletakkan jawatan dan tiada sebarang surat dihantar kepada Speaker DUN Perak seperti dilaporkan."

Penjelasan lanjut mengenai isu ini akan akan dibuat hari ini setelah mendapatkan nasihat peguam ekoran surat perletakan jawatan palsu seperti yang dinyatakan oleh Speaker.

Lewat petang semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar mengumumkan dua Exco PKR berkenaan telah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Menurut kenyataan Speaker yang dikeluarkan petang semalam, beliau menerima surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan melalui faks di kediamannya kira-kira jam 5.45 petang. Beliau akan memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi membolehkan pilihan raya kecil bagi kawasan DUN Behrang dan Changkat Jering diadakan dalam tempoh dua bulan.

Kurang tiga jam selepas itu Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya berbuat demikian.

“Ia surat lama, tanpa tarikh yang saya dan enam ADUN PKR yang lain tanda tangan pada Mac tahun lalu (selepas menang dalam pilihan raya umum).

"Saya masih wakil rakyat Behrang.”

Jelas beliau, surat itu mengandungi akujanji kesetiaan yang menyatakan bahawa jika mereka keluar dari PKR, mereka dengan sendirinya meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Mohd. Osman pula menegaskan, surat peletakan jawatan itu tidak sah kerana ditandatangani secara paksa dan dibuat pada Mac tahun lalu.

Kedua-duanya bertegas akan mencabar kesahihan surat peletakan jawatan yang dinyatakan oleh Sivakumar itu.

Persoalannya, apakah surat seumpama itu sah di sisi undang-undang?
..

01 February 2009

Sajak Usman Awang - Melayu

Nukilan Sasterawan Negawa Usman Awang untuk dihayati oleh orang Melayu yang mengaku dirinya Melayu dan mahu terus menjadi Melayu.. Sama-samalah kita memastikan Melayu tidak akan layu
.
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu.
.
Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
.
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
.
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
.
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
.
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
.
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
.
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
.
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.
.
(Usman Awang)
.

Gempar : Lebih dua Adun Pakatan Rakyat akan sertai BN

Terkini...
.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengesahkan akan ada lebih dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat menyertai BN dalam masa terdekat. Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Perak bertambah gelora, dua Exco PKR 'hilang'..


Sehingga pagi ini (Ahad) dua Exco Kerajaan Negeri Perak dari parti PKR, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman bin Jailu masih gagal dikesan sejak empat hari lalu. 'Kehilangan' mereka berdua di saat-saat Pakatan Rakyat merayakan tindakan ADUN Barisan Nasional kawasan Bota, Perak lompat masuk PKR pastinya mengundang seribu persoalan.

“Kami ingin memaklumkan dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat; YB Jamaluddin Mat Radzi dan YB Osman bin Jailu tidak dapat dihubungi sejak empat hari yang lalu, bukan sahaja oleh parti tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.” kata Pengerusi PKR Perak Osman Abdul Rahman pada lewat petang semalam mengesahkan mengenai kehilangan Jamaluddin dan Osman. Beliau mendakwa kehilangan itu ada kaitan dengan usaha Barisan Nasional untuk memujuk mereka lompat menyertai BN.

Jamaluddin dan Osman menghadapi kes rasuah dan kes mereka akan dibicarakan di mahkamah mulai 10 Februari ini. Jamaluddin ialah Exco bagi pembangunan usahawan, koperasi dan perdagangan manakala Osman pula bertanggungjawab keatas pelancongan, pembangunan sumber manusia dan NGO.
.

31 January 2009

Najib ambil alih UMNO, BN Perak

Zahid dipilih timbalan kuat kuasa serta-merta

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi memutuskan Datuk Seri Najib Razak menggantikan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan perkara itu berkata, MT Umno juga bersetuju memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan negeri itu.

“Kedua-dua jawatan berkenaan akan disandang sehingga selesai pemilihan Umno Mac ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno selama hampir empat jam di sini malam tadi. Berita Harian kelmarin melaporkan tindakan Tajol menyerahkan surat meletak jawatan kepada Najib sebagai bertanggungjawab atas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, jawatankuasa pengurusan akan membuat kajian teliti mengenai laporan bedah siasat punca kekalahan calon BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebelum keputusan itu diumumkan.

Beliau berkata, MT malam tadi diberi penerangan sebab kekalahan calon BN oleh Pengerusi BN Negeri, Datuk Ahmad Said. Pada pilihan raya itu calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dalam pertandingan tiga penjuru. Perdana Menteri berkata, MT juga memutuskan untuk melaksanakan segera semua keputusan yang dicapai pada retreat kepemimpinan Umno baru-baru ini.

“Harap akan yang di putuskan pada retreat dapat dilaksanakan dan banyak langkah yang boleh diambil.

“Apabila tiba peralihan kuasa (kepada Najib) semuanya boleh berjalan dengan lebih cepat,” katanya. Mengulas mengenai keputusan MT, Tajol berkata beliau tidak lagi mampu memikul tanggungjawab dan berharap Najib mampu memenangkan semula BN di Perak.

Sementara itu, di KAMPAR, Tajol Rosli mengumumkan akan meletakkan jawatan Ketua Umno Bahagian Grik pada 29 Mac ini. Beliau yang ditemui media selepas pelancaran Pelan Tindakan Desa oleh Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning di sini semalam, berkata, beliau juga tidak akan bertanding atau menawarkan diri bertanding sebagai Ahli MT Umno apabila tempoh perkhidmatannya tamat dalam tempoh yang sama.