SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

21 July 2008

PAS akui pertemuan dengan Umno

PAS mendedahkan parti itu memang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri seperti pendedahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam melibatkan beberapa pemimpin tertinggi parti "bagi menjayakan muzakarah dengan Umno."

Berbeza dengan tanggapan Naib Presiden Datuk Husam Musa yang menganggap kenyataan Abdullah itu bertujuan memecah-belahkan PAS, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pertemuan-pertemuan tersebut telah dimaklumkan kepada majlis syura dan jawatankuasa pusat PAS.

Menurut kenyataan Abdul Hadi hari ini, pertemuan pertama diadakan tidak lama selepas pilihanraya umum Mac lalu melibatkan timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, ketua pengarah pilihanraya PAS dan juga pesuruhjaya Terengganu Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad.

Tempat pertemuan tidak dinyatakan.

"Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara pertemuan kedua diadakan di bangunan Parlimen antara Nasharudin dengan Abdullah - masa tidak disebut.

Kenyataan penuh presiden PAS seperti dimuatkan di media web rasmi parti itu Harakahdaily.net hampir tengah malam tadi:

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menteri yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, ketua pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS. Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan timbalan presiden PAS dan YAB perdana menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak. PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

Presiden PAS
20 Julai 2008
.

20 July 2008

Muzakarah: Abdullah dedah sudah temui pemimpin PAS tiga kali

PUTRAJAYA: Perkembangan terbaru dalam isu syor muzakarah Umno-PAS!

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PAS sebanyak tiga kali bagi membincangkan soal Islam dan perpaduan orang Melayu.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bila pertemuan itu diadakan dan pemimpin-pemimpin yang menyertai pertemuan tersebut.

"Kita dah ada pertemuan sebenarnya dan pertemuan di peringkat awallah.. Dah tiga kali kalau saudara nak tahu.. tak perlulah saya bagi detail yang lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengistiharan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Sambutan Hari Koperasi Negara 2008, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemimpin PAS yang menghadiri perjumpaan itu adalah 'orang yang boleh membuat keputusan’ tetapi beliau mengakui perjumpaan itu berlangsung tanpa kehadiran Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Ketika ditanya sama beliau ada meletakkan syarat-syarat berhubung pertemuan itu, Abdullah berkata itu semua tidak perlu dan pada peringkat ini, kedua-dua pihak hanya mahu mengadakan perbincangan antara mereka tanpa kehadiran pihak ketiga.

Katanya, antara isu yang dibincangkan adalah berhubung hal agama iaitu supaya tidak timbul perbalahan berhubung hal-hal yang berkaitan dengan Islam.

“Kita sudah muafakat apa yang perlu dijalankan dan jangan bergaduh atas isu agama misalnya.

“Kalau hal agama jadi isu politik, dia akan bawa masalah...Itu satu tajuk, ada tajuk lain..tak payahlah saya huraikan,” katanya.

Abdullah juga berkata, perjumpaan itu tidak membincangkan apa-apa kerjasama dengan pihak lain termasuk daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa turut mengakui perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak menafikan apa yang dikatakan Pak Lah (berhubung perjumpaan sebanyak tiga kali) itu betul.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat mengulas lebih kerana PAS akan mengeluarkan kenyataanberhubung hal itu esok," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Semalam, Abdullah memberitahu bahawa beliau bersedia memulakan muzakarah secepat mungkin dengan pemimpin PAS untuk memperkukuhkan perpaduan Melayu.

"Saya amat ingin melihat perbincangan itu berjaya," katanya pada majlis perjumpaan beliau dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di sini Kuala Lumpur.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, perpaduan orang Melayu penting kerana ia menjadi teras kepada perpaduan rakyat Malaysia.Isu muzakarah mula diperkatakan sejak dua bulan lalu.

Dalam temu bual dengan Harakah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mendedahkan bahawa usaha ke arah muzakarah kedua-dua parti sudahpun dimulakan.

Dalam kenyataan semalam, kata Abdullah, perpaduan Melayu perlu diperkukuhkan kerana mereka menghadapi pelbagai cabaran baru.Abdullah berkata beliau juga mahu melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam negara ini kerana orang Melayu tidak dapat dipisahkan.

Katanya, perpaduan masyarakat Islam Malaysia menyumbang kepada imej dan perpaduan lebih baik ummah Islam dunia.

