SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 July 2008

Ada pihak berpendapat tempoh peralihan terlalu lama - Muhyiddin

Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya. Oleh yang demikian, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya menurut laporan Bernama dari Tokyo. Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka. Beliau berkata sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti. Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan mengenai jawatan untuk ditandingi, Muhyiddin berkata: "Kita perlu lihat (reaksi ahli) keputusan ini (Majlis Tertinggi) dulu. Keputusan saya tidak penting."
.

'Saya sekarang Dr Muhammad Leo….'

"Saya sekarang Muhammad Leo Toyad…saya rasa ada kedamaian dalam Islam…" itulah jawapan spontan bekas Menteri Pelancongan ketika ditanya bagaimana beliau tertarik memeluk agama Islam.

Perihal Datuk Seri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah memeluk Islam bukannya perkara yang hendak diperbesarkan tetapi ceritanya yang ingin bersama Islam sejak berada dalam kabinet itu tidak pernah diberitahu pada sesiapa pun.

Beliau hanya memendam rasa dan keinginannya sejak sekian lama sehinggalah pada tarikh 17 Jun 2006 Dr. Muhammad Leo mengambil keputusan untuk di'Islam'kan oleh Iman Besar Negeri Sarawak.

Pada mulanya beliau yang masih lagi panggil oleh rakan-rakan sebagai Dr. Leo agak segan menceritakan hal itu kerana menganggap terlalu peribadi, namun akhirnya menjawab juga beberapa soalan.

Dr. Leo, sebelum ini beragama Roman Khatolik mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang sudah menjangkau umur lebih 18 tahun.

"Mereka tidak bersama saya…" jawab kepada Agendadaily semasa berbual dengannya di bangunan Parlimen ketika ditanya samada isteri dan anak-anaknya ikut sertai Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P212 Mukah mengakui tertarik dengan Islam kerana ramai dikalangan ahli keluarganya telah memeluk Islam.

Sebagai seorang baru dan tidak tahu tentang Islam, Dr. Leo kini sedang mendalami pengajian Al-Quran dan hukum hakam Islam melalui seorang ustaz.

"Saya juga seperti biasa menunaikan solat di masjid dan surau serta mengikuti pengajian di majlis ilmu yang adakan di masjid-masjid," katanya.

Disamping itu, Dr. Leo juga membaca buku-buku mengenai Islam, membaca sebutan ayat-ayat Al-Quran dengan betul dan turut menggunakan tape dan CD.

Dr. Leo dilahirkan di Mukah, Sarawak pada 11 April 1950, mendapat pendidikan awal di SRB St. Patrick Mukah pada tahun 1957 kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah di SMB St. Patrick Mukah pada tahun 1963, SMK Three Rivers Mukah pada 1968 dan SMK Tanjong Lobang Miri pada 1969.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri pada tahun 1976.

Pada tahun 1977 Dr. Leo telah memulakan tugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Sarawak dan sekali lagi kembali ke UM kemudiannya berjaya menerima Ijazah Sarjana Kesihatan Awam pada tahun 1981.

Bergiat aktif dalam politik setelah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah pada tahun1980.

Kini sebagai Ketua PBB Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah, Ketua Bahagian Limbang dan Naib Presiden PBB Pusat.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial. Beliau kini adalah Pengerusi Saberkas Sarawak sejak 1998, Penaung dan ahli seumur hidup Persatuan Melanau Miri sejak tahun 1989, Presiden Persekutuan Melanau Sarawak semenjak tahun 2004 dan Penasihat Persatuan Bolasepak Bahagian Mukah sejak tahun 1998.

Pada tahun1982, Dr. Leo telah meninggalkan tugasnya di Jabatan Kesihatan Sarawak untuk bertanding mewakili Barisan Nasional di kerusi Parlimen Mukah dan memenangi kerusi tersebut buat kali pertamanya.

Dr. Leo juga terus berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen kawasan Mukah untuk tahun-tahun pilihan raya 1986, 1990, 1995, 2004 dan 2008.

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menterinya.

.

Pakatan Rakyat fail usul tidak percaya PM, dibentang Isnin

DR. WAN Azizah Wan Ismail yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diserahkan kepada Yang Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen petang tadi. Mengiringi beliau seramai 14 anggota Parlimen dari pembangkang. Sekiranya diterima, usul tersebut kemungkinan akan dibincangkan pada Isnin depan apabila sesi Parlimen bersambung semula selepas bercuti tiga hari.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memfailkan di Parlimen usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini dan ia dijangka kemungkinan dibahaskan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Jika dibenarkan untukn perbahasan ia akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada waktu usul itu difailkan di Pejabat Speaker Dewan Rakyat pada pukul 3.45 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuaratnya di Menara Dato' Onn di sini.

