SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

26 June 2008

MT terima keahlian Ezam ke dalam Umno

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) petang ini menerima kemasukan semula bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor. Dua lagi bekas ahli PKR, iaitu Anuar Shaari yang juga bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan dan bekas Ketua Wanita Sabah, Saidatul Said Keruak juga diterima masuk ke dalam Umno.

Bagaimanapun, ketiga-tiga meraka tidak dibenarkan bertanding jawatan dalam parti. Mesyuarat lebih empat jam itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Satu penipuan – Najib ‘Akuan sumpah Raja Petra bertujuan cemar imej politik saya’

KUALA LUMPUR 25 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan akuan bersumpah yang mengaitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isterinya telah memberi keterangan kepada pihak polis yang membuat siasatan mengenai akuan bersumpah penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Beliau sendiri bersedia untuk memberi kenyataan kepada polis berhubung siasatan perakuan tersebut yang diumpamakannya sebagai ‘akuan sumpah sampah’.

“Saya mengalu-alukan siasatan polis serta berharap siasatan itu dapat disiapkan dengan cepat.
.
“Saya percaya semua yang terlibat akan memberi kenyataan kepada pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Raja Petra, 58, yang pernah mengendalikan laman web menyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memfailkan akuan bersumpah di Mahkamah Tinggi pada 18 Jun lalu yang menamakan tiga individu termasuk Rosmah sebagai orang yang berada di tempat kejadian Altantuya dibunuh pada 2006.

Akuan itu turut menyebut Perdana Menteri menerima laporan daripada perisikan tentera mengenai apa yang didedahkan Raja Petra tentang kes Altantuya.

Bagaimanapun semalam, Abdullah menafikan beliau ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan itu.

Sambil menjelaskan apa yang dilakukan oleh Raja Petra itu tidak betul, Abdullah menegaskan: “Perbuatan itu tidak boleh diterima.”

Pada Mei lalu, pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya kerana menerbitkan artikel berkaitan pembunuhan Altantuya.

Perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam baru selesai di peringkat pendakwaan Isnin lalu selepas mahkamah bersidang selama 124 hari.

Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan hasutan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurmala Salim.

Mengikut pertuduhan, Raja Petra didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk Let’s Send The Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web Malaysia Today.

Raja Petra didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 6 Oktober depan.

Najib percaya perakuan bersumpah Raja Petra yang difailkan di Kuala Lumpur minggu lalu merupakan satu pembohongan untuk mencemarkan kerjaya politiknya.

“Semua ini adalah satu penipuan serta rekaan, ia juga merupakan perakuan sumpah sampah... saya tidak tahu mengapa ia diadakan-adakan.

“Kamu perlu tanya dia (Raja Petra), bukan saya, mengapa perkara ini diada-adakan. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah ia bertujuan untuk mencemarkan kerjaya serta imej politik saya,” ujarnya.

Ditanya sekali lagi mengenai punca perakuan bersumpah itu diada-adakan, Najib mengulangi kenyataannya bahawa ia merupakan satu tindakan politik.
.

Petang ini, MT Umno bincang syor retreat, BN sentuh SAPP?

(Mutakhir) PETALING JAYA: Kedua-dua Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi membincangkan pelbagai isu semasa yang menyentuh kedua-dua parti berkenaan-khususnya yang berkaitan dengan Parti Maju Sabah (SAPP) yang 'memberontak' minggu lalu.

Kedua-dua mesyuarat berkenaan diadakan sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Parlimen pada sebelah pagi.

Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat MT pada pukul 3 petang dan disusuli dengan pertemuan BN.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan pertemuan MT Umno.

Mesyuarat MT Umno kali ini dijangka membincangkan pelan pemulihan parti itu susulan pertemuan retreat yang telah diadakan di Shah Alam awal bulan ini.

Ketika ditemui mStar Online di pejabatnya di Putrajaya, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, beliau yakin bahawa perkara yang telah dibincangkan dalam retreat akan dibawa mesyuarat MT kali ini.

"Ada rumusan, Presiden (Abdullah) akan umumkan. Saya tidak boleh dedahkan," kata beliau.
Sehingga kini hasil mesyuarat itu dirahsiakan.

Bagaimanapun Muhammad menjelaskan, pertemuan retreat telah menyentuh banyak aspek, antaranya usaha pemulihan dari segi organisasi, perjuangan, peranan dan arah tuju.

