SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

18 May 2008

Sejauh Mana Kuasa Melayu Dalam Politik?

Oleh: Ahmad Lutfi Bin Ibrahim
Pada 22 September 2007 , Pengerusi SPR telah menyatakan bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera lain seramai 90 % tidak daftar pemilih daripada 1.5 juta rakyat hasil dari Program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan Ogos yang lepas.
Menurut Tan Sri Ab. Rashid Ab Rahman, Pengerusi SPR berkata, “Program yang menetapkan sasaran 2.5 juta pemilih baru, mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru mendaftar adalah bukan bumiputera “ Beliau menyatakan lagi “Umur mereka tidak daftar ini lingkungan 21 hingga 35 tahun. Saya hairan dengan sikap tidak endah mereka. Sedangkan kaum bukan bumiputera lebih peka dengan hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara .”
Daripada kenyataan Pengerusi SPR ini, pelbagai reaksi masyarakat Melayu berkaitan hal ini. Ada yang rasa tiada apa-apa yang perlu dirisaukan, ada ambil tidak endah, biarlah siapa memerintah pun kita boleh cari makan jugak, kesibukan dan malaslah untuk daftar pemilih, apa faedah yng kita dapat, ada orang Melayu dan kepimpinan Melayu yang amat risau dengan fenomena ini. Inilah reaksi masyarakat Melayu yang ramainya lebih rasa tidak perlu risau dan tak ambil endah situasi ini. Buktinya pada bulan April yang lepas telah pun dinyatakan oleh Pengerusi SPR bahawa seramai 4.9 juta rakyat Malaysia belum daftar pemilih dan ramai di kalangannya golongan muda Melayu . Setelah 4 bulan , kita lihat seperti pernyataan di atas 90 % daripada 1.5 juta orang Melayu dan bumiputera tidak daftar pemilih jugak .

Sekiranya keadaan ini berterusan, bahayakah masa depan kuasa politik Melayu, Betul kah…? Persoalan inilah perlu ada dalam minda orang Melayu secara serius kerana sebuah kerajaan dan pemerintahan terbentuk setiap 5 tahun bergantung penuh melalui KUASA UNDI dalam Pilihan raya. Sekiranya kuasa UNDI Melayu Muslim kurang akibat tidak daftar menjadi pengundi walaupun ramai dari segi penduduknya sudah tentu kaum bukan Melayu yang tahu haknya yang berlumba-lumba daftar sebagai pengundi akan menjadi pemain utama dalam menentukan kerajaan dan kuasa memerintah. Kalau ini terus berlaku pada masa depan, adakah kerajaan hari ini yang masih ditunjangi pemimpin Melayu akan kuat atau pun pelbagai tekanan dan tuntutan bukan Bumiputera untuk kepentingan bangsa mereka lebih berani lagi disuarakan ataupun mungkin masa depan kerajaan yang ada akan diketuai PERDANA MENTERI di kalangan bukan Melayu?
Pernyataan PERDANA MENTERI di kalangan bukan Melayu seolah-olah mustahil rasanya , tapi hakikatnya boleh menjadi kenyataan kerana dalam Perkara 43 dalam Perlembagaan, DYMM YDP Agong hendaklah melantik PERDANA MENTERI dari kalangan ahli DEWAN RAKYAT yang pada hematnya merupakan seorang yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat tersebut. Apa maknanya? Orang Melayu mesti tahu bahawa jawatan PERDANA MENTERI bukan hak mutlak di kalangan orang Melayu kerana dalam Perlembagaan seperti di atas, sekiranya parti atau pun komponen parti yang mendapat UNDI terbanyak dari rakyat akan mendapat mandat menjadi kerajaan memerintah dan parti terbesar dapat mandat rakyat sudah tentulah akan dilantik sebagai PERDANA MENTERI.
Andaikata kata Pengundi Melayu tidak ramai daftar mengundi, sudah tentu tidak dapat guna KUASA UNDI dalam Pilihanraya, dan secara langsung akan penentuan kerajaan memerintah ditentukan oleh pengundi yang lebih ramai, jadi sekarang ini SIAPAKAH yang yang paling ramai? Melayukah atau pun bukan Melayu. Mari kita lihat data ini :

