SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 July 2008

Altantuya: Najib bersumpah depan pimpinan UMNO seluruh negara

"Wallahi Wabilahi Watallahi’ ... Begitulah lafaz sumpah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menafikan beliau pernah bertemu dan mengenali wanita Mongolia Altantuya Shariibu.

Beliau melafazkannya di depan Ketua UMNO Bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri dari 191 bahagian UMNO di seluruh negara yang menghadiri taklimat khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra,Kuala Lumpur petang Khamis. Beberapa orang yang menghadiri taklimat itu memberitahu Agendadaily bahawa Najib melafazkannya secara spontan semasa giliran beliau berucap. Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan amanatnya.

Ia terus sambut dengan tepukan gemuruh pada hadirin. Dalam taklimat berkenaan Abdullah telah memberi penerangan tentang proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib. Mereka yang ditemui selepas taklimat berkenaan berkata lafaz sumpah Najib itu menghilangkan langsung keraguan terhadap berbagai fitnah dan dakwaan yang cuba mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dengan Altantuya. Ini termasuk akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramanian semasa sidang akhbar bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu yang kemudiannya ditarik balik pada pagi Jumaat.

“Apa lagi yang perlu kita ragu…kalau tidak …tak mungkin Datuk Seri Najib berani bersumpah begitu,” kata salah seorang dari mereka.

Selasa lalu semasa ditemui Agendadaily di bangunan Parlimen Najib berkata beliau telah melafazkan "demi Allah" tidak pernah jumpa Altantuya dan menyifatkan itu adalah pengakuan terbuka bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya. Beliau kata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak agar beliau bersumpah bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Semasa berucap pada satu majlis di Pekan Sabtu lalu Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak gentar atau takut untuk menghadapi fitnah terhadap dirinya kerana yakin kebenaran akan terbukti kelak. Katanya hanya Allah yang akan menentukan kebenarannya kelak terhadap segala fitnah yang dilemparkan kepadanya.
.

Ada pihak berpendapat tempoh peralihan terlalu lama - Muhyiddin

Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya. Oleh yang demikian, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya menurut laporan Bernama dari Tokyo. Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka. Beliau berkata sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti. Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan mengenai jawatan untuk ditandingi, Muhyiddin berkata: "Kita perlu lihat (reaksi ahli) keputusan ini (Majlis Tertinggi) dulu. Keputusan saya tidak penting."
.

'Saya sekarang Dr Muhammad Leo….'

"Saya sekarang Muhammad Leo Toyad…saya rasa ada kedamaian dalam Islam…" itulah jawapan spontan bekas Menteri Pelancongan ketika ditanya bagaimana beliau tertarik memeluk agama Islam.

Perihal Datuk Seri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah memeluk Islam bukannya perkara yang hendak diperbesarkan tetapi ceritanya yang ingin bersama Islam sejak berada dalam kabinet itu tidak pernah diberitahu pada sesiapa pun.

Beliau hanya memendam rasa dan keinginannya sejak sekian lama sehinggalah pada tarikh 17 Jun 2006 Dr. Muhammad Leo mengambil keputusan untuk di'Islam'kan oleh Iman Besar Negeri Sarawak.

Pada mulanya beliau yang masih lagi panggil oleh rakan-rakan sebagai Dr. Leo agak segan menceritakan hal itu kerana menganggap terlalu peribadi, namun akhirnya menjawab juga beberapa soalan.

Dr. Leo, sebelum ini beragama Roman Khatolik mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang sudah menjangkau umur lebih 18 tahun.

"Mereka tidak bersama saya…" jawab kepada Agendadaily semasa berbual dengannya di bangunan Parlimen ketika ditanya samada isteri dan anak-anaknya ikut sertai Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P212 Mukah mengakui tertarik dengan Islam kerana ramai dikalangan ahli keluarganya telah memeluk Islam.

Sebagai seorang baru dan tidak tahu tentang Islam, Dr. Leo kini sedang mendalami pengajian Al-Quran dan hukum hakam Islam melalui seorang ustaz.

"Saya juga seperti biasa menunaikan solat di masjid dan surau serta mengikuti pengajian di majlis ilmu yang adakan di masjid-masjid," katanya.

Disamping itu, Dr. Leo juga membaca buku-buku mengenai Islam, membaca sebutan ayat-ayat Al-Quran dengan betul dan turut menggunakan tape dan CD.

Dr. Leo dilahirkan di Mukah, Sarawak pada 11 April 1950, mendapat pendidikan awal di SRB St. Patrick Mukah pada tahun 1957 kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah di SMB St. Patrick Mukah pada tahun 1963, SMK Three Rivers Mukah pada 1968 dan SMK Tanjong Lobang Miri pada 1969.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri pada tahun 1976.

Pada tahun 1977 Dr. Leo telah memulakan tugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Sarawak dan sekali lagi kembali ke UM kemudiannya berjaya menerima Ijazah Sarjana Kesihatan Awam pada tahun 1981.

Bergiat aktif dalam politik setelah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah pada tahun1980.

Kini sebagai Ketua PBB Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah, Ketua Bahagian Limbang dan Naib Presiden PBB Pusat.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial. Beliau kini adalah Pengerusi Saberkas Sarawak sejak 1998, Penaung dan ahli seumur hidup Persatuan Melanau Miri sejak tahun 1989, Presiden Persekutuan Melanau Sarawak semenjak tahun 2004 dan Penasihat Persatuan Bolasepak Bahagian Mukah sejak tahun 1998.

Pada tahun1982, Dr. Leo telah meninggalkan tugasnya di Jabatan Kesihatan Sarawak untuk bertanding mewakili Barisan Nasional di kerusi Parlimen Mukah dan memenangi kerusi tersebut buat kali pertamanya.