Ketika ditanya sama ada syor yang dibincangkan dalam pertemuan retreat itu akan menjadi pelan induk proses pemulihan, Muhammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata: "Mungkin, mungkin, kita kena tunggu keputusan mesyuarat MT."Kepada soalan sama ada Umno juga akan melakukan proses penjenamaan semula seperti parti komponen BN yang lain, beliau berkata, "boleh jadi, ada kemungkinan."

"Tunggu sehingga mereka mutamadkan perkara itu," katanya.

Jelas beliau, langkah yang diambil itu merupakan tindakan induk pemulihan peringkat MT.
"Tetapi di peringkat lain iaitu negeri, bahagian dan cawangan akan ada cara sendiri. Yang induk bercakap (menyentuh) secara umum, di peringkat bandar, kampung, felda, nelayan, mereka perlu datang dengan keputusan yang mereka boleh buat sendiri," katanya.

Ketika mengulas lanjut usaha memulihkan Umno, Muhammad memberitahu, parti itu perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi era lima dekad akan datang.

"Lima puluh tahun (yang lalu) telah dilaksanakan dengan berjaya oleh Umno, BN dan kerajaan. Lima puluh tahun pertama lebih kepada pembangunan fizikal negara.

"Tetapi kini Umno perlu bercakap mengenai pembangunan modal insan di semua sektor, ketahanan, ketelusan, ada macam-macam suruhanjaya untuk memperbaiki keadaan, rangka pemikiran perdana perlu diberi tumpuan. Ini yang ditekankan oleh Pak Lah (Abdullah)," katanya.

Dalam pada itu, Dewan Tertinggi BN pula dijangka menentukan bentuk tindakan terhadap SAPP berikutan hasrat parti itu untuk menyokong atau membawa sebarang undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan BN berkata, jawatakuasa itu turut menggariskan beberapa cadangan kepada Dewan Tertinggi BN mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap SAPP.Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada wakil SAPP akan dijemput ataupun sebaliknya.

Pada Sabtu lalu, SAPP menyatakan bahawa ia bersedia menghadapi apa juga tindakan berikutan keputusan dewan tertinggi BN.

Datuk Anifah Aman, yang akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Sabah ketika ditemui malam tadi memberitahu mStar Online bahawa pihaknya berharap Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee diberi peluang untuk menjelaskan pendirian pihaknya.

"Kita berharap Datuk Yong diberikan kesempatan untuk menjelaskan kedudukannya. Beliau tidak menyatakan hendak keluar BN, mungkin beliau telah menilai semula kenyataannya dan melainkan jika masih mahu kekal dengan pendiriannya, maka baru diambil tindakan," katanya.

Jawatankuasa Pengurusan BN ada syor khusus buat SAPP

Jawatankuasa Pengurusan BN akan mencadangkan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) syor yang khusus berhubung pendirian Parti Maju Sabah (SAPP) yang telah menyatakan pendirian rasmi hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri. Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, syor berkenaan adalah antara keputusan yang dicapai oleh Jawatankuasa Pengurusan itu setelah membincangkannya pada mesyuarat hari Selasa untuk dipertimbangkang oleh Dewan Tertinggi parti itu. Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mendedahkan syor berkenaan kerana ia perlu dibawa kepada Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu.

“Saya tidak dapat mengumumkan apa syornya tetapi syor yang specific telah pun kita buat dan akan dijadikan sebagai cadangan kepada Dewan Tertinggi untuk diputuskan dalam sedikit masa nanti,” katanya. Beliau berkata demikian kepada para pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BN yang dihadiri oleh Ketua-Ketua Parti Komponen BN di bangunan Parlimen.

Menurut Najib dalam dalam isu berkaitan dengan SAPP, jawatankuasa mencadangkan agar kerajaan memberikan perhatian serius dan keutamaan yang tinggi terhadap semua permasalahan rakyat yang dibangkitkan.
.
"Apa-apa isu yang dibangkitkan yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat sama ada di Sabah, Sarawak ataupun Semenanjung hendaklah diberi perhatian yang serius dan tindakan hendaklah diambil supaya rakyat berasa yakin dan puas hati terhadap pentadbiran Barisan Nasional," katanya.
.
Ditanya adakah jawatankuasa mencadangkan surat tunjuk sebab diberikan kepada SAPP, Najib berkata, beliau tidak akan menyatakan apakah keputusan jawatankuasa itu tetapi syor mengenainya akan dibuat kepada Dewan Tertinggi BN. Menjelaskan mengenai perkara-perkara yang turut dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan ialah mengenai cadangan perlantikan dan penyusunan semula Pengerusi-Pengerusi Penyelaras BN peringkat Negeri dan Bahagian.