Abdullah yang ditemui wartawan memberitahu, Dr. Wan Azizah bebas membawa usul apa pun dan ia tidak akan menjejaskan peralihan kuasa berkenaan.

Pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Azizah berkata, pihaknya membawa usul berkenaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang semakin teruk dan perkembangan politik tanah air.

"Pakatan Rakyat ambil langkah ini sebagai permulaan kepada perubahan dan tindakan ini dalam peraturan Parlimen. Tindakan seperti ini akan berterusan selagi negara berkeadaan begini dan takyat menderita.

"Langkah ini menunjukkan mereka bertindak dan menyuarakan suara rakyat," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Beliau mempunyai hak untuk menolak usul berkenaan.

Kata beliau, usul itu bukan untuk diundi tetapi jika dibenarkan, ia hanya akan dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat dan tiada pengundian diadakan.

Usul itu berbunyi: "Bahawa dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan pula menjelaskan, pilihan raya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik yang mengakibatkan lima negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sekali gus menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN).

Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pembohongan yang tidak bermaruah, tambah kenyataan itu.

"Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas pilihan raya umum walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikannya.

"Negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme.

"Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggungjawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara," kata kenyataan itu lagi.

Ia menambah, "perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan Kabinet beliau."

"Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi polis, peguam negara, badan kehakiman, peningkatan kadar jenayah dan gejala rasuah yang semakin membarah," katanya.

Azizah memasuki pejabat Speaker pada pukul 3.35 petang tadi dengan diiringi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Perkembangan membawa usul itu merupakan yang kedua dalam tempoh sebulan ini.

Tiga minggu lalu Parti Maju Sabah (SAPP) - parti komponen Barisan Nasional (BN) melahirkan pendirian tidak percaya kepimpinan Abdullah dan memutuskan untuk membawa usul yang serupa pada 23 Jun lalu apabila Dewan Rakyat mula bersidang selepas berehat selama tiga minggu.

Bagaimanapun usul berkenaan tidak menjadi kenyataan dan semalam SAPP mengulangi bahawa usul sedemikian akan diteruskan kelak.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada hendak menerima usul yang dibawa oleh Pakatan Rakyat hari ini.

"Saya tidak faham kenapa pembangkang bertindak demikian. Tumpuan beliau (Dr. Azizah) ialah mahu mendapatkan undi tidak percaya, bukan mahu menyampaikan suara rakyat.

"Jika alasan beliau mahu menyampaikan suara rakyat, wakil rakyat sedia ada di setiap kawasan, sebab itu kami semua berada di Parlimen untuk menjelaskan kepada rakyat," katanya beliau ketika ditemui bangunan Parlimen hari ini.

.

Najib terharu dinamakan sebagai pengganti Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib berkata, beliau sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepada beliau oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih kuasa menerajui Umno dan Barisan Nasional.

"Bukan mudah untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, tetapi demi menghormati pandangan umum beliau (Abdullah) sanggup buat begitu," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan taklimat khas bersama Presiden dan Timbalan Presiden Umno di sini hari ini.

Abdullah sebelum itu mengumumkan Najib sebagai pilihan beliau untuk mengambil alih jawatan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional apabila beliau berundur pada Jun 2010.

Najib menjadi timbalan kepada Abdullah sejak Oktober 2003.

Najib berkata, mulai hari ini, proses itu akan bermula secara terusun dan teratur mengikut tradisi Umno dan ini akan memastikan proses peralihan kuasa dibuat tanpa berlaku sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif kepada parti.

"Saya tetap menganggap dia sebagai ketua saya. Hubungan kami sangat akrab dan saya hendak melihat hubungan ini berterusan selepas peralihan kuasa itu," katanya.

Abdullah hari ini mengumumkan proses peralihan kuasa untuk menyerahkan keduadua jawatan tertinggi parti itu kepada Najib pada pertengahan 2010.

Najib berkata hubungannya dengan Abdullah amat akrab selama ini dan berharap keakraban itu akan berterusan dan berkekalan kerana Umno memerlukan sokongan padu daripada pemimpin dulu dan sekarang serta anggotanya.