Dr. Leo juga terus berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen kawasan Mukah untuk tahun-tahun pilihan raya 1986, 1990, 1995, 2004 dan 2008.

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menterinya.

.

Pakatan Rakyat fail usul tidak percaya PM, dibentang Isnin

DR. WAN Azizah Wan Ismail yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diserahkan kepada Yang Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen petang tadi. Mengiringi beliau seramai 14 anggota Parlimen dari pembangkang. Sekiranya diterima, usul tersebut kemungkinan akan dibincangkan pada Isnin depan apabila sesi Parlimen bersambung semula selepas bercuti tiga hari.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memfailkan di Parlimen usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini dan ia dijangka kemungkinan dibahaskan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Jika dibenarkan untukn perbahasan ia akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada waktu usul itu difailkan di Pejabat Speaker Dewan Rakyat pada pukul 3.45 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuaratnya di Menara Dato' Onn di sini.

Abdullah yang ditemui wartawan memberitahu, Dr. Wan Azizah bebas membawa usul apa pun dan ia tidak akan menjejaskan peralihan kuasa berkenaan.

Pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Azizah berkata, pihaknya membawa usul berkenaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang semakin teruk dan perkembangan politik tanah air.

"Pakatan Rakyat ambil langkah ini sebagai permulaan kepada perubahan dan tindakan ini dalam peraturan Parlimen. Tindakan seperti ini akan berterusan selagi negara berkeadaan begini dan takyat menderita.

"Langkah ini menunjukkan mereka bertindak dan menyuarakan suara rakyat," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Beliau mempunyai hak untuk menolak usul berkenaan.

Kata beliau, usul itu bukan untuk diundi tetapi jika dibenarkan, ia hanya akan dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat dan tiada pengundian diadakan.

Usul itu berbunyi: "Bahawa dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan pula menjelaskan, pilihan raya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik yang mengakibatkan lima negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sekali gus menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN).

Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pembohongan yang tidak bermaruah, tambah kenyataan itu.

"Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas pilihan raya umum walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikannya.

"Negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme.

"Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggungjawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara," kata kenyataan itu lagi.

Ia menambah, "perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan Kabinet beliau."

"Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi polis, peguam negara, badan kehakiman, peningkatan kadar jenayah dan gejala rasuah yang semakin membarah," katanya.

Azizah memasuki pejabat Speaker pada pukul 3.35 petang tadi dengan diiringi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Perkembangan membawa usul itu merupakan yang kedua dalam tempoh sebulan ini.

Tiga minggu lalu Parti Maju Sabah (SAPP) - parti komponen Barisan Nasional (BN) melahirkan pendirian tidak percaya kepimpinan Abdullah dan memutuskan untuk membawa usul yang serupa pada 23 Jun lalu apabila Dewan Rakyat mula bersidang selepas berehat selama tiga minggu.

Bagaimanapun usul berkenaan tidak menjadi kenyataan dan semalam SAPP mengulangi bahawa usul sedemikian akan diteruskan kelak.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada hendak menerima usul yang dibawa oleh Pakatan Rakyat hari ini.

"Saya tidak faham kenapa pembangkang bertindak demikian. Tumpuan beliau (Dr. Azizah) ialah mahu mendapatkan undi tidak percaya, bukan mahu menyampaikan suara rakyat.

"Jika alasan beliau mahu menyampaikan suara rakyat, wakil rakyat sedia ada di setiap kawasan, sebab itu kami semua berada di Parlimen untuk menjelaskan kepada rakyat," katanya beliau ketika ditemui bangunan Parlimen hari ini.

.

Najib terharu dinamakan sebagai pengganti Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib berkata, beliau sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepada beliau oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih kuasa menerajui Umno dan Barisan Nasional.

"Bukan mudah untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, tetapi demi menghormati pandangan umum beliau (Abdullah) sanggup buat begitu," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan taklimat khas bersama Presiden dan Timbalan Presiden Umno di sini hari ini.

Abdullah sebelum itu mengumumkan Najib sebagai pilihan beliau untuk mengambil alih jawatan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional apabila beliau berundur pada Jun 2010.

Najib menjadi timbalan kepada Abdullah sejak Oktober 2003.

Najib berkata, mulai hari ini, proses itu akan bermula secara terusun dan teratur mengikut tradisi Umno dan ini akan memastikan proses peralihan kuasa dibuat tanpa berlaku sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif kepada parti.

"Saya tetap menganggap dia sebagai ketua saya. Hubungan kami sangat akrab dan saya hendak melihat hubungan ini berterusan selepas peralihan kuasa itu," katanya.

Abdullah hari ini mengumumkan proses peralihan kuasa untuk menyerahkan keduadua jawatan tertinggi parti itu kepada Najib pada pertengahan 2010.

Najib berkata hubungannya dengan Abdullah amat akrab selama ini dan berharap keakraban itu akan berterusan dan berkekalan kerana Umno memerlukan sokongan padu daripada pemimpin dulu dan sekarang serta anggotanya.

"Proses kepimpinan boleh dibuat dengan cara baik tanpa membelakangkan tradisi atau sesuatu yang membawa kepada imej negatif kepada Umno atau pengundi," katanya.Beliau berkata dalam tempoh peralihan kuasa itu beliau tetap menganggap Abdullah sebagai ketuanya.

"Dalam tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri akan tentukan peranan dan perancangan, saya tetap menganggap beliau sebagai ketua saya," katanya.

Najib turut mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini dan mengharapkan sokongan padu daripada anggota parti.

"Saya minta supaya sokongan padu diberikan kepada pencalonan Perdana Menteri sebagai presiden parti dan saya rayu supaya pelan peralihan ini diterima parti kerana suara parti yang akan menentukan," katanya.
.