NEGERI MINORITI PENGUNDI MELAYU MUSLIM

SELANGOR 49.7 %
PERAK 44.4%
KL 32.4%
NEGERI SEMBILAN 50.0%
P.PINANG 33.6%
SARAWAK 33.9%

NEGERI MARGINAL PENGUNDI MELAYU MUSLIM :

JOHOR 53.9%
MELAKA 54.3%
SABAH 50.1%

Data ini pun telah menunjukkan betapa bahaya KUASA MELAYU masa depan sekiranya fenomena ramai tidak daftar pemilih di kalangan orang Melayu masih berterusan. Kedudukan di atas menunjukkan 9 negeri dari 14 negeri menjadi minoriti dan marginal pengundi Melayu akibat tidak daftar pemilih, mungkinkah masa depan bertambah lagi negeri minoriti pengundi Melayu?
Sekiranya bertambah negeri majoriti pengundi bukan Melayu, ditambah pulak perpecahan pelbagai parti Melayu yang hingga hari ini tidak nampak titik pertemuannya, adalah tidak mustahil kerajaan memerintah jugak akan diketuai oleh bukan Melayu. Jangan ingat, rakyat Bumiputera 60% ramai penduduknya, kita akan memiliki kuasa memerintah sampai bila-bila kerana perpecahan orang MELAYU dalam politik dan KUASA UNDI yang tidak boleh digunakan hampir 90 % akan menentukan survival masa depan segala-segalanya untuk orang Melayu.

Hari ini orang Melayu hanya mempunyai kuasa POLITIK sahaja yang masih kuat, lain-lain bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan lain-lain bidang kita ketinggalan jauh dengan bangsa lain. Apa akan terjadi sekiranya kuasa politik jugak tidak kuat dan bidang-bidang lain terus jauh ketinggalan dengan bangsa lain, bagaimana masa depan Bangsa Melayu dan Agama Islam?
Persoalan KUASA UNDI jangan kita ambil mudah dan tidak endah, jangan satu hari kelak anak-anak kita bertanya di hadapan kubur ibu-bapanya, Mengapa ayah-ibu tinggalkan kami dalam keadaan orang Melayu sudah tidak ada kuasa lagi, inilah ayah ibu, tidak endah sangat pasal daftar UNDI, kami terima akibatnya ?? Kalau kita hari ini boleh daftar undi melalui SMS dengan jutaan ringgit untuk mengundi peserta AKADEMI FANTASIA , MALAYSIA IDOL dan lain-lain lagi, adakah tidak boleh untuk kita korbankan masa dan tenaga untuk pergi daftar pemilih sebagai pengundi yang jauh lebih penting untuk masa depan kita, anak-anak kita dan orang Melayu secara keseluruhannya .

Marilah kita tanamkan, pasakkan dalam minda kita, anak-anak kita, jiran kita , masyarakat kita dan orang Melayu betapa KUASA UNDI dan PERPADUAN ORANG MELAYU amat penting menentukan masa depan AGAMA, BANGSA DAN NEGARA KITA. Ingatlah, pejuang dan pemimpin Melayu dulu telah tinggalkan sesuatu yang berharga untuk kita semua iaitu KUASA MEMERINTAH yang telah mengubah segala-galanya selepas 50 tahun kemerdekaan.
Terpulanglah kepada kita, bahaya atau tidak kuasa Melayu masa depan, kitalah yang menentukannya?? KUASA UNDI melalui sebatang pen di tangan kita ...fikir, renung, dan tanyalah diri !!!.

