SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

22 July 2008

Anwar patut beri kerjasama, kata Ibrahim Ali

Kepercayaan rakyat akan terhakis terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau masih berdolak-dalik berhubung tuduhan kes liwat terhadapnya, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya siasatan mereka berjalan lancar sehingga kes itu dapat dibicarakan di mahkamah. Di samping itu, kata Ibrahim, pihak polis juga telah memberikan jaminan tiada perkara buruk akan berlaku kepada Anwar seperti pernah berlaku ke atas dirinya pada 1998 ketika beliau ditangkap atas tuduhan yang sama.

"Berani kerana benar takut kerana salah," katanya ketika berucap dalam ceramah perdana di Pasir Mas malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar ditahan Rabu lalu sebelum dibebaskan bagi membantu siasatan terhadap aduan yang dibuat oleh bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR itu.

Ibrahim berkata, jika Anwar tidak memberikan kerjasama, rakyat akan membuat pelbagai andaian kononnya dakwaan itu adalah konspirasi kerajaan atau Anwar memang melakukan perkara itu.

Lantik pendakwaraya mahir

Sehubungan itu, beliau yakin Anwar sebagai mantan Timbalan Perdana Menteri akan mengambil langkah untuk bekerjasama bagi membuktikan kebenaran di dalam kes itu.

Beliau meminta agar pihak kerajaan melantik pendakwaraya daripada mereka yang bebas dan mahir di dalam perundangan ketika pendakwaan dibuat terhadap Anwar bagi mencerminkan ketelusan perbicaraan kes itu.

"Pendakwaraya tidak boleh daripada kakitangan kerajaan atau daripada Jabatan Peguam Negara. Ini boleh dilakukan berdasarkan undang-undang yang ada di dalam negara ini," katanya.

Beliau juga meminta doktor peribadi Anwar sendiri melihat proses pengesahan DNA dijalankan bagi memastikan tiada pemalsuan berlaku semasa ujian DNA dijalankan untuk mengesahkan kesahihan keputusan DNA tersebut.

Beliau yakin dengan langkah itu kebenaran akan pasti terserlah kerana tiada siapa di dalam negara ini berada di atas undang-undang.
.

Inikah Kabinet Bayangan Kerajaan Pakatan Rakyat?




.

21 July 2008

Muzakarah Umno-PAS: Terlalu awal untuk menilai impak agama, politik?

Kesan muzakarah Umno-PAS sukar untuk diramalkan?

Demikian rumusan Profesor Dr. Chandra Muzaffar ketika diminta mengulas kesan pertemuan membabitkan Umno-PAS yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengesahkan beliau telah tiga kali menemui tiga pemimpin PAS termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa sejak Mac lalu.

Malah kata Chandra, sukar untuk menentukan bila muzakarah kedua-dua parti itu akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Ketika matlamat muzakarah masih belum jelas, Presiden JUST itu memberitahu, jika pertemuan tersebut bertujuan membincangkan soal agama sebagaimana telah diumumkan sebelum ini, ia merupakan satu usaha baik.

Dari sudut agama, kata beliau, ia akan membolehkan Islam dilihat sebagai agama universal dan menerima manusia daripada semua agama.

"Bagaimanapun saya masih belum jelas setakat ini matlamat pertemuan ini. Kalau ia hanya melihat kaum tertentu, ia tidak akan memanfaatkan," kata beliau dan menambah, kemungkinan pertemuan itu akan menyumbang kepada kelahiran masyarakat yang lebih terbuka ataupun masyarakat yang kurang terbuka.

"Melahirkan masyarakat yang lebih terbuka ataupun masyarakat yang kurang terbuka," katanya.

Beliau berharap pertemuan itu dapat melahirkan masyarakat universal yang cenderung menilai nilai sejagat.

Bagaimanapun kata beliau, jika muzakarah antara Umno-PAS membincangkan soal politik semata-mata ia kemungkinan menyumbang kepada caturan politik yang lebih besar dengan mengambil kira suasana politik semasa.

"Mungkin soal agama tiada masalah tetapi kalau hendak bincang soal kerjasama politik, kesan caturan politik lebih serius memandangkan PAS masih merupakan anggota komponen Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu. Ia dianggotai oleh PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semalam Abdullah mengesahkan beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PAS sebanyak tiga kali bagi membincangkan soal agama Islam dan perpaduan orang Melayu. Ia turut disahkan oleh dua pemimpin kanan PAS masing-masing Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharudin kepada mStar Online.

Ketika ditemui mStar Online, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah jika ia boleh memanfaatkan Islam dan semua.

Bagaimanapun jelas Abdullah, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan. Beliau berkata, pemimpin PAS yang menghadiri perjumpaan itu adalah "orang yang boleh membuat keputusan" yang yang seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Abdul Hadi.

Tetapi Abdul Hadi kemudian memberitahu mStar Online bahawa beliau tidak hadir, sebaliknya diwakili tiga pemimpin kanan yang lain termasuk Nasharudin.

