SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

23 June 2008

MB Selangor mengaku ada duit derma masuk akaun PKR

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengakui adanya sumbangan derma daripada syarikat-syarikat swasta bagi Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang didepositkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya diberitahu ada usaha untuk mengutip derma yang saya rasa tidak perlu," katanya ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor bahawa kutipan wang derma bagi penganjuran majlis sambutan itu telah didepositkan ke dalam akaun PKR.

Abdul Khalid berkata wang kutipan itu yang menurut kiraan beliau tidak seberapa jumlahnya akan dibekukan dan ahliahli Pakatan Rakyat sebagai satu pasukan akan berbincang bagaimana wang itu akan digunakan dan jumlah kutipan itu akan diberitahu kepada pihak kerajaan negeri.

"Adalah malang kutipan dan pemindahan ke dalam dana Parti Keadilan. Ia harus dipindahkan ke dalam akaun negeri dan kemudian kita bincangkan kegunaannya," katanya kepada pemberita selepas Melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.s) di sini hari ini.

Abdul Khalid juga berkata beliau sendiri akan menulis surat bagi mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat berkenaan dan bertanya sama ada mereka menerima tekanan untuk menyumbang kepada sambutan itu.

Namun, beliau menganggap pemberian syarikat itu sebagai ikhlas dan tidak mengharap balasan seperti pemberian tanah atau pasir.

- BERNAMA
.

Mufti Perlis nafi sertai PKR

KOTA BAHARU 22 Jun - Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menafikan sekeras- kerasnya dakwaan bahawa beliau telah pun menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, buat masa ini belum terlintas di hatinya untuk menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya beliau mahu menjadi seorang yang merdeka tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

"Saya rasa cukuplah dengan ahli-ahli parti itu yang ada, nanti dikatakan kacau pula," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjadi ahli panel Wacana Perdana - 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di sini semalam.

Kesediaan beliau menghadiri majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) itu dikaitkan dengan penyertaan beliau ke dalam PKR.

Dr. Mohd. Asri berkata, kesediaannya memenuhi undangan itu sebagai tanggungjawab dakwah sebagaimana yang dihadirinya pada majlis yang dianjurkan oleh pihak lain.

"Sebagai Mufti saya tidak boleh berpolitik dengan mana-mana parti politik dan saya bebas menyatakan kebenaran tentang Islam tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Beliau menolak sama sekali penyertaannya pada majlis itu sebagai menyokong parti yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) dan menentang kerajaan pusat.

"Tidak begitu, tetapi kehadiran saya sebagai memenuhi undangan dan memberi sebuah pandangan yang bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak ada menyokong beberapa dasar yang dilaksanakan oleh parti tertentu tetapi tidak menafikan kembali menentang pada perkara lain.

"Masa depan tidak tahulah (sama ada menyertai mana-mana parti politik)," katanya.

- Bernama
.

Empat wakil rakyat PKR berbasikal ke Parlimen cari publisiti murahan

AHLI Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (dari kanan) Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baru), N. Gobalakrishan (Padang Serai) dan Chua Tian Chong (Batu) mengayuh basikal menuju ke Parlimen untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat pagi tadi. Mereka menunggang sejauh satu kilometer dari Bank Negara sebagai tanda protes kenaikan harga minyak baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 23 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan tindakan empat wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbasikal ke bangunan Parlimen sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Katanya, mereka cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

“Dahlah kayuh pun setakat dari Bank Negara saja... saya harap kalau sungguh-sungguh sangat, teruslah berbasikal ke Parlimen setiap hari selagi kerajaan tidak penuhi tuntutan mereka (turunkan minyak).

“Jangan setakat kayuh hari ini sahaja, budak darjah enam pun boleh. Pada saya yang penting empat orang ini kena ingat, mereka adalah Ahli Parlimen, ruang tersedia untuk mereka berhujah bagi mengatasi masalah, bukan gimik macam ini.

“Apakah mereka ini ingat kalau dengan kayuh basikal kerajaan boleh turunkan harga minyak?” kata Mohamed Nazri ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen PKR yang berbasikal ke Parlimen hari ini ialah Tian Chua (PKR-Batu), N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) dan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan).
.
Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali ketika mengulas tindakan empat Ahli Parlimen PKR yang berbasikal ke Parlimen. Berucap membahaskan usul kenaikan harga minyak di Dewan Rakyat, Ibrahim turut mencabar keempat-empat Ahli Parlimen itu terus berbasikal ke Parlimen sepanjang tempoh sidang Dewan Rakyat.

Usul kenaikan harga minyak dilulus, wakil SAPP 'menghilang'

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul penstrukturan semula subsidi minyak setelah undian secara belah bahagi dijalankan pada kira-kira pukul 6.58 petang dijalankan.

Seramai 129 ahli Parlimen menyokong usul itu sementara 78 yang lain membangkang. Pada peringkat awal undian dilakukan secara suara ramai, tetapi ia telah dibantah keras oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee pada awalnya enggan membenarkan undian secara belah bahagi dengan alasan tidak ada permintaan sebelum undian secara suara ramai dijalankan.

Bagaimanapun setelah hampir 10 minit keadaan kucar kacir di dalam dewan, beliau membenarkan undian semua dijalankan secara belah bahagi dengan alasan bantahan dibuat lebih 15 ahli Parlimen.

Loceng terpaksa dibunyikan untuk beberapa ketika bagi memanggil ahli-ahli Parlimen yang berada di ruang legar Dewan Rakyat dan di kantin agar masuk ke dewan untuk membolehkan undian secara belah bahagi dilakukan.

Ketika undian belah bahagi sedang dijalankan, beberapa orang ahli Parlimen pembangkang pula bangun mempersoalkan mengapa tidak ada peraturan membolehkan mereka membuat undi secara rahsia.

Seramai 18 ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskan usul itu yang dibentang di sebelah pagi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad.

Tiada usul undi tak percaya terhadap PM hari ini

KUALA LUMPUR: Usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diperkatakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, nampaknya tidak akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan hari ini hanya membincangkan satu usul iaitu usul kenaikan harga petroleum dan barangan, yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, dan ia masih dalam peringkat perbahasan setakat ini. Shahrir dijadual menggulung dan menjawab perkara yang dibangkitkan pada perbahasan itu sebelum persidangan hari ini ditangguhkan.

Kedua-dua Ahli Parlimen dari SAPP iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (BN-Tawau), yang diuar-uarkan akan menyokong undi tak percaya itu, tidak kelihatan di dewan. Eric yang dihubungi memberitahu beliau pulang ke Sabah kerana melawat seorang saudara yang meninggal dunia, manakala Dr Chua tidak dapat dihubungi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemui berkata setakat ini pejabat speaker tidak menerima sebarang usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.

Sebaliknya Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang telah mengemukakan kepada pejabat Speaker semalam notis bagi usul tergempar untuk membincangkan suatu dakwaan terbaru berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut Peraturan Mesyuarat 18 (1), sesuatu usul perlu dihantar ke Pejabat Speaker 24 jam sebelum ia boleh dikemuka dalam persidangan dan sama ada usul itu boleh dibentang ataupun tidak, ia terpulang kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat. Yang Dipertua akan menggunakan tiga asas dalam membuat pertimbangan terhadap sesuatu usul tergempar iaitu ia membabitkan perkara yang tertentu, berkepentingan rakyat, dan harus disegerakan. Beliau mempunyai kuasa menolak sesuatu usul jika ia didapati tidak mematuhi satu daripada tiga asas berkenaan.

- Bernama