SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 August 2008

Ibrahim Ali: Budaya tidak sihat Umno menular ke PAS

IPOH: Budaya tidak sihat yang wujud dalam Umno kini mula menular ke dalam PAS, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

"Hanya yang membezakan PAS dan Umno ialah kita belum dengar lagi pemimpin PAS telibat dengan pengambilan minuman keras, judi serta yang berkaitan dengan isu keruntuhan moral," katanya.

Tambah beliau pemimpin PAS hari ini lebih mementingkan kuasa dan pangkat sehingga ada yang merebut pangkat 'datuk'.

Menurutnya ahli dalam komponen Pakatan Rakyat kini lebih menunjukkan ketamakan kuasa melalui perebutan beberapa projek seperti tanah dan konsesi pasir.

Beliau yang hadir sebagai pemerhati berkata demikian selepas menghadiri majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Selain itu katanya Ucapan Dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai 'lembut' dan terlalu umum.

"Banyak isu-isu penting tidak disentuh dengan baik dan berkesan. Isu ekonomi yang melanda negara misalnya tidak dihuraikan dengan jelas," katanya.

Tambah beliau tiada gesaan tegas terhadap kerajaan berhubung isu untuk menurunkan harga minyak memandangkan harga minyak dunia bagi bahan bakar itu kini menurun kepada USD113 setong daripada USD142 setong sebelum ini.

Jelas beliau Abdul Hadi perlu memberi fokus kepada isu-isu penting seperti ini terutamanya apabila muktamar ini adalah yang pertama selepas kemenagan cemerlang pas selepas pilihan raya umum yang lalu.
.

5 calon dipercayai berentap, Permatang Pauh fokus Arif-Anwar

PERMATANG PAUH: Hari penentuan rasmi calon-calon merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh tinggal hanya beberapa jam lagi dengan lima orang dipercayai akan mengemukakan borang penamaan calon di sini pagi esok untuk berentap menawan lebih 58,459 pemilih, 26 Ogos ini.

Setakat petang ini, dua calon sudah mengesahkan akan bertanding - Datuk Arif Shah Omar Shah yang mewakili Barisan Nasional (BN) manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar merupakan wakil rakyat bahagian itu selama empat penggal sejak 1982 sebelum diambil alih oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 1999. mStar Online difahamkan empat borang penamaan calon telah pun diambil daripada pejabat Suruhanjaya Pilihan Negeri sehingga petang semalam.

Sebelum ini Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) telah menyatakan kesediaan untuk bertanding. Dan, kemungkinan seorang calon Bebas akan turut bertanding.

Bagaimanapun Presiden AKIM, Hanafi Mamat berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan nama calon mereka pagi esok - sebelum penamaan calon.

"Kita ada lima nama yang sedang dipertimbangkan dengan mengambil kira pelbagai perkara. Mungkin calon ini dari kawasan tempatan dan mungkin juga dari luar kawasan," kata beliau ketika dihubungi tengah hari ini.

Malah beliau juga berkata, AKIM juga difahamkan kesemua akan ada lima calon termasuk dua daripada Bebas.

Sesi penamaan calon akan bermula pukul 9 pagi selama sejam manakala waktu mengemukakan bantahan adalah antara 10 dan 11 pagi.

"Keputusan rasmi senarai calon akan diumumkan antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari. Jika tiada bantahan, nama calon akan diumumkan dengan segera," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan 'suasana hangat' ketika penamaan calon esok sebagaimana pernah disaksikan ketik pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok, Selangor awal tahun lalu, tetapi yakin suasana itu dapat dikawal dengan sokongan semua pihak.

Hampir 20,000 penyokong semua parti dan calon Bebas akan berkumpul di kawasan pusat penamaan calon iaitu Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat meramalkan kemenangan kepada mereka pada ratio 60:40 peratus, tetapi BN pula berkeyakinan ia akan mengubah kedudukan itu ke sebelah pihaknya pada kadar 55:45 peratus pada 26 Ogos ini.

Bahagian Permatang Pauh yang agak 'sunyi' selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu kembali aktif dengan kempen-kempen secara tidak rasmi dan tidak formal, diadakan sepanjang malam tadi hingga awal pagi ini.

Kempen rasmi hanya bermula selepas penamaan calon pagi esok.

Tinjauan mStar Online sehingga awal pagi ini mendapati ''kempen politik'' sudah pun dimulakan sejak pukul 9 malam tadi dengan ucapan berapi kedengaran di kawasan Seberang Jaya dan Penanti - yang masing-masing kini dikuasai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - komponen Pakatan Rakyat.

Apa yang menarik kedua-dua Dewan Undangan Negeri - sebahagian daripada tiga kerusi DUN dalam Bahagian Permatang Pauh, sudah berubah menjadi "pesta pilihan raya".
.

Rahsia Anwar senjata Ezam di Permatang Pauh

PETALING JAYA: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor mengulangi pendiriannya bahawa akan mendedahkan semua rahsia Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.

Ezam berkata, beliau sudah tidak dapat lagi menerima segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya oleh Anwar melalui laman-laman blog dan mengambil keputusan nekad untuk membela dirinya.