"Proses kepimpinan boleh dibuat dengan cara baik tanpa membelakangkan tradisi atau sesuatu yang membawa kepada imej negatif kepada Umno atau pengundi," katanya.Beliau berkata dalam tempoh peralihan kuasa itu beliau tetap menganggap Abdullah sebagai ketuanya.

"Dalam tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri akan tentukan peranan dan perancangan, saya tetap menganggap beliau sebagai ketua saya," katanya.

Najib turut mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini dan mengharapkan sokongan padu daripada anggota parti.

"Saya minta supaya sokongan padu diberikan kepada pencalonan Perdana Menteri sebagai presiden parti dan saya rayu supaya pelan peralihan ini diterima parti kerana suara parti yang akan menentukan," katanya.
.

10 July 2008

Transkrip sidang akhbar Abdullah ketika umumkan peralihan kuasa

Transkrip penuh sidang media Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan peralihan kuasa dalam Umno dan Barisan Nasional daripada beliau kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Pada hari ini kita adakan mesyuart Majlis Tertinggi seperti biasa. Dan lepas itu pula diadakan satu sesi taklimat antara saya dan Datuk Seri Najib dengan pemimpin parti Umno peringkat negeri, exco Pemuda, Wanita, Puteri dan ketua-ketua bahagian.

Dalam mesyuarat MT yang diadakan itu selain daripada menimbang cadangan yang telah dikemukan oleh jawatankuasa pengurusan berkaitan hal parti saya tadi juga mengambil kesempatan itu untuk memaklumkan kepada ahli MT bahawa saya telah sampai pakatan dan telah maklumkan kepada Najib iaitu saya tidak akan memimpin parti BN dan Umno dalam pilihan raya akan datang, pilihan raya ke-13 dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu ditentukan.

Dan sepertimana saya maklumkan pada MT dia bermula dengan apa yang saya umumkan pada hari ini iaitu saya mencadang untuk menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan parti dalam pertengahan tahun 2010. Dan dalam jangka sama itu saya akan bertanding untuk jawatan presiden parti dan saya telah pun nyatakan pada Najib bahawa saya inginkan supaya beliau dapat terus menjadi timbalan kepada saya.

Saya menghargai persahabatan dan kerjasama dengan beliau, persefahaman yang baik pada peringkat cukup tertinggi mengenai isu-isu yang kami sama-sama hadapi dalam parti dan juga kerajaan dan juga kerja-kerja yang telah kami laksanakan bersama, kami menganggotai banyak jawatankuasa Kabinat berkaitan isu-isu penting dan Najib juga telah jalankan tugas yang lain dengan mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa yang lain yang telah saya serahkan pada beliau. Saya dapati hubungan itu adalah baik dan tujuan saya adalah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan pelaksanaan program-program yang banyak dan janji-janji pilihan raya yang perlu dilaksanakan.

Maka saya tentu sekali rasa amat senang hati jika sekiranya timbalan pada waktu itu ialah Najib, dan sampailah pada tarikh saya akan serahkan jawatan saya padanya. Inilah penghargaan saya kepadanya. Saya pilih beliau untuk pengganti saya kerana saya ingin dan percaya beliau dapat memimpin parti dengan baik. Sementara itu kami berdua akan berusaha tingkatkan kekuatan parti kembalikan parti pada keududukan yang dapat sokongan yang padu daripada rakyat, dengan bilangan yang ramai lebih banyak lagi daripada dahulu waktu kami menghadapi pilihan raya dan di samping itu terus melaksanakan program lain yang antara lain saya amat berhasrat untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk basmi kemiskinan tegar di samping laksana program yang lain.

Saya amat menghargai juga kesediaan Najib menerima cadangan saya itu dan tadi saya telah memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang datang tadi, yang ada di Dewan Merdeka mengenai perkara ini dan apa yang saya umumkan itu mendapat restu yang baik yang telah mereka tunjukkan dengan standing ovation yang telah mereka berikan kepada saya. Dan dalam kedua-dua pertemuan itu MT dan juga pada pertemuan dengan ketua-ketua parti Najib juga telah memberi ucapannya, responsnya kepada apa yang saya telah maklumkan kepada MT dan kepimpinan Umno di Dewan merdeka.

Sebelum anda kemukakan apa-apa soalan, ada baiknya Najib buat kenyataan berkaitan perkara ini.