Di KOTA BAHARU, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, Umno di peringkat bawahan telah lama mewujudkan perbincangan dengan Pas mengenai isu-isu berkaitan umat Islam di negara ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu berkata, beliau sendiri sentiasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian berkelompok mesyuarat agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan-cawangan bahagian Ketereh hari ini, Alwi berharap kedua-dua belah pihak ikhlas membincangkan masa depan umat Islam sambil mengetepikan perbezaan pandangan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta adanya pihak ketiga sebagai hakim dalam muzakarah PAS-Umno yang dicadangkan. Pun begitu Nik Aziz juga pernah menyuarakan pendapat bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk parti itu bermuzakarah dengan Umno yang didakwanya kini berhadapan dengan kemelut kepimpinan.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menolak bermuzakarah jika gesaan itu datangnya daripada akar umbi, diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno dan Umno membuktikan parti itu ingin kembali kepada pendekatan Islam sebenar.

Tiga hari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PAS tidak harus meletakkan sebarang syarat untuk bermuzakarah jika parti itu benar-benar berminat untuk mengutamakan perpaduan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, jika para pemimpin PAS mahu berbincang dengan Umno, ia tidak seharusnya dikaitkan dengan pelbagai perkara lain termasuk kononnya permintaan untuk bermuzakarah harus datang daripada akar umbi parti.

"Akhirnya (setelah bermuzakarah) sudah tentulah perkara itu (hasil muzakarah) akan dibawa di peringkat grass root (akar umbi)", kata beliau.
.

19 July 2008

Dr. Mahathir ulas impak debat minyak, dakwaan liwat dihadapi Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas debat kenaikan harga minyak Selasa lalu dan isu dakwaan meliwat terbaru dihadapi bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tulisan terbaru blognya.

Mengenai debat, Dr. Mahathir berkata, forum tersebut yang diambil bahagian oleh Anwar dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bukan satu pertandingan yang adil.

"Shabery sangat kurang pengalaman di dalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan dalam keadaan tertekan."

"Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar," kata beliau.

Forum debat itu dianjurkan oleh Agendadaily menyentuh isu kenaikan harga minyak dan kali pertama menyaksikan kemunculan Anwar dalam siaran langsung televisyen selepas dipecat Dr. Mahathir pada September 1998.

Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.

Selepas dipecat daripada Umno dan kerajaan, Anwar berhadapan dengan dakwaan salah guna kuasa dan liwat.

Beliau menjalani hukuman kerana sabit kesalahan salah guna kuasa dan mahkamah membebaskan beliau daripada tuduhan liwat empat tahun yang lalu.

Dr. Mahathir mengulangi bahawa Anwar boleh meyakinkan terutama kepada mereka yang mahu mempercayainya. "Media Barat telah membuat kesimpulan bahawa tuduhan terhadap Anwar kali ini adalah sama dengan agenda politik yang lama yang dibuat untuk menghalangnya menjadi Perdana Menteri.

"Pada masa lalu saya adalah sasaran utama. (Perdana Menteri) Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) telah menafikan pembabitannya kali ini tetapi media Barat dan teman-teman Anwar dari Amerika tidak dapat diyakinkan dan akan terus mengaitkan Abdullah," katanya lagi.

Beliau juga menyentuh tentang elemen konspirasi taktik yang diperkatakan oleh banyak pihak dalam dakwaan liwat ini.

"Tetapi, adakah kerajaan sekarang sebegitu bodoh dan tidak mempunyai daya imaginasi untuk menggunakan "taktik" yang sama terutamanya memandang kepada sikapnya yang kritikal terhadap Kerajaan dahulu? "Pastinya ia mampu untuk menggunakan cerita lain yang lebih meyakinkan jika ia memang merancang ataupun berkonspirasi terhadap Anwar. Ada kebarangkalian bahawa ceritanya sama kerana ia benar," sentuh beliau dalam tulisannya.

Katanya, adalah mustahil kemungkinan pihak yang membuat laporan kali ini seorang yang cuba meniru."Agak mustahil. Tidak ramai yang sanggup ke hadapan dan mengumumkan sesuatu yang amat mengaibkan seperti kena liwat.