Rencana dari Utusan

Jangan khianati undi rakyat

Ahli-ahli Parlimen harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik mereka.
Pada 8 Mac lalu, pengundi memilih calon wakil rakyat bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri masing-masing. Dua bulan sudah berlalu. Pihak yang diberikan amanah sepatutnya berusaha memberikan buah fikiran dan perkhidmatan demi kepentingan negara dan rakyat.

Namun, perkara yang diheboh-hebohkan dan masih dicanangkan ialah kisah lompat parti dan keghairahan menubuhkan Kerajaan Pusat yang baru.

Pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan di Parlimen minggu ini yang mendakwa dirinya cuba "dibeli" hingga membolehkannya "hidup senang-lenang sampai tiga generasi" membayangkan gerakan mempengaruhi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai parti pembangkang ada asas.

Jika benar dakwaan pemimpin muda Sabah itu, sumber kewangan dan dalangnya perlu didedahkan. Budaya sogokan ini cukup serius. Pihak pembangkang seolah- olah sudah "kemaruk" kuasa sehingga sanggup merasuah.

Seorang rakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur tidak menolak wujud perbuatan memancing ahli Parlimen BN terutama di Sabah supaya melompat masuk ke dalam 'gerabak' parti pembangkang.

Cuma soal untuk membuktikan siapa yang menjadi dalangnya yang menjadi masalah. Ini kerana mereka mengguna khidmat orang tengah.

"Pemimpin parti pembangkang itu pun bijak. Sekarang, apabila Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah membuat laporan polis atas kenyataan Abdul Rahman mengenai sogokan lumayan itu, orang tengah berkenaan yang menggelabah.

"Tindakan membuat laporan polis itu pun satu taktik PKR untuk memberi kekuatan semula kepada ahlinya setelah perbuatan mereka menampakkan hasil," kata rakan penulis sambil berceloteh tentang 'kegilaan' ahli politik kini yang serba-serbi mahu membuat laporan polis.
Angkara siapakah yang membawa budaya menyogok wang untuk wakil rakyat mengkhianati parti masing-masing? Sejarah politik Sabah pernah menyaksikan lompatan beramai-ramai ahli DUN ke dalam UMNO hingga tumbang kerajaan negeri pimpinan Parti Bersatu Sabah.

Bukan rahsia kepada semua ahli BN terutama UMNO, dan tidak akan lupa taktik licik pemimpin pembangkang itu merampas kuasa pada 1990-an. Sekarang, taktik kotor itu cuba dilakukan sekali lagi di Negeri di Bawah Bayu.

Pemerhati politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar berpandangan adalah tidak wajar Pakatan Rakyat mempunyai tanggapan ahli-ahli Parlimen BN Sabah cukup mudah dibeli. Setakat hari ini, belum ada seorang pun mengisytihar sudah masuk barisan pembangkang.

"Ini menunjukkan, nilai perjuangan politik mereka bukan rendah hingga sanggup menerima tawaran lumayan untuk hidup mewah sampai tiga generasi.

"Jangan lupa, jika mereka 'pakar lompat' sudah pasti BN Sabah tidak akan menjadi penyumbang kerusi yang banyak kepada BN," kata Abdul Razak.

Pelbagai andaian dibuat tentang adanya usaha beberapa ahli Parlimen BN untuk menyeberang sempadan menyertai Pakatan Rakyat. Dengan 82 kerusi Parlimen berada di sebelah pembangkang, bermakna 30 kerusi lagi diperlukan untuk 'dicuri' daripada 140 kerusi BN.
Jika berjaya, pembangkang mampu membentuk kerajaan pusat yang baru dengan majoriti mudah iaitu 112 kerusi berbanding BN yang tinggal 110 kerusi sahaja.

PembangunanPun begitu, penubuhan kerajaan baru dengan majoriti mudah tidak akan menguntungkan mana-mana parti. Sebaliknya kata Abdul Razak, banyak keputusan pelaksanaan projek pembangunan untuk dinikmati rakyat akan tergendala kerana tiada keputusan dicapai.