“Kita juga telah mengambil langkah selepas pilihan raya kedua belas di mana keputusannya tidaklah begitu menggalakkan. Maka usaha untuk melakukan pengukuhan kepada Barisan Nasional dan setiap parti komponen BN merupakan usaha yang akan diberi keutamaan.

“Dan beberapa kumpulan kerja antara parti-parti komponen Barisan Nasional telah pun ditubuhkan dan kerja sedang diusahakan semua kumpulan tersebut,” kata beliau.

Isu agama jangan diuji, titah Sultan Perak

Sultan Perak Sultan Azlan Shah Selasa mengingatkan rakyat supaya isu berkaitan agama tidak diuji dan dicabar hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan. Menurut baginda, ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara boleh tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.

"Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersenda, selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi," titah baginda ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh.
.
Baginda turut mengingatkan anggota Dewan Undangan Negeri Perak supaya memelihara kemuliaan dewan menerusi perkataan, perbuatan serta tingkah laku selain cara dan adab berpakaian bagi menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurniaan budaya dan ketinggian tamadun. Bernama melaporkan Sultan Azlan Shah bertitah Islam adalah agama yang diberikan pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara dan agama Islam mempunyai talian serta ikatan yang istimewa dan lama dengan penduduk di bumi ini. Titahnya Islam adalah tunjang utama dalam pembentukan minda dan budaya khususnya dalam kalangan orang Melayu di bumi ini hinggakan umat Islam dan orang Melayu itu sinonim dan tidak boleh dipisahkan.

"Islam diterima dan diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan dalam negara ini sewaktu perjanjian merdeka sedang dirintis," titah baginda. Sultan Azlan Shah turut bertitah kerajaan negeri dan rakyat perlu segera melakukan pengubahsuaian dengan mengamalkan langkah perbelanjaan berhemah, bijaksana dan berhemah kerana krisis harga minyak berlaku di seluruh dunia dan bukan terbatas di negara ini sahaja. Titahnya krisis yang dihadapi itu adalah krisis global, tidak ada satu pihak yang harus dipersalahkan serta tidak ada satu pihak yang boleh mengatasinya secara sendirian.

"Dalam menghadapi krisis ini para pemimpin harus bersatu, mencari kata sepakat untuk meringkankan tanggungan rakyat. Kerjasama pelbagai pihak, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, pihak swasta, badan perniagaan dan rakyat jelata amat perlu dijalin supaya negara dan rakyat tidak akan sengsara," titah baginda.

Sultan Azlan Shah juga mengingatkan kerajaan negeri bahawa segala kegiatan ekonomi baik berbentuk pengembangan atau yang baru perlulah mewujudkan peluang kerja kepada rakyat tempatan. "Pengwujudan kerja kepada rakyat tempatan hendaklah menjadi salah satu pra syarat ketika meluluskan pelaburan dan sebarang pengembangan atau aktiviti baru ekonomi," titahnya. Baginda bertitah harga timah yang melambung tinggi pada masa sekarang meletakkan industri itu kembali berdaya maju dan minat untuk melabur dalam industri perlombongan timbul kembali.

"Beta perlu mengingatkan bahawa kerajaan beta akan menilai potensi sektor perlombongan bijih timah secara teliti dan berhati-hati. Kerajaan beta tidak akan tergopoh-gapah, sebaliknya kajian mendalam akan dilakukan dari segi kos-faedah supaya kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat sentiasa diutamakan," titah baginda. Titahnya kerajaan negeri tidak akan berkompromi daripada aspek alam sekitar serta memastikan bahawa pemulihan semula tanah bekas lombong dilaksanakan dengan pemantauan rapi. Baginda bertitah pengalaman lampau dan kesilapan terdahulu hendaklah dijadikan pengajaran penting kerana setelah pelombong mengaut kekayaan hasil bumi, Perak ditinggalkan dengan muka bumi yang tidak lagi subur dan sesuai untuk pertanian. Sultan Azlan Shah juga bertitah kerajaan negeri yang diberi perkenan dibentuk berikutan pemilihan yang telah dilakukan oleh rakyat ini dapat mengotakan segala janji pembangunan.

"Masa berkempen telah berakhir. Kata-kata yang menjurus kepada kepentingan politik kepartian hendaklah dihentikan. Mengurus sebuah kerajaan memerlukan pendekatan berlainan dengan era berkempen," titah baginda kepada kerajaan negeri yang terdiri gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat. Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, DAP menang 18 kerusi, PAS enam dan Parti Keadilan Rakyat tujuh manakala Barisan Nasional menang 28 kerusi.