"Sebenarnya, dalam peristiwa yang lalu, sekurang-kurangnya dua orang menemui saya dan membuat pengakuan mereka telah diliwat oleh Anwar. "Tetapi mereka tidak sanggup membuat laporan atau pun menjadi saksi di mahkamah. Bagaimanapun, seorang dari mereka telah pergi menemui Imam Masjid Negara (sekarang ini ahli parlimen PAS) untuk mendapatkan nasihat dari sudut agama," tambah Dr. Mahathir.

Bekas Presiden Umno itu juga menyentuh saranan dan syor supaya si menuduh dan kena tuduh supaya bersumpah. Kata Dr. Mahathir, menimbulkan isu "qazaf" hanyalah bertujuan untuk megalihkan tumpuan.

"Ia satu ugutan terhadap sipenuduh iaitu jika dia tidak dapat mengemukakan saksi-saksi dianya akan dituduh melakukan fitnah dan akan dihukum sebat.

"Dalam al-Quran terdapat banyak penekanan terhadap keadilan. Berulang kali (sekurang-kurangnya 43 ayat) di dalam Quran menyeru "bila kamu menghukum, hukumlah dengan adil"," kata beliau.

Justeru menurut beliau, Syariah bukanlah sekadar proses membuat penghakiman dan menjatuhkan hukuman.

"Undang-undang Syariah bertujuan untuk memastikan keadilan dilaksanakan. Akan menjadi satu ketidakadilan jika orang yang menjadi mangsa dihukum (kerana gagal mengemukakan empat orang saksi) manakala orang yang melakukan penganiayaan lepas bebas.

"Ini adalah satu ketidakadilan yang ketara. Pastinya tidak mungkin undang-undang Islam mengabaikan keadilan dan cuma tumpu kepada perbicaraan dan hukuman," jelas beliau.

Katanya, amat jelas al-Quran menerima bukti-bukti bersandarkan kepada keadaan walaupun tidak disokong oleh saksi-saksi. Ini kerana katanya, Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keadilan dan proses yang diambil dalam membuat sesuatu penghakiman adalah untuk memastikan keadilan tercapai, yang tidak boleh disalahgunakan dan diperalatkan untuk menyekat keadilan.

"Kerana itu Anwar tidak harus mengelakkan diri dari diadili dengan menimbulkan soal qazaf. "Dia mungkin boleh mencuba melakukannya dengan undang-undang buatan manusia tetapi dia tidak harus menggunakan hukum Allah untuk mencapai ketidakadilan. Ia melanggar lunas Islam dan ini adalah berdosa," katanya.
.

PM: Ujian telus, Anwar perlu beri sampel DNA

PUTRAJAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar perlu memberikan sampel DNA yang boleh dibuat secara telus bagi membantu siasatan kes liwatnya yang melibatkannya, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, Anwar sendiri boleh melihat proses ujian DNA itu bagi mengetahui keputusannya.

"Kalau dia betul-betul kata tak terlibat ke apa. Bagi sampel," kata Abdullah, sambil menambah kata seolah-olah dirinya berada di tempat Anwar sekarang dengan berkata: "Buat sekarang. Saya nak tengok."

Bercakap kepada para pemberita selepas melancarkan Teksi Hydrofuel di Dataran Masjid Putrajaya, di sini, Abdullah berkata: "Dia (Anwar) kata dia tak buat apa-apa. Tengoklah. Tentu hasilnya tidak membuktikan sesuatu yang dia tidak lakukan. Itu caranya... apa susah sangat?"

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan pihak berkuasa mengambil sampel itu sekali lagi setelah sampel berkenaan diambil 10 tahun lalu semasa kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.
.

Tengku Razaleigh mahu ubahsuai, mantapkan DEB jika menang pemilihan Umno

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata beliau akan mengubahsuai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap sekiranya dipilih sebagai Presiden Umno. Tengku Razaleigh yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu Umno pada pemilihan Disember nanti berkata, dasar itu akan diperkemaskan lagi kerana ia adalah untuk kebaikan semua kaum dan bukan dikhususkan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.

“DEB yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu bukan sahaja untuk kepentingan orang Melayu, malah untuk kebaikan semua kaum di negara ini

“Nampaknya selepas pelaksanaannya, dasar berkenaan belum menunjukkan perubahan ketara kepada kemajuan ekonomi orang Melayu dan apa yang perlu kita buat ialah mengemaskan lagi pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri di Dewan Bukit Chekati, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh mengecam pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai kepentingan diri apabila menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

- Bernama
.