Apakah agenda sebenar di dalam kepala pemimpin PKR yang beriya-iya mahu 'membeli-belah' ahli Parlimen BN Sabah sedangkan mereka sedar tindakan itu adalah 'rasuah' yang terang-terangan?

Ahli-ahli Parlimen yang pernah didatangi ejen-ejen atau orang tengah dengan dijanjikan habuan wang lumayan elok diperingatkan bahawa sekali maruah dan harga diri dijual, luput sudah kepercayaan rakyat kepada mereka buat selama-lamanya.

Jika benar dakwaan ahli Parlimen Sabah bahawa jumlah habuan melompat parti sangat besar sehingga boleh hidup senang lenang selama tiga generasi, kita tertanya-tanya kemewahan dan kemampuan kewangan pihak terbabit.

Sekiranya setiap seorang ditawarkan melebihi RM3 juta, bayangkan berapa jumlah yang terpaksa diberi untuk mendapatkan 30 ahli Parlimen BN itu? Rakyat sudah pasti ingin tahu, dari mana parti berkenaan memperoleh biaya 'dana' tersebut?

Dalam suasana kepimpinan negara masih mencari formula untuk meredakan kegelisahan rakyat, ekoran kesan kenaikan harga barangan dan suasana politik yang belum stabil, pemimpin politik pembangkang cekap mengambil kesempatan.

"Penyebaran pengaruh dan gelombang itu sudah berlaku. Kerajaan BN perlu bersedia sebarang kemungkinan jika ahli Parlimennya melompat parti," kata Malike Brahim. Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berpandangan kerajaan BN perlu bersiap sedia menghadapi impak besar ketika kebanggaan kerajaan pimpinan selama 50 tahun bagaikan berada di penghujung jalan.

"Apa mekanisme BN jika berlaku lompat parti hingga hilang majoriti mudah. Adakah Perdana Menteri akan minta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat atau membubarkan Parlimen," kata Malike Brahim.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh turut bersetuju bahawa BN harus mengawasi dan meneliti dengan serius tentang segala kemungkinan berlakunya tindakan melompat parti seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

"Tidak kira apa statusnya, ia tetap mewujudkan suasana tidak menentu dan agak mengganggu.
"BN tidak punya pilihan. Jika terdapat kemungkinan tindakan melompat parti ini didorong oleh perasaan tidak puas hati berkaitan dengan tuntutan-tuntutan tertentu, Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi BN harus bertindak segera mencari penyelesaian yang total," jelas Hashim.
Anti lompatMenurut Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia itu lagi, jika dibiarkan suasana tidak menentu ini berterusan, ia akan hanya membuka ruang yang lebih luas untuk menggugat kestabilan negara.

"Ia berpotensi menimbulkan krisis keyakinan yang cukup parah. Pilihan terakhir yang ada hanyalah kembali kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya umum semula," jelas Hashim.
Barangkali ahli Dewan Rakyat yang tinggal beberapa hari untuk bersidang ini perlu memikirkan penggubalan undang-undang anti lompat parti supaya amanah pengundi tidak disalah gunakan untuk mana-mana pihak atau parti politik.

Ahli Parlimen jangan sombong ingin melompat ke sana sini. Apabila seseorang ahli Parlimen atau ADUN melompat parti, bermakna mereka telah mengkhianati undi majoriti daripada rakyat. Wakil rakyat yang tahu maruah dan harga diri mesti melepaskan jawatan untuk membenarkan satu pilihan raya baru diadakan untuk pengundi membuat pilihan semula.

Sedih jika demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini membiarkan perbuatan ahli Parlimen atau ADUN melompat parti atas pengaruh sogokan wang tanpa tindakan hukuman. Badan Pencegah Rasuah perlu membuka fail untuk memantau gerakan ini.

Integriti kerajaan terletak di atas bahu wakil-wakil rakyat yang amanah dan tidak rasuah. Apakah makna pentadbir dan pemimpin kerajaan jika mereka adalah golongan yang mudah dijual beli.

