SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

04 August 2008

Taktik Anwar untuk kekalkan populariti: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih teraju kepemimpinan negara sebagai satu pembohongan. Perdana Menteri berkata, tindakan Anwar yang sering mendakwa beliau hanya menunggu masa merampas kuasa, sebenarnya bertujuan mengekalkan popularitinya sebagai pemimpin pembangkang.

"Apa yang dilakukannya (Anwar) jelas menjurus ke arah itu dan beliau sentiasa cuba meraih populariti dengan berbuat demikian... seperti pasaran saham," katanya dalam wawancara dengan agensi berita The Associated Press (AP) di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang berulang kali mendakwa sudah mendapat persetujuan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti menyertai PKR, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan Pusat dengan majoriti mudah sebelum 16 September.

Abdullah berkata, hakikatnya ketika ini majoriti pemimpin semua parti komponen BN tetap taat dan setia kepada kepemimpinan beliau serta kerajaan masih terus mendapat sokongan antara 80 hingga 90 peratus pemimpin terbabit.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga tidak berhasrat menggunakan undang-undang darurat bagi mengawal keadaan jika berlaku demonstrasi jalanan oleh pihak yang mungkin tidak berpuas hati jika Anwar didakwa atas tuduhan meliwat.

"Saya tidak fikir kita perlu menggunakan undang-undang itu, sudah tentu tidak. Mengapa pula harus ada bantahan tidak terkawal kerana ia sudah tentu tidak akan dilakukan oleh parti pembangkang yang mendakwa mereka boleh membentuk kerajaan?.

"Sudah tentu jika mereka pembangkang yang bertanggungjawab, mereka tidak akan membuat sesuatu sehingga seolah-olah meletakkan kedaulatan undang-undang di tangan sendiri dan mengadakan demonstrasi sesuka hati," katanya.
.

Wan Azizah lepas jawatan

AHLI Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media perletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh di ibupejabat PKR

Presiden PKR beri laluan Anwar bertanding kerusi Permatang Pauh KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam, yang akan memberi maklum balas Isnin ini.

"Keputusan ini sejajar dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan Pusat tahun ini dan ia dilakukan selepas saya mendapat persetujuan keluarga serta rakan lain dalam Pas, DAP serta PKR.

"Saya berterima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang menyokong saya sejak tiga penggal lalu. Saya bagaimanapun akan kekal sebagai Presiden PKR dan Pengerusi Yayasan Aman," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini.

Turut hadir ialah Anwar; anak mereka, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; wakil DAP yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan peguam Anwar, Sivarasa Rasiah. Kerusi Parlimen Permatang Pauh disandang Anwar atas tiket Barisan Nasional (BN) antara 1982 hingga beliau dipecat daripada Umno pada September 1998. Pada 1999, Wan Azizah memenangi kerusi itu atas tiket PKR dan berjaya mengekalkannya sehingga pilihan raya umum Mac lalu.

Peletakan jawatan itu sekali gus mengakhiri kedudukan Wan Azizah selaku ketua pembangkang wanita pertama di Parlimen dan beliau menjelaskan, penggantinya akan dipilih selepas Pakatan Rakyat berbincang mengenainya. Wan Azizah berkata, beliau percaya Anwar mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk memacu pembangunan ekonomi negara dan integriti untuk menyatukan rakyat.

Anwar, pada sidang media itu, berkata beliau terharu dan amat terhutang budi kepada isterinya kerana sanggup melepaskan kerusi itu untuk memberi laluan kepadanya. Katanya, pucuk pimpinan PKR sudah berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang memberi sokongan padu kepada keputusannya untuk bertanding di situ.

"Mulanya memang saya nak bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu jika kerusi disandang Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin diisytiharkan kosong oleh mahkamah tetapi kes itu mungkin dilengahkan akibat kerenah undang-undang.

"Jadi, saya akan kembali kepada pengundi di Permatang Pauh meminta mandat mereka untuk membolehkan saya kembali ke Parlimen. Malah Wan Azizah sendiri sudah menyatakan kesediaannya memberi laluan kepada saya ketika berkempen pada pilihan raya lalu," katanya.