Dalam pada itu, Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, tindakan Abdullah yang tidak mahu mendedahkan butiran lanjut berhubung muzakarah yang telah tiga kali berlangsung itu adalah betul memandangkan pertemuan antara kedua-dua parti itu masih di peringkat awal.

“Di peringkat awal, elok dirahsiakan bagi elak pelbagai reaksi dan kekeliruan.

“Bagaimanapun, yang paling penting di sini, ada usaha antara Umno dan PAS untuk mengelakkan perselisihan berterusan antara mereka demi perpaduan orang Melayu.

“Bila sudah ada satu kejayaan besar nanti, ia perlulah dihebahkan,” katanya ketika dihubungi.

Agus berkata, apa yang penting daripada muzakarah itu adalah mencari titik perbezaan yang menjarakkan kedua-dua parti itu selama ini kerana perbezaan antara mereka sudah timbul sejak dahulu lagi.

“Kalau Pak Lah (Abdullah) kata macam ini, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kata macam itu, begitu juga sebaliknya tetapi dalam politik, itu perkara biasa.

“Memang Umno dan PAS mempunyai ideologi berbeza tetapi yang penting, asas perpaduan antara mereka iaitu memperjuangkan masa depan orang Melayu itu ada,” katanya.

Agus berkata, kedua-dua parti boleh mengambil selama mana mungkin tempoh untuk bermuzakarah kerana orang Melayu mengharapkan impak besar.

“Bila ada impak besar, kita boleh libatkan pemimpin-pemimpin Melayu lain termasuk (Datuk Seri) Anwar Ibrahim kerana beliau juga seorang Melayu dan mempunyai pengaruh.

“Bagaimanapun, pada tahap ini, biarlah Umno dan PAS sahaja yang bermuzakarah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Prof. Madya. Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, pendedahan awal kemungkinan tidak dilakukan kerana wujud dua golongan dalam PAS iaitu yang menyokong dan tidak menyokong muzakarah Umno-PAS.

“Golongan yng tidak menyokong mempertikaikan mengapa selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu, baru Umno berminat untuk bermuzakarah, mengapa tidak daripada dulu lagi?

“Bagaimanapun, bagi yang menyokong, mereka memang ada keinginan untuk memikirkan masalah yang dihadapi orang Melayu pada masa ini tanpa mengira parti kerana mereka dapat lihat pada masa ini, orang Melayu masih ketinggalan termasuk dari segi ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Nizammuddin berkata, kedua-dua pihak memang ikhlas untuk bermuzakarah kerana melihat kedudukan orang Melayu yang semakin goyah dan terhimpit ditambah lagi dengan kebangkitan kaum-kaum lain yang mahu menuntut hak yang sama.

“Pada masa ini kita dapat lihat, kaum lain juga mahukan hak yang sama melalui kebangkitan Hindraf dan isu-isu yang ditimbulkan seperti kontrak sosial dan meritokrasi.

“Justeru, muzakarah antara dua parti yang sememangnya khusus untuk orang Melayu ini harus diadakan dan sekarang terbukti usaha itu memang ada,” katanya.

Ditanya sama ada Anwar juga perlu dipanggil untuk bermuzakarah, Nizammuddin berkata, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mempunyai pandangan yang berbeza tentang hak orang Melayu.

“PKR memikirkan orang Melayu tetapi dengan cara yang berbeza di mana mereka tidak menolak Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan hak Melayu di negara ini tetapi mengambil pendekatan yang lebih universal,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, Umno-PAS kemungkinan mahu mencapai kata sepakat sebelum meluahkan pandangan dan hasil muzakarah kepada umum.

Beliau turut bersetuju bahawa terdapat segelintir ahli-ahli PAS yang menentang dan berasa tidak selesa apabila pemimpin tertinggi mereka duduk semeja kerana bagi mereka, kedua-dua parti itu memang tidak boleh bersatu.

“Kita perlu ingat isu-isu yang mungkin tidak dapat dilupakan mereka termasuk amanat Hadi dan kafir-mengkafir antara Umno-PAS suatu ketika dulu dan kedua-dua parti itu sama-sama mahu tonjolkan siapa yang lebih Islam,” katanya.

Bagaimanapun Azeem berkata, muzakarah ini merupakan percubaan kedua-dua parti untuk meraih undi Melayu terutama di luar bandar.

“Latar belakang pengundi mereka adalah sama dan prinsip perjuangan juga hampir sama iaitu memperjuang Islam. Cuma Umno dilihat lebih sekular dan PAS lebih rapat dengan Islam.

“Justeru, medium muzakarah ini boleh digunakan untuk meraih kembali sokongan pengundi terutamanya kepada Umno dan bagi PAS, walaupun mereka mempunyai Menteri Besar di tiga negeri tetapi mereka hanya berkuasa di Kelantan dan Kedah kerana di Perak, DAP mempunyai lebih banyak kerusi.

“Ideologi PAS dan DAP nyata berbeza apabila PAS mahukan sebuah negara Islam sedangkan DAP dengan Malaysian Malaysia,” katanya.

Selain itu, Azeem berkata, kepimpinan Abdullah yang tidak mengkritik hebat perjuangan PAS menyebabkan parti itu terbuka hati untuk bermuzakarah.

“PAS mungkin bersetuju bermuzakarah kerana Pak Lah tidak mengkritik hebat parti itu berbanding Tun Mahathir yang mengambil pendekatan agresif mengkritik mereka,” katanya.

Azeem berkata, titik pertemuan Umno-PAS ini membolehkan mereka mempromosi kepentingan Melayu dan politik antara kedua-dua parti itu selepas ini akan menjadi lebih sihat.

.

Muzakarah: Karpal minta PAS beri penjelasan

SHAH ALAM: Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini meminta PAS memberi penjelasan kepada parti lain di bawah Pakatan Rakyat berhubung tindakannya mengadakan muzakarah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno baru-baru ini.

Beliau berkata, DAP langsung tidak dimaklumkan mengenai pertemuan itu dan hanya mengetahuinya melalui media. Karpal Singh berkata, PAS sepatutnya memaklumkan kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai muzakarah itu kerana ia membabitkan isu yang sangat penting.

"Saya berpendapat tindakan itu (tidak maklumkan tentang muzakarah dengan Umno) tidak betul kerana kita dalam Pakatan Rakyat perlu tahu apa yang masing-masing lakukan terutama sekali bila ia melibatkan isu fundamental," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Karpal Singh berkata, PAS tidak sepatutnya mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno lebihlebih lagi parti itu pernah mendakwa diketepikan semasa menyertai Barisan Nasional (BN) sekitar awal 70an.

"Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) juga pernah berkata bahawa PAS tidak sepatutnya dipatuk oleh ular yang sama dalam lubang yang sama tetapi saya hairan kenapa beliau menukar fikiran. Saya rasa sudah tiba masanya mereka (PAS) memberi penjelasan kenapa kami diketepikan.

"Sepatutnya tidak timbul keraguan antara parti yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat dan setiap tindakan yang dibuat perlulah secara terbuka," katanya.

Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang hari ini mengakui pimpinan tertinggi parti itu telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baru-baru ini bagi membincangkan isuisu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan orang Melayu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dikeluarkan sebagai mengulas kenyataan Abdullah yang disiarkan oleh akhbar hari ini yang mendedahkan bahawa muzakarah bersama PAS telah diadakan sebanyak tiga kali. Dalam pertemuan itu, Umno diketuai sendiri oleh Abdullah, manakala PAS dipercayai diwakili Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz tidak hadir pada pertemuan itu.

-BERNAMA
.

Nik Aziz: PAS akan berpecah jika muzakarah diteruskan

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan segera kerana jika ia diteruskan, parti berteraskan Islam itu bakal menghadapi perpecahan.

Beliau mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS.

"Saya nak tanya kepada orang PAS sama ada nak jaga PAS atau Islam. Kalau nak jaga PAS, ini (muzakarah) bukan caranya dan jika nak jaga Islam juga bukan ini caranya kerana berkawan dengan Umno seperti menghancurkan Islam," kata beliau pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan Umno telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan PAS bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Abdullah berkata bagaimanapun pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS itu tidak disertai Nik Aziz.

Nik Aziz berkata, jika muzakarah itu menjadi realiti, PAS akan menjadi seperti "kera sumbang" dan tidak lagi dipercayai oleh sekutunya daripada Pakatan Rakyat termasuk penyokong PAS sendiri.

"Bila berlaku begini, orang PAS akan marah kepada PAS dan orang Pakatan (Rakyat) akan juga marah kepada PAS. Kiri kanan semua orang marah dan akhirnya PAS jadi kera sumbang.

"...dengan itu saya memang tidak bersetuju diadakan muzakarah ini tetapi akan bersetuju sekiranya pertemuan itu untuk menarik Umno masuk PAS," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau kecewa kerana tidak dijemput menghadiri pertemuan dengan pemimpin tertinggi Umno, Nik Aziz berkata, beliau tidak kecewa tetapi "tidak gembira" dengan kenyataan pemimpin PAS dan Perdana Menteri mengenai isu itu.

"Saya tidak happy dan tidak gembira dengan kenyataan pemimpin Umno dan PAS mengenai muzakarah ini," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak bercadang untuk bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang mengenai perkara itu.

Nik Aziz bagaimanapun menafikan wujud ketidaksefahaman antara beliau dengan pemimpin PAS yang lain berhubung isu itu dan juga menafikan wujudnya masalah dalaman parti itu.

"Persefahaman tetap ada dan kalau pecah-belah seronoklah Umno dan sebab itu kita mesti bersatu dan apa yang saya katakan ini sebagai reaksi balas sahaja dan terpulanglah kepada penyokong (untuk menilainya)," katanya.

Nik Aziz juga berkata, terpulang kepada perwakilan untuk membincangkan mengenai isu itu pada muktamar PAS yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Boleh jadi dibincangkan tetapi terpulanglah kepada perwakilan untuk membincangkan isu ini," katanya.

Beliau juga menafikan pertemuannya dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat baru-baru turut membincangkan isu muzakarah itu dan menurutnya perbincangan hanya berkisar mengenai bagaimana untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

-BERNAMA
.