16 May 2008

Pengumuman

MAJLIS PENERANGAN KHAS
DAN AMANAT KETUA UMNO BAHAGIAN PASIR MAS
KEPADA PIMPINAN 4 PERINGKAT

Tarikh : 23 Mei 2008 (Jumaat)
Masa : 9.00 malam
Tempat : Dewan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim 1 Pasir Mas

* SEMUA DIJEMPUT HADIR *

15 May 2008

"Anwar Yang Luluskan"

Oleh Agenda Daily

Tuduhan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC Naval Dockyard oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengundang padah apabila Dewan Rakyat diberitahu Menteri Kewangan yang meluluskan penswastaan projek berkenaan kepada syarikat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat. Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salah semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong hari Rabu bagi pihak Kementerian Pertahanan berhubung dengan dakwaan wujudnya amalan rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda TLDM oleh Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Najib, kontrak perolehan 27 buah kapal itu diberikan kepada PSC Naval Dockyard pada 11 Disember 1995 untuk tempoh 15 tahun. Menurut perjanjian, syarikat berkenaan diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan TLDM di samping mereka bentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru. Di bawah kontrak awal, kerajaan membuat tempahan enam buah kapal pronda dengan nilai kontrak sebanyak RM5.35 bilion tetapi kontrak dengan PSC dibatalkan pada tahun 2006 apabila gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal sahaja yang hampir disiapkan pada tahun 2006.

Kesannya bagi memastikan enam buah kapal tersebut dapat diteruskan pembinaannya, kerajaan telah melantik Lembaga tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat PSC dan nilai kontrak terpaksa dinaikkan kepada RM6.75 bilion ekoran peningkatan kos. Pada tahap ini, Dr. Wan Azizah bangun bertanya apakah kriteria untuk memilih syarikat yang hendak diberikan kontrak itu pada awalnya. Bingkas bangun sebelum Najib menjawab Ahli Palrimen Pontian, Ahmad Maslan yang menyatakan soalan Dr. Wan Azizah tidak ada kaitan.

“Tadi yang Amat Berhormat menyatakan bahawa penswastaan PSC Naval Dockyard diluluskan pada 11 Disember 1995. Kita tahu bahawa tidak ada satu penswastaan pun di Malaysia ini tanpa kelulusan daripada Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan, Saya ingin tanya soalan pendek sahaja, siapakah Menteri Kewangan pada ketika itu,” tanyanya.

Ekoran soalan itu beberapa Ahli Parlimen BN kedengaran berkata “jawab…jawab”. Maka, Najib menjawab “Setahu saya Menteri Kewangan pada ketika itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat”. Dalam penggulunggannya juga Najib menjelaskan semua tuduhan yang dikaitkan dengan amalam rasuah dalam pembelian kapal selam oleh TLDM dan jet pejuang Sukhoi oleh TUDM.

Najib juga pada kesempatan itu turut menyentuh mengenai cubaan mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu. “Alhamdulillah saya masih dapat bertahan dengan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan, dengan niat untuk mencemarkan nama saya. “Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita yang dimaksudkan dalam kes ini,” tegasnya.

– AGENDA DAILY/ 14/5/2008

'Tragedi' 14 Mei tidak menjadi kenyataan

Semalam 14 Mei. Hari Rabu. Ianya berlalu seperti biasa. Kalau di Pasir Mas, hari Rabu ada pasar malam. Samalah halnya di Taman Cahaya, Ampang, pasar malam yang penuh meriah dan riuh rendah. Riuh rendahnya mungkin berbeza dengan sidang Parlimen yang kini boleh ditonton secara langsung di RTM 1 selama setengah jam sehari. Bezanya, riuh rendah di pasar malam atau pasar tani sama sekali tidak menarik minat sesiapa tetapi kecoh di Parlimen 27 juta rakyat Malaysia menyaksikannya. Seluruh negara melihat bermacam-macam aksi wakil-wakil rakyat kita yang masing-masing berlumba-lumba nak masuk tv.