Anwar menafikan Permatang Pauh menjadi pilihan kerana ia kawasan lamanya dan dianggap kerusi selamat untuk PKR, sebaliknya menegaskan sedia bertanding di mana pun kerusi termasuk Bandar Tun Razak yang ditawarkan penyandangnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim atau Gombak yang diwakili Mohamed Azmin.

Katanya, beliau menganggap semua kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat berdasarkan sentimen rakyat pada masa sekarang. Beliau juga menyangkal dakwaan pengumuman itu dibuat mengejut berikutan wujudnya khabar angin sejak kelmarin bahawa beliau mungkin ditahan dalam tempoh 48 jam.
.

Pas tolak kerjasama Umno: Hadi

Parti pembangkang kekal bersama Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pas semalam menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada pada peringkat Pusat mahu pun negeri, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, Pas mengulangi pendirian parti itu untuk terus kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan aktif dan positif selaras dengan perjuangan bersama termasuk membuat perubahan kerajaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan serentak mesyuarat Majlis Syura Ulama dihadiri hampir semua pemimpin kanan parti itu kecuali Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat tidak berbangkit," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Isnin lalu, mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di negeri itu dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, Pas akan terus membuka pintu rundingan dengan semua pihak termasuk Umno, parti politik bukan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), institusi mahu pun individu demi kepentingan negara dan ummah.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu ketika ditanya mengenai istilah yang boleh dirujuk pertemuan itu berkata, Pas tidak kisah apa juga istilah yang diguna pakai sama ada muqabalah atau muzakarah.

"Saya sebut pertemuan secara umum, nama itu buatlah nak buat apa pun, pertemuan akan ada tetapi dengan semua bukan saja dengan Umno, dengan semua parti politik yang bukan Pakatan Rakyat, NGO dan semua pihak," katanya.

Abdul Hadi juga ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap mana-mana pemimpin parti itu yang mungkin akan mengadakan pertemuan sulit dengan Umno bagi membincangkan tawaran parti lawan.

"Tidak ada sulit lagi, boleh diadakan pertemuan dan pertemuan ini sudah tentu akan dimaklumkan kepada parti dan selama ini pun memang dimaklumkan kepada parti," katanya.

Ditanya mengenai usaha Pas untuk menghargai penyokong dan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum lalu, beliau berkata Pas menghargai sokongan daripada masyarakat bukan Islam kepada parti itu dan akan meneruskan penghargaan kepada mereka.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din memberikan taklimat berkaitan muqabalah kepada mesyuarat yang turut dihadiri Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
.

Sultan Kelantan Canselor UMK

Pemasyhuran bentuk satu hubungan erat sektor pendidikan dengan istana


KOTA BHARU: Pemasyhuran Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan mencipta sejarah dalam institusi Diraja Kelantan sekali gus membentuk satu hubungan erat sektor pendidikan dengan istana.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Zainai Mohamed, berkata pemasyhuran yang dijangka disempurnakan pada 10 Ogos ini juga menjadikan baginda sebagai anggota Diraja Kelantan pertama dilantik sebagai Canselor.

Katanya, melalui pemasyhuran ini, ia juga melambangkan wujudnya hubungan erat istana dalam sektor pendidikan tinggi khususnya di negeri ini.

"Pemasyhuran ini penting kepada institusi Diraja Kelantan kerana belum pernah ada anggota Diraja Kelantan dilantik sebagai Canselor dan Tuanku Ismail Petra mencipta sejarah dalam perkara ini.

"Melalui pemasyhuran baginda itu juga, ia mampu mewujudkan satu kesepakatan baik kerana sektor pendidikan negeri ini kini bukan hanya menjadi tanggungjawab awam lagi, malah akan turut membabitkan institusi Diraja Kelantan," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

UMK yang ditubuhkan dua tahun lalu kini beroperasi di Kampus Kota di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, adalah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ke-19 ditubuhkan di Malaysia. Kampus induknya sedang dibangunkan di Tangok, Bachok dengan peruntukan awal Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta untuk membiayai pembinaan bangunan pentadbiran serta fakulti pengajian.