“Beliau (Anwar) tidak ‘menyerang’ saya secara terus tetapi menggunakan orang-orangnya untuk memburuk-burukkan saya di laman-laman blog termasuk dalam Harakah Daily dan Malaysia Today mengatakan saya masuk Umno kerana wujud konspirasi dan disogok dengan wang.

“Saya akan jawab segala tuduhan itu di Permatang Pauh nanti untuk membersihkan nama saya dan mendedahkan semua rahsia Anwar termasuk sebab sebenar saya meninggalkan beliau (Anwar) kerana sebelum ini, saya sudah beritahu, jika saya masih lagi diserang dengan fitnah-fitnah seperti ini, saya akan lakukannya (dedahkan rahsia),” katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Ezam berkata, dengan mendedahkan semua rahsia Anwar akan membuktikan ‘kepalsuan’ bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang selama ini sering menguar-uarkan bahawa beliau adalah mangsa fitnah dan konspirasi kerajaan Barisan Nasional untuk memusnahkan karier politiknya.
Ezam berkata, esok, beliau dan 100 bekas ahli Pemuda PKR akan ke Permatang Pauh untuk menyertai jentera BN di Bahagian itu untuk menghadapi pilihan raya kecil menentang Anwar pada 26 Ogos ini.

"Saya akan mengadakan banyak perjumpaan tertutup dengan rakan-rakan dari Umno, PKR dan juga PAS untuk menerangkan kepada mereka asas-asas mengapa mereka perlu mengundi BN dan bukan PKR,” katanya.

Ketika ditanya mengenai segelintir ahli Umno yang masih tidak yakin dengan keikhlasannya menyertai kembali parti itu, Ezam berkata, ini bukan masanya untuk beliau cuba mengubah persepsi tersebut.

“Ini bukan masanya. Saya mahu terus bekerja dan menggempur Permatang Pauh untuk menentang Anwar habis-habisan.

“Apa yang penting, saya mahu tunaikan tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran dan mendedahkan kepalsuan Anwar.

“Saya yakin jika saya benar-benar ikhlas, mereka akan dapat menilainya sendiri... tidak perlu mengambil hati,” katanya.

Mengenai pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon BN menentang Anwar, Ezam menyifatkan Arif Shah sebagai antara calon terbaik yang dipilih BN.

"Saya mengenali beliau. Beliau memang seorang yang kuat berkerja, berkhidmat dengan cemerlang dan mempunyai rekod hebat kerana berjaya memenangi DUN Seberang Jaya selama dua penggal.

"Tidak mustahil beliau akan merampas kembali kerusi Permatang Pauh walaupun ia adalah kubu kuat Anwar.

"Saya nekad akan bantu beliau (Arif Shah) berjuang habis-habisan," katanya
.

Mufti Perlis: Sumpah Saiful risiko teramat besar

PETALING JAYA: Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin melahirkan rasa terkejut dengan keberanian Mohd Saiful Bukhari Azlan bermubahalah. Namun begitu, beliau menyifatkan sumpah yang dibuat oleh Saiful itu sebagai risiko yang teramat besar.

"Sekiranya dia benar, dia akan selamat tetapi jika dia berbohong lambat laun, kelaknatan Allah akan turun kepadanya dalam berbagai perkara yang tidak tergambar oleh dirinya sendiri," tegas Dr Asri ketika dihubungi sebentar tadi.

Dr Asri yang kini berada di Kota Bharu menghadiri 'Seminar Tajdid' di USM, Kota Bharu berkata, "Keberanian Saiful melafazkan lafaz yang seperti itu menunjukkan samada dia meyakini apa yang dia dakwa ataupun dia tidak faham akan kesan terhadap lafaz berkenaan pada masa hadapan."

Menurut tokoh agama yang lantang bersuara ini, tindakan Saiful itu juga boleh menimbulkan kesangsian dan keraguan terhadap pihak yang dicabar kerana bukan mudah seseorang untuk melafazkan apa yang dilafazkan oleh Saiful.

"Bukan mudah seseorang melafazkan sumpah mubahalah itu melainkan dia dalam keadaan tidak siuman ataupun dia sedar apa yang diyakini itu benar," katanya lagi.

Tambahnya, "Oleh kerana akan timbul kesangsian pihak yang dicabar dan untuk menghilangkan keraguan masyarakat maka pihak yang didakwa iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim hendaklah melafazkan sumpah bermubahalah dengan bentuk yang sama. Maka jadilah mubahalah yang mana kita akan lihat hukuman Tuhan nanti."

Ketika ditanya bagaimanakah pendirian beliau kini setelah Saiful bermubahalah, Dr Asri berkata, "Adapun saya tidak pernah menyatakan secara putus siapa yang benar, siapa yang salah."
.

Saiful bersumpah 'mubahalah' di Masjid Wilayah

Saiful (kanan) yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpahnya. -foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan, bapa saudara Saiful, 'Uncle Pet', beberapa pegawai masjid berkenaan, ahli keluarga Mohd Saiful, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) iaitu Datuk Che Mat Che Ali dan pegawai dari Jawi.

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara 'bermubahalah' dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

"Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut....

A'uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi...Wabillahi....Wata'alahi.

Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam."

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful memeluk bapanya, Azlan dan menerima ciuman bapanya di dahi kemudian terus bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.

Detik Saiful melafazkan sumpah boleh dilihat di http://thestaronline.tv/default.aspx?vid=1892
.