14 Mei pada sesetengah orang adalah seperti hari-hari biasa. Rutin kehidupan berjalan seperti hari-hari lain. Tetapi 14 Mei bagi orang yang mengikuti perkembangan politik tanahair ternanti-nanti sejauh mana benar dakwaan pembangkang bahawa pada 14 Mei 2008, seramai 17 orang Ahli Parlimen BN akan menyeberang menyertai mereka! Berita ini begitu dipopularkan dalam blog-blog pro pembangkang. Semua orang tertunggu-tunggu nak melihat siapakah antara 17 orang itu.

Suasana 14 Mei di Parlimen sepanjang sidang Dewan Rakyat berlangsung tiada sesuatu episod di dalam mahu pun di luar Dewan yang boleh mencuri perhatian. Sidang di dalam dewan berlangsung hangat seperti biasa, tetapi 'kehangatan' yang diwar-warkan bakal berlaku di luar dewan ternyata hanya perancangan yang tidak menjadi.

Tumpuan penuh yang diberi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dari Sabah oleh individu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam sebelum 16 September, ternyata tidak berpijak di bumi nyata. Meskipun tawaran-tawaran yang dibuat sama ada melalui orang tengah atau pemimpin-pemimpin kanan parti berkenaan, dengan menawarkan ganjaran yang lumayan tetapi wakil-wakil BN tetap teguh dengan pendirian memikul amanah yang diberi oleh rakyat dengan sejujurnya.

Beberapa Ahli Parlimen Sabah membuat kenyataan mereka dihubungi oleh wakil orang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri keenam itu dengan habuan sehingga tiga keturunan boleh hidup senang, seperti kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Kalau untuk seorang Ahli Parlimen tawaran yang diberi sehingga 3 keturunan boleh hidup senang lenang, agak-agaknya berapa banyak 'modal' untuk memberi tawaran kepada 30 orang Ahli Parlimen BN untuk membolehkan pembangkang membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas yang 'bebas' menyatakan sekiranya Anwar Ibrahim hendak menjadi Perdana Menteri, dia kena menang pilihan raya umum akan datang bukannya dengan harap ada yang melompat parti menyertainya. Menurut Ibrahim lagi adalah sesuatu yang sukar untuk diterima akal yang waras untuk menerima kenyataan Anwar bahawa beliau telah mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang mencukupi untuk menyertainya membentuk kerajaan yang baru. Bukan mudah untuk dapat 30 orang yang nak lompat... apatah lagi nak melompat ke dalam 'longkang'.

Ternyata 14 Mei yang diharap-harapkan oleh pembangkang sebagai Tragedi Kepada BN tidak kesampaian. Selepas tarikh ini sama-sama kita tunggu tarikh mana pula yang akan diomongkan oleh Anwar Ibrahim. Apakah 1 Jun, 14 Jun, 1 Julai, 14 Julai, 31 Ogos atau bila? Anwar dengan bongkaknya mendakwa 16 September adalah tarikh yang paling lewat untuk beliau membentuk kerajaan baru. Yang pasti beliau akan terus menerus mengatakan saatnya kian dekat. Tak lama lagi. Sikit masa lagi...Anwar...Anwar... cukup-cukuplah temberang...

Dalam keghairahan memujuk rayu 30 Ahli Parlimen BN jangan-jangan pula yang 82 kerusi dimiliki sekarang terlepas. Yakin kah Anwar semua 82 kerusi pembangkang itu akan kekal sebagai pembangkang sepanjang penggal ini? Tidakkah ada antara mereka akan beralih arah, mengubah minat berganjak posisi menyeberang ke sebelah kerajaan.

Yang pasti seorang ahli sudah menyatakan minat menggangotai parti tertentu... kira-kira 6 bulan lagi....