Dr Zainai berkata, dengan pemasyhuran Tuanku Ismail Petra itu, ia menjadikan UMK sebagai universiti paling muda di negara ini yang menerima Canselor paling awal berbanding universiti lain yang sudah beroperasi dua atau tiga tahun. Katanya, ia adalah sejarah kepada universiti ini sekali gus menjadi cabaran untuk bersaing dengan universiti lain yang kini sudah mencapai status universiti utama di negara ini seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Selalunya Canselor akan dilantik dalam tempoh kira-kira tiga tahun penubuhan universiti, namun UMK menerima lebih awal dari itu. Walaupun menerima dalam tempoh muda, ia menjadi satu cabaran kepada UMK untuk bersaing serta lebih cemerlang pada masa depan," katanya.
.

Analisis: Gabungan mampu elak perpecahan

Tawaran Umno Perak bentuk kerajaan buka lembaran baru

TAWARAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali untuk bergabung dengan Pas membentuk kerajaan Perak membuka lembaran baru dalam senario politik negara yang sekian lama dihantui perpecahan orang Melayu-Islam akibat perbezaan fahaman politik.

Apa pun tanggapan dan persepsi terhadap tawaran kerjasama itu, hakikatnya ia melakar titik pertemuan bahawa tiada persengketaan atau perbalahan yang tidak boleh didamaikan jika ada usaha berterusan mencari penyelesaian.

Walaupun tawaran bekerjasama membentuk kerajaan negeri antara Pas-Umno itu kelihatan mudah berbanding pelaksanaannya, yang mungkin membawa satu seribu cabaran, usaha tetap perlu dilakukan demi penyatuan orang Melayu. Tentu saja ada pihak kurang senang dengan tawaran Umno Perak itu, kerana mereka sebenarnya mahu melihat orang Melayu terus berbalah kerana untungnya pasti kepada mereka.

Selepas keputusan pilihan raya umum lalu, Umno kini mempunyai 27 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, manakala MCA (satu), dan jika Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pas (enam kerusi) bermakna ia akan membentuk 34 kerusi, berbanding ketika ini Pakatan Rakyat yang mempunyai 31 kerusi hasil gabungan DAP (18 kerusi), Pas (enam) dan Parti Keadilan Rakyat (tujuh).

Tawaran Tajol Rosli itu tentunya selepas mengambil kira pelbagai aspek sama ada dari sudut politik orang Melayu, malah lebih besar daripada itu bahawa perpaduan orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini sangat penting demi memastikan pembangunan serta kestabilan negara.

Tajol Rosli berkata, beliau mengemukakan tawaran itu bagi menyahut cadangan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi merealisasikan hasrat Menteri Besar Kelantan itu, supaya kedua-dua parti itu dibubarkan bagi dapat menubuhkan parti baru untuk orang Melayu-Islam. Perpecahan orang Melayu tidak dapat mewujudkan kestabilan politik negara dan ia tidak mungkin wujud tanpa kerjasama Pas-Umno.

Bagi memastikan tawaran kerjasama itu tidak dilihat sebagai satu muslihat politik Umno, awal-awal lagi Tajol Rosli menolak untuk menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerana berpendapat jika beliau sebagai bekas Menteri Besar berada dalam kerajaan negeri sudah pasti akan dituduh perancang utama segala bentuk pentadbiran kerajaan negeri kelak.

Umno Perak juga tidak meletak sebarang syarat bahawa mereka hanya akan menerima gabungan kerjasama itu jika Menteri Besar datang daripada wakil Umno walaupun mereka memilik lebih banyak kerusi dari Pas.

Sebaliknya, Tajol Rosli memberi kepastian bahawa wakil Pas akan terus menerajui Perak sebagai Menteri Besar dan melantik ahli Exco berdasarkan kepada agihan yang sesuai jika gabungan itu berjaya direalisasikan.

Apapun, usaha gabungan Pas-Umno membentuk kerajaan negeri bukan perkara mudah kerana banyak perkara perlu diperhalusi apatah lagi selepas gabungan Pakatan Rakyat antara Pas, DAP dan PKR sudah semakin selesa dengan kerjasama mentadbir Perak. Ada pihak berpendapat adalah tidak adil untuk Pas meninggalkan rakan lain yang membentuk Pakatan Rakyat selepas bersusah payah di peringkat awal menubuhkan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika diminta reaksinya terhadap tawaran itu, berkata beliau komited dengan Pakatan Rakyat apatah lagi selepas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir kerajaan negeri selepas pilihan raya umum lalu.
.