ABDULLAH Ahmad Badawi (kanan) bersama Mohd. Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi. KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
"Saya dapati hubungan itu adalah baik. Niat dan tujuan saya ialah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan program-program yang banyak dirancang termasuk janji-janji pilihan raya.
Dalam tempoh peralihan itu, Abdullah berkata mereka berdua akan berusaha meningkatkan kekuatan parti dan mengembalikan semula parti kepada kedudukan yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat dengan bilangan yang lebih ramai daripada dahulu iaitu sewaktu parti menghadapi pilihan raya dan melaksanakan program-program yang lain.
Abdullah juga menghargai kesediaan Najib untuk menerima cadangannya itu yang mendapat restu baik daripada pemimpin Umno pada pertemuan tertutup hari ini iaitu dengan mendapat tepukan dan "standing ovation" dari mereka.
"Dalam tempoh itu juga segala perancangan termasuk pembaharuan dalam perundangan dan juga Suruhanjaya Anti Rasuah juga, InsyaAllah akan selesai dilaksanakan," katanya. Beliau berkata timbalannya itu juga memerlukan masa untuk membuat persediaan mengambil alih untuk pilihan raya seterusnya iaitu 2012 atau 2013.
Persidangan akhbar yang turut dihadiri Najib itu berlangsung dalam suasana ceria dan selepas selesai membuat pengumuman Abdullah telah meminta Najib untuk bercakap kepada pemberita sebelum mereka menjawab pertanyaan-pertanyaan. Abdullah berkata kerjasama dan persefahaman baik antara beliau dengan Najib mengenai isu yang sama-sama dihadapi dalam parti dan kerajaan adalah dihargai. Katanya mereka banyak menganggotai mesyuarat jawatankuasa kabinet berkaitan isu-isu penting dan Najib juga menjalankan tugas-tugas lain dan mempengerusikan jawatankuasa lain yang ditugaskan kepada Najib.
"Kita harap perkara ini disampaikan ke peringkat anggota akar umbi yang tentunya bertanya apa yang berlaku dan apa yang terjadi.
Mengenai Najib yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, beliau berkata ia merupakan suatu perkara yang lain dan tidak berkaitan dengan keputusan parti pada hari ini.
Pemberita juga bertanya kenapa beliau dilihat tidak menunjukkan sebarang emosi dan tidak dilihat sedih mengenai keputusannya itu, secara spontan dan berseloroh, Abdullah membuat reaksi seperti orang menangis dan tergelak kemudiannya bersama-sama Najib dan beberapa pemimpin Umno yang turut hadir pada sidang akhbar itu.
"Biasanya kalau jadi pertarungan atau pertandingan, biasa berlaku sesiapa yang menang ada rasa terkilan, susah sikit dengan kumpulan yang kalah.
Ditanya sama ada rancangan peralihan kuasa itu dibuat atas desakan pihak tertentu, Abdullah berkata ia adalah keputusan yang wajar dan jika ada tekanan ia sudah lama berlaku dan pelbagai pandangan yang diberikan mengenainya.
Ditanya mengenai harapan beliau kepada Tengku Razaleigh Hamzah selepas pengumuman hari ini, Abdullah menyerahkan kepada Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu untuk membuat keputusannya sendiri. Abdullah juga berkata beliau tidak akan mendesak projek-projek yang dirancang oleh beliau dilaksanakan kerana apabila seseorang lain memimpin kerajaan, tentunya beliau mempunyai caranya yang sendiri dan mengikut apa yang difikirnya terbaik.
Pada suatu ketika sebelum menerima soalan dari pemberita, Abdullah juga berganjak sedikit mengalih kerusi yang didudukinya untuk memberikan ruang kepada Najib untuk memberikan kenyataan kepada pemberita mengenai peralihan kuasa.
- BERNAMA

