SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 August 2008

Malaysia akan lapor tindakan AS ke PBB

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuat aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika Amerika Syarikat terus mencampuri dan memperlekehkan sistem perundangan negara berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini berikutan tindakan terbaru Amerika memanggil Timbalan Ketua Misi Malaysia di Washington, Ilango Karuppannan, Rabu lalu, sehari sebelum Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tiada pilihan lain kecuali merujuk kelakuan Amerika ke PBB jika Washington masih tidak menghormati keluhuran perundangan negara.

"Kita akan terus membuat protes secara diplomasi tetapi jika mereka terus berlagak, saya beri amaran kita akan buat laporan rasmi kepada PBB dan kita akan tunjukkan Amerika lebih teruk dan dahsyat dari segi pentadbiran undang-undangnya terhadap negara asing.

"Perkara ini memang kita tidak pernah buat tetapi nampaknya mereka seperti 'kaduk naik junjung'," katanya ketika dihubungi malam tadi bagi mengulas laporan AFP mengenai tindakan Jabatan Negara Amerika memanggil Ilango, Rabu lalu. Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika dipetik AFP sebagai berkata, Washington memandang berat banyak persoalan serius yang dibangkitkan di Malaysia, termasuk oleh Majlis Peguam berhubung kes Anwar.

Bulan lalu, Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice turut menyuarakan kebimbangan Washington berhubung tindakan Kuala Lumpur menahan Anwar berhubung kes itu. Kelmarin, bekas Naib Presiden Amerika, Al Gore, pula menuduh Malaysia terbabit dengan 'kelakuan pembunuhan untuk melenyapkan seorang pemimpin politik pembangkang yang berkesan'. Rais menegaskan, sesebuah negara berhak membuat aduan rasmi ke PBB apabila kedaulatannya digugat bukan saja melalui penggunaan senjata, malah jika imejnya dijatuhkan negara lain.

Mengenai pertemuan Ilango dengan pegawai Jabatan Negara Amerika, Rais berkata Washington sekadar mahu mendapatkan perkembangan terkini kes Anwar.

"Setakat mahu bertanya, tak menjadi masalah tetapi jika mahu mengaibkan negara ini dan undang-undangnya, ia salah di sisi undang-undang antarabangsa dan deklarasi PBB," katanya. Rais berkata, Amerika tidak boleh menganggap perbuatan liwat atau homoseksual yang mungkin dibenarkan negara itu, dapat diterima Malaysia.

"Sudah sampai masanya Amerika belajar budaya dan sosial dunia," katanya sambil menegaskan Washington dilihat lebih memperjuangkan hak asasi individu tetapi bukan prinsipnya. Beliau berkata, rekod Amerika sendiri cukup buruk di mata dunia kerana menyerang Iraq dan sehingga kini Washington belum dapat memberi alasan sebenarnya berbuat demikian, malah dua rakyat Malaysia turut ditahan di Guantanamo tanpa dibicarakan.
.

Menantu Nik Aziz disiasat

Ariff Fahmi hadir pada Mesyuarat Lembaga Penasihat PMBK di Kota Bharu, semalam.


BPR semak dokumen dakwaan salah guna kuasa pelantikan COO

KOTA BHARU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam memulakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa berhubung pelantikan Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ariff Fahmi Abdul Rahman, yang juga menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sepasukan pegawai BPR Kelantan ke bangunan PMBK dekat Jalan Kuala Krai, di sini, kira-kira jam 10 pagi. Mereka berada lebih sejam di situ, sebelum beredar bersama fail dan dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan kenderaan milik perbadanan terbabit terutama yang disumbangkan syarikat tertentu.

Ketika serbuan itu, Lembaga Penasihat PMBK yang dipengerusikan Nik Abdul Aziz bermesyuarat di situ. Pengarah BPR Kelantan, Mohd Jaafar Hussein, ketika dihubungi enggan memberi sebarang ulasan mengenai siasatan yang dijalankan oleh anggotanya itu.

Ariff Fahmi yang ditemui media selepas Mesyuarat Lembaga Penasihat PMBK itu berkata, beliau dinasihatkan supaya tidak memberikan sebarang ulasan berhubung isu terbabit.

"Saya dinasihatkan tidak memberi sebarang komen kepada media.... cuma kita akan bagi kerjasama kepada BPR, tak ada masalah (terhadap siasatan yang dijalankan).

"Saya tak boleh nak mengesahkan yang itu (tindakan BPR mengambil dokumen dari pejabat PMBK pagi semalam) kerana turut berada dalam bilik mesyuarat tadi," katanya. Ariff Fahmi juga enggan mengulas sama ada mesyuarat Lembaga Penasihat PMBK yang disertainya turut menyentuh mengenai siasatan yang dijalankan BPR.

.