Ulasan Najib terhadap pengumuman itu:

Seperti yang amat Datuk Seri Abdullah, Presiden Umno telah nyatakan bahawa beliau telah umumkan bahawa hari ini bermula proses peralihan kuasa secaa tersusun dan teratur mengikut tradisi Umno di mana yang amat berhormat telah memberi keyakinan pada saya untuk menjadi penggantinya.

Sesungguhnya saya amat rasa terharu atas kerelaan beliau lepaskan jawatannya mengikut jadual yang telah disebutkan tadi. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk lepaskan jawatan saebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tetapi demi menghargai pandangan umum belau sanggup berbaut demikian dan saya rasa amat terharu dan di samping itu perasaan saya bertambah lagi apabila beliau beri kepercayaan pada saya.

Keputusan ini melambangkan dalam parti kita soal succession, soal proses peralihan kepimpinan boleh dibuat dengna cara yang baik tanpa membelakangkan tradisi atau pun membuat sesuatu yng boleh membawa kepada imej yang negatif kepada Umno atau mana-mana pemimpin. Dalam tempoh peralihan kuasa ini beliau akan tentukan peranan dan pembahagian kuasa yang tertentu dan saya tetap akan menganggap beliau sebagai ketua saya. Saya juga telah nyatakan pada perhimpunan itu supaya sokongan yang padu diberikan kepada pencalonan Datuk Seri Abdullah sebagai Presiden parti dan saya juga merayu supaya pelan peralihan ini diterima oleh parti kerana suara parti akhirnya akan tentukannya. Saya juga nyatakan kesediaan saya tawarkan diri bertanding jawatan sebagai Timbalan Presiden dan berharap ahli parti akan merima saya sebagai timbalan presiden, saya turut nyatanya hubungan saya dengan Abdullah sangat akrab dan harap ia diteruskan selama dia jadi Perdana Menteri dan selepas agar hubungan kami berdua terus berkekalan seperti sedia kala kerana Umno perlu sokongan padu dari pemimpin dahulu dan sekarang.

Sesi soal jawab:

1. Ditanya mengapa pertengahan 2010 dipilih untuk peralihan kuasa:

Tak payah tanyalah. Saya ingat dalam masa yang berkaitan dari sekarang hingga selepas pemilihan parti masa itu cukuplah untuk saya laksanakan pelbagai projek dan apa juga rancangan yang diaturkan bersama-sama dengan Najib. Begitu juga dengan parti kita boleh sama-sama kukuhkan parti dan keduanya tentulah nanti Najib perlu masa untuk membuat persediaan setelah mengambil alih untuk menghadapi pilihan raya 2013 atau 2012 atau pada bila-bila masa tetapi sesuai bagi pilihan raya itu ialah pada 2013 perlu diadakan pilihan raya yang ke-13, kalaupun hendak diawalkan itu saya tidak boleh katakan, tetapi 2013 ialah tahun terakhir hendak diadakan pilihan raya.

2: Adakah nanti sempat untuk laksanakan janji untuk memulihkan sistem perundangan negara dan Majlis Mencegah Rasuah:

"Insya-Allah akan dapat dibuat. Saya janjikan banyak benda yang perlu saya laksanakan.

3. Mengapa diumumkan sekarang?:

"Saya ingat adalah penting proses diumumkan sekarang kerana ia mengambil masa. Dalam masa ini saya juga akan bagi peluang kepada Najib untuk hadiri forum dan mesyuarat antarabangsa yang lazimnya saya hadir mewakili kerajaan untuk mula berinteraksi dengan pemimpin negara lain dan juga kesempatan beliau untuk jalankan tugas dari masa ke semasa.

4. Adakah jawatan presiden dan timbalan akan dipertandingkan:

"Ya, sesiapa pun boleh bertanding.

5. Adakah keputusan ini akan diberitahu kepada Perdana Menteri Australia nanti:

"Buat apa saya hendak buat begitu. Saya tidak percaya anda tanya soalan itu.

6. Apakah penerimaan kepada pengumuman tadi:

"Ada yang beri nasihat dan pandangan tetapi akhirnya itulah keputusan yang diberikan dan semasa kami berdua memaklumkan perkara itu kita mendapat restu, standing ovation, dan saya anggap mereka terima. Mereka juga akan turun ke bawah untuk beritahu, tentulah akan ditanya ahi apa hal apa yang berlaku, harapan kita mereka akan terangkan dan saya percaya mereka akan dapat terangkan persetujuan saya dan Najib itu.