Anwar dibenar jamin

DIDAKWA: Anwar ditemani isterinya, Dr Wan Azizah keluar dari bilik mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam selepas dibebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.


Hakim guna budi bicara bebaskan Penasihat PKR

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan dengan sengaja meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Jun lalu, dibebaskan dengan bon jaminan peribadi berjumlah RM20,000 tanpa penjamin.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang lazimnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin tetapi Hakim S M Komathy Suppiah menggunakan budi bicara membebaskannya dengan bon jaminan.

Situasi itu berbeza berbanding sewaktu pertama kali Anwar didakwa atas tuduhan liwat dan rasuah 10 tahun lalu apabila permohonan jaminannya ditolak dan beliau ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Prosiding bermula jam 10 pagi dan berakhir pada 10.35 pagi itu berlangsung dalam suasana tenang berbanding pada 1998, yang mengambil masa lama selepas isu kecederaan Anwar dalam tahanan polis dibangkitkan peguamnya sebelum mahkamah mendengar kes rasuah dan liwatnya.

Jika keadaan di luar mahkamah kecoh 10 tahun lalu kerana tindakan penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan, pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah masing-masing secara profesional semalam tanpa sebarang pertikaman lidah.

Anwar pula, yang menerima sapina kelmarin, hadir sendiri di mahkamah pada jam 9.43 pagi bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga anak mereka. Pada 1998, beliau dibawa dengan kenderaan polis serta dikawal ketat anggota pasukan khas bertopeng ski dengan tangannya bergari dan mata lebam.

Beliau yang berpakaian sut kelabu serta kemeja merah jambu, kelihatan tenang sepanjang prosiding dan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan: "Itu fitnah, berniat jahat dan khianat. Saya tidak bersalah, Yang Arif."

Anwar, 61, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Komathy menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu permohonan pihak pendakwaan bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi. Ketika membenarkan jaminan itu, Komathy berkata undang-undang menetapkan bahawa seseorang dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan jaminan pula dikenakan bagi menentukan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Saya tidak fikir Anwar akan menghilangkan diri. Jadi, saya akan membenarkan anda dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin," katanya. Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwa raya, mulanya membantah jaminan terhadap Anwar tetapi menjelaskan pihaknya sedia menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah jika hakim membenarkan jaminan.

Peguam tertuduh, Sulaiman Abdullah bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Acara Jenayah untuk membebaskan anak guamnya itu dengan bon peribadi tanpa menetapkan sebarang jumlah. Beliau juga memohon supaya pasport tertuduh tidak ditahan kerana anak guamnya mempunyai urusan di luar negara.

Katanya, Anwar tidak mungkin melarikan diri atau tidak hadir pada sebutan kes itu kerana anak guamnya akan bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan dijangka mendapat tempat di Parlimen.

Selepas mendapat pengesahan pegawai penyiasat kes itu, Deputi Superintendan Jude Pereira bahawa tertuduh memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan, Komathy kemudian membacakan keputusannya dengan membenarkan jaminan terhadap Anwar. Sejurus sebelum prosiding berakhir, Komathy juga sempat bertanya tertuduh: "Hari lahir kamu pada 10 Ogos inikah?" Anwar kemudian mengiakannya dengan disertai tepukan dan sorakan penyokongnya.
.

06 August 2008

Anwar akan didakwa esok


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas kesalahan meliwat. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata tindakan mendakwa Anwar diambil selepas pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa beliau.


Satu notis bertulis kepada Anwar telah dikeluarkan untuk hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta jam 10 pagi esok, kata Ismail dalam kenyataan di sini hari ini.

.

Permatang Pauh: Penamaan Calon 16 Ogos, Pengundian 26 Ogos

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 16 Ogos dan jika ada pertandingan, pengundian pada 26 Ogos ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata sehubungan itu, SPR menentukan Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Jun dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai lalu digunakan dalam pilihan raya kecil itu.

"Seramai 58,459 pemilih yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos adalah layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil bagi P.44 Permatang Pauh ini, " katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil itu.

Kenyataan itu diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said kepada para wartawan di lobi Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai wakil rakyat berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388.Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno.

Abdul Rashid berkata writ pilihan raya kecil itu akan dikeluarkan esok (7 Ogos) manakala notis pula dikeluarkan hari berikutnya (8 Ogos).

Katanya, SPR telah melantik untuk pilihan raya itu, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Roslan Yahaya sebagai Pegawai Pengurus dan tiga penolong Pegawai Pengurus iaitu Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai Zainol Abidin Md Noh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, dan Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Seberang Perai Tengah Azizal Ahmad.

Abdul Rashid mengingatkan dalam tempoh pilihan raya kecil ini dijalankan, amat penting semua pihak mematuhi arahan pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

"Oleh itu, semua pihak terutamanya parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu lain yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang telah ditetapkan.

- BERNAMA
.