7. Adakah sebarang keputusan dibuat agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi?:

"Tidak sebut, tetapi apa yang berlaku saya telah memulakan kenyataan mengenai perkara ini dan Najib kemudian juga beri kenyataan dan kalau kedua-dua kami dah setuju begitu saya nak bertanding jawatan presiden dan Najib timbalan presiden dan itulah kedudukannya. Walau bagaimanapun ia terpulang siapa nak buat interpretasi.

8. Najib didakwa terlibat dengan kes Altantuya. Adakah ini akan memberi kesan pada rancangan ini:

"Tidak saya tidak fikir begitu kerana ia adalah dua isu berbeza dan ini adalah keputusan di peringkat parti dan Najib adalah pengganti yang baik.

9. Datin Seri Wan Azizah tadi di Parlimen hantar notis tidak percaya:

"Itu adalah hak dia, saya tak ada di Dewan tadi, tetapi tidak mengapa kita dengar dulu apa keputusan Speaker.

10. Datuk Seri tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Tidakkah Datuk Seri rasa sedih:

"Sebenarnya saya rasa sedih sedikit. Tetapi lebih dari itu saya merasakan satu kejayaan kerana saya telah dapat mengambil satu tindakan yang terutamanya telah diterima baik. Itulah yang kita kehendaki, saya berpendapat bahawa peralihan kepimpinan itu mesti dijalankan dalam proses yang baik dan disenangi parti dengan cara ini yang mengganti akan dapat menjadi pemimpin kepada parti dan bukan setengah parti dan geng dia. Kalau jadi pertandingan atau pertarungan, biasa berlaku jadi lepas itu siapa menang ada rasa terkilan, susah sikit dengan kumpulan yang kalah disebab berlaku sesuatu perkara masa pemilihan maklumlah, kalau pemilihan yang melibatkan pertandingan akan berlaku perpecahan pada parti dan ini juga akan merungsingkan ahli Umno sendiri, apa yang hendak mereka buat. Mereka rasa tak senang, jadi dengan cara begini jadi satu approach yang paling baik, parti tak berkocak semua berjalan baik, peralihan berlaku, kepimpinan terus berjalan tak payah mengabil masa perbaiki parti, proses semua jalan baik. Dari segi itu saya rasa apa yang dapat saya lakukan adalah sesuatu yang mensyukuri saya, kerana saya pilih seseorang yang dapat pimpin parti dengan baik.

10. Adakah keputusan ini diambil kerana tekanan:

"Ini adalah wajar. Kalau ikut tekanan sebelum Disember, ada yang suruh tunggu sampai complete, macam-macam pandangan ada yang suruh tunggu hingga lepas pilihan raya akan datang, tebus balik kekalahan, macam-macam pandangan, tetapi apa yang penting ialah perasaan saya dalam hal ini dan saya ras saya mesti serahkan jawatan saya kepada pengganti saya maka inilah yang saya pilih.

11. Ini kemenangan bagi pembangkang:

"Pembangkang akan buat apa saja untuk pastikan saya letak jawatan secepat mungkin, malah mereka mahu hapuskn BN, itu yang mereka buat, seolah-olah amalan demokrasi yang ada dengan Parlimen dan pilihan raya yang kita ada tidak cukup bagi mereka. Tamak lagi masih nak buat itu dan nak buat ini tak mengendahkan keputusan. Kita kena beri perhatian kepada menjayakan janji yang telah kita berikan pada rakyat, itu yang penting, bukan nak libatkan persengketaan. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan tanpa dipesongkan dengan kegiatan lain yang dengan itu mengurangkan kesungguhan kita laksanakan projek kita.

12. Dengan ini, apakah harapan Datuk Seri tentang keputusan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden:

"Harapan? Tak payahlah, biarlah dia buat keputusan sendiri.

13. Apakah harapan Datuk Seri tentang projek yang akan dilaksanakan:

"Selepas saya meletakkan jawatan saya percaya, projek yang baik akan dilaksanakan, tetapi kalau tidak pun saya tidak akan memaksa. Apabila orang lain mengambil alih, dia akan akan membuat keputusan, tetapi saya percaya apa yang baik akan diteruskan. Ini tidak bermakna projek yang saya laksanakan tidak boleh ditambah nilai tetapi ini terpulang kepada kebijaksanaan pengganti saya.

14. Ada kemungkinan Datuk Seri ubah fikiran:

"Tidak. Saya telah buat